HIDUPKAN Rejab dengan amalan seperti mendirikan solat sunat, berpuasa, membaca al-Quran, bersedekah dan banyakkan zikir serta istighfar.
HIDUPKAN Rejab dengan amalan seperti mendirikan solat sunat, berpuasa, membaca al-Quran, bersedekah dan banyakkan zikir serta istighfar.
Fahimi Zakaria

HARI ini kita sudah 12 hari berada dalam bulan Rejab. Sesungguhnya ketibaan bulan ini sebagai petanda betapa kita menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Seorang ahli salih bernama Abu Bakar al-Warraq RH berkata: "Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula ialah bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil." Lataif al-Ma'arif

Rejab sebagai bulan bercucuk tanam iaitu persediaan dengan amal kebajikan dan ibadah sunat sebagai persiapan rohani untuk menghadapi kedatangan Ramadan yang lebih mencabar.

Rejab termasuk satu daripada empat bulan haram. Bulan haram bermaksud bulan yang mulia lagi dihormati. Menerusi pedoman al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) di dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, daripadanya terdapat empat bulan yang haram. Itulah agama yang benar maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya. Ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa." Surah at-Taubah ayat 36

Empat bulan haram itu adalah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setahun terdiri daripada 12 bulan dan daripadanya terdapat empat bulan yang haram. Tiga bulan yang mengikut turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam manakala yang keempat adalah Rejab Mudar terletak antara Jamadil Akhir serta Syaaban." Hadis Riwayat al-Bukhari

Perkataan Rejab disandarkan kepada 'Mudar' kerana ia merujuk kepada nama kabilah Arab yang sangat menjaga kemuliaan dan pengharaman Rejab berbanding bulan yang lain. Tafsir al-Quran al-Karim

Pada bulan ini, mereka akan menangguhkan peperangan, perjalanan dan perniagaan lantaran bulan ini perlu diberi fokus untuk membanyakkan amalan yang mulia.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata, pengharaman (kemuliaan) bulan ini berlaku disebabkan perselisihan masyarakat Arab dalam penentuan waktu peperangan. Apabila mereka ingin menangguhkan peperangan maka mereka akan mengharamkan bulan berkenaan sebagai tanda penghormatan. Fath al-Bari

Imam Ibn Kathir RH menukilkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa setiap amal kebajikan yang dilakukan pada bulan ini lebih besar pahala berbanding bulan lain begitu juga kemungkaran yang dilakukan akan mengundang dosa lebih besar berbanding bulan lain. Tafsir Ibn Kathir

Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Al-Mu'jam al-Wasit

Maksud yang dinyatakan ini menunjukkan kedudukan Rejab sebagai bulan yang mengandungi kelebihan besar bagi hamba Allah SWT yang menghidupkannya dengan amal kebajikan seperti mendirikan solat sunat, berpuasa, membaca al-Quran, sedekah dan banyakkan zikir serta istighfar. Oleh itu sejarawan Islam mengatakan antara nama Rejab ialah al-Shahr al-Haram iaitu bulan yang haram kerana pengharaman peperangan padanya untuk memuliakan bulan berkenaan.

Semua bulan Islam mempunyai sejarah dan latar belakang yang sarat dengan hikmah dan pengajaran buat orang yang beriman. Al-Quran dan hadis banyak membawa sejarah kehidupan manusia termasuk bulan Islam yang menjadi asas panduan mereka untuk menjalani kehidupan harian seperti berniaga, bermusafir, beribadah sehinggalah dalam urusan peperangan. Umat Islam perlu memahami sejarah Rejab ini supaya kedatangannya disambut dengan ilmu dan kefahaman yang sahih. Ini penting untuk mengelak daripada kefahaman yang salah dalam kalangan segelintir masyarakat Islam antaranya melakukan ibadat tertentu seperti solat sunat Rejab, mandi Rejab dan sebagainya yang disandarkan kepada Rejab. Hakikatnya bukan hal itu yang sepatutnya berlaku saban tahun, tetapi memuliakannya sesuai dengan kemuliaannya di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kesimpulannya, Rejab mempunyai kelebihan di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya berdasarkan surah at-Taubah ayat 36 dan hadis daripada Abi Bakrah RA yang menceritakan kemuliaan Rejab sebagai bulan yang haram. Selain itu, amal kebajikan yang dilakukan pada bulan ini digandakan pahala berbanding bulan lain sama seperti amal kejahatan juga digandakan dosa berbanding bulan lain.

Penulis Pensyarah Management & Science University

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 9:04 AM