SETIAP amalan dan kebaikan dilakukan manusia sentiasa dalam pengetahuan Allah SWT tidak kira pada malam apa sekalipun.
SETIAP amalan dan kebaikan dilakukan manusia sentiasa dalam pengetahuan Allah SWT tidak kira pada malam apa sekalipun.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Segala puji bagi Allah swt, kita telah pun menjengah ke bulan Syaaban. Sebulan sebelum menempuhi bulan yang dinanti, penghulu segala bulan iaitu Ramadan. Syaaban adalah bulan kelapan sebelum yang juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sebagai manusia kita memerlukan latihan berterusan untuk memastikan kita mencapai apa yang diharapkan. Contohnya, ahli sukan yang profesional memerlukan latihan intensif untuk memastikan beliau mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidangnya.

Menurut pandangan al-Imam As-Syafii RA, ada satu malam barakah pada Syaaban. Beliau berkata dalam kitabnya, Al-Umm: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu pada malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama Rejab dan malam nisfu Syaaban. Oleh yang demikian, hidupkanlah malam tersebut dengan berzikir, membaca Al-Qur'an dan amalan lain-lain untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT".

Setiap amalan dan kebaikan dilakukan manusia sentiasa berada dalam pengetahuan Allah SWT tidak kira pada malam apa sekalipun.

Kita mesti berazam dan berlumba-lumba melakukan kebaikan setiap masa, terutama malam yang istimewa seperti ini. Firman Allah SWT dalam al-Quran: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid, ayat 21)

Selain itu, Syaaban antara bulan disukai Rasulullah SAW. Baginda SAW memperbanyak puasa sunat berbanding bulan yang lain. Daripada Aisyah RA dia telah berkata: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya pada Syaaban". (Hadis Riwayat at-Tirmizi). Oleh itu amalan berpuasa perlu ditingkatkan untuk melatih sistem tubuh badan kita untuk bersedia berpuasa sebulan penuh pada bulan hadapan. Insya Allah.

Mengikuti sunah baginda Rasulullah SAW adalah nikmat terbesar bagi kita sebagai umatnya. Antaranya dengan memperbanyak puasa sunat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, bertaubat, beristighfar, berwakaf, berinfak dan bersedekah. Ia juga penting sebagai suatu persediaan rohani yang mantap menjelang penghulu segala bulan. Daripada Abdullah Ibn Mas'ud RA berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: 'Amalan apakah yang paling Allah sukai?' Baginda menjawab, "Solat pada waktunya". 'Kemudian apa?' kataku. Baginda menjawab, "Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa". Aku bertanya lagi, 'Kemudian apa?'. Baginda menjawab, "Jihad di jalan Allah." (Riwayat al-Bukhari).

Di samping itu, kita perlu eratkan ukhuwah sesama Muslim. Hubungan sesama manusia penting kerana berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Hapuskan permusuhan dan dendam kesumat sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak menyukai perkara mazmumah seperti itu. Buangkan sifat mazmumah dan perbuatan syaitan supaya keberkatan amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dihayati dan dijiwai.

Kita juga perlu tingkatkan kefahaman dalam pelaksanaan ibadah mengikut tata cara yang ditetapkan Rasulullah SAW. Beristiqamah dalam amal ibadah dan kebajikan. "Istiqamah" bererti melakukan sesuatu ibadah dengan tatacara yang betul mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Selain itu, elemen 'istimrariah' atau sentiasa melakukan amal ibadah tersebut sepanjang masa dan konsisten walaupun hanya sedikit. Ia bertepatan dengan peribahasa Arab: "Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak yang terputus-putus".

Akhir sekali, kita hendaklah beristighfar dan memohon keampunan Allah SWT. Allah SWT berfirman di dalam Surah Nuh ayat 10-12: "Maka aku berkata (kepada mereka), "Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, Sesungguhnya, Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan menjadikan sungai-sungai untukmu."

Melihat kelebihan pada bulan Syaaban ini, selok-eloknya kita ambil kesempatan dan peluang keemasan ini dengan semaksimum mungkin, jangan kerana sibuk dengan urusan duniawi semata-mata seperti tugasan pejabat, sekolah, keluarga, anak dan sebagainya, hingga kita leka sehingga terlepas merebutkan keistimewaannya begitu sahaja.

Sementara kita masih sihat dan bertenaga maka lakukanlah muhasabah diri dan buat penilaian prestasi amalan setiap hari. Adakah ia selari bertepatan dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT di dalam Surah al-Nahl ayat 97: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."

Marilah rebut peluang keemasan ini dengan maksimumkan latihan dan tarbiah jiwa sebagai persiapan menuju bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan rabbaniah. Anggaplah ia sebagai motivasi dan penguat semangat untuk kita dengan perasaan berkobar-kobar menyambut tetamu yang akan hadir tidak lama lagi. Sepertimana ungkapan doa yang selalu diulang-ulang: "Wahai Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami (untuk beribadah) dalam bulan Ramadan (dengan kesihatan dan kesejahteraan)".

Penulis Profesor Madya Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 6:00 AM