SEPANJANG bulan ini umat Islam digalakkan memperbanyakkan amal soleh.
SEPANJANG bulan ini umat Islam digalakkan memperbanyakkan amal soleh.
Dr Mohd Khadiz Soroni

Apabila penulis melihat masih beredar di media sosial penyebaran hadis palsu kononnya Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang memberitahukan berita masuknya satu Syaaban kepada yang lain, maka haram api neraka baginya," ia agak menghampakan. Ungkapan yang sama turut disebarkan pada awal bulan yang lain dengan hanya ditukarkan nama bulan terbabit.

Penyebaran ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat tentang bahaya hadis palsu belum mencapai tahap memuaskan. Sedangkan, wajib diketahui bahawa hukum menyebarkan hadis palsu tanpa memberitahu kepalsuannya jika dengan sengaja adalah haram dan berdosa menurut kesepakatan ulama. Ini berbeza dengan hadis daif yang menurut jumhur ulama masih mempunyai peranan dalam perkara yang tidak membabitkan hal akidah dan hukum.

Syaaban termasuk bulan yang mulia dan kita tidak memerlukan hadis palsu untuk memuliakannya. Dalam bulan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh. Kata al-Hafiz Ibn Rajab dalam Lata'if al-Ma'arif (hlm. 258): "Oleh kerana Syaaban seperti mukadimah kepada Ramadan, maka disyariatkan padanya perkara yang disyariatkan pada bulan Ramadan seperti berpuasa dan membaca al-Quran, agar dapat bersiap sedia bagi menyambut Ramadan serta dapat membiasakan diri dengannya dalam usaha mentaati Allah SWT. Kami telah meriwayatkan dengan sanad daif daripada Anas RA, katanya: 'Kaum Muslimin dahulu apabila masuknya Syaaban, mereka akan memberi tumpuan kepada mashaf al-Quran dan membacanya serta mengeluarkan zakat harta mereka bagi membantu orang lemah dan miskin untuk menghadapi puasa Ramadan.'"

Agar kita diberikan kekuatan dan taufik untuk beramal soleh, kita digalakkan untuk memohon keberkatan bagi bulan tersebut. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila masuk Rejab, baginda akan berdoa: "Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke Ramadan." (Riwayat al-Bazzar, Abdullah bin Ahmad dalam Zawa'id al-Musnad, al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman dengan sanad daif)

Meskipun daif, dalam bab doa ia harus diamalkan. Bahkan, menurut al-Hafiz Ibn Rajab dalam Lata'if al-Ma'arif (hlm. 234): "Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai mustahab berdoa supaya dikekalkan hidup hingga dapat sampai ke masa yang istimewa untuk melaksanakan amal soleh padanya."

Golongan salaf menghidupkan Syaaban dengan pelbagai amalan kerana Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa pada bulan itu segala amalan akan diangkat kepada Allah SWT. Usamah bin Zaid RA berkata: "Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan seperti tuan berpuasa pada bulan Syaaban?" Baginda menjawab: "Itulah bulan yang manusia sering lalai daripadanya yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat padanya semua amalan kepada Tuhan seluruh alam. Maka, aku suka untuk diangkat amalanku sedangkan aku dalam keadaan berpuasa." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i dengan sanad hasan)

Antara keistimewaan Syaaban ialah adanya malam Nisfu Syaaban di pertengahannya. Terdapat banyak hadis tentang keistimewaannya. Antaranya, daripada Muaz bin Jabal RA daripada Nabi SAW bersabda: "Allah akan memandang kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampunkan dosa semua makhluk-Nya melainkan dosa orang yang musyrik (menyekutukan Allah) dan dosa orang yang saling bermusuhan." (Riwayat Ibn Hibban, al-Tabarani dalam al-Kabir, Abu Nu'aim dalam al-Hilyah, al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman dan lain-lain)

Hadis seumpama ini diriwayatkan daripada 18 sahabat RA, sebagsaimana yang dijelaskan oleh Dr Muhammad Abu al-Laith al-Khairabadi dalam al-Marwiyyat fi Fadl Laylah al-Nisf min Sya'ban. Meskipun terdapat kritikan pada setiap jalan riwayat itu, namun berdasarkan majmuk semua jalan riwayat berkenaan ia boleh meningkat kepada status hasan.

Turut diriwayatkan bahawa doa pada malam itu adalah mustajab. Kata Imam as-Syafii dalam al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: 'Sesungguhnya doa adalah mustajab pada lima malam iaitu: malam Jumaat, malam Adiladha, malam Aidilfiri, malam pertama Rejab dan malam Nisfu Syaaban'." Kemudian beliau berkata: "Aku menganjurkan semua yang diriwayatkan tentang kelebihan malam-malam ini tanpa menjadikannya sebagai wajib."

Teks ini bukti jelas bahawa Imam as-Syafii membolehkan beramal dengan hadis daif dalam bab fadha'il amal dan seumpamanya. Kaedah ini juga diikuti oleh ulama mazhab Syafii. Kata Imam an-Nawawi dalam al-Majmu' (5/43): "Imam as-Syafii dan para Ashab (ulama mazhab Syafii) menganjurkan untuk menghidupkan semua malam yang disebutkan itu."

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 5:59 AM