REBUTLAH peluang untuk bermuhasabah diri dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
REBUTLAH peluang untuk bermuhasabah diri dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Syaaban antara bulan yang mempunyai banyak kebaikan. Dalam riwayat bahawa dinyatakan Nabi Muhammad SAW banyak melakukan puasa sunat pada Syaaban berbanding bulan lain. Dalam bulan ini, terdapat satu malam yang istimewa iaitu pada malam nisfu (pertengahan) yang dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban terdapat panggilan atau nama lain. Antaranya Lailah al-Mubarakah (malam yang berkat), Lailah al-Qasamah dan al-Taqdir (malam pembahagian qadak dan qadar), Lailah al-Takfir (malam penghapusan dosa), Lailah al-Hayah (malam kehidupan) Lailah al-Ijabah (malam diperkenankan permohonan), Lailah al-Syafa'ah (malam syafaat) dan pelbagai lagi nama yang merujuk pada malam ini. Gelaran nama ini tidak lain tidak bukan adalah merujuk kepada kelebihan dan keistimewaan malam Nisfu Syaaban.

Antara nama lain bagi malam Nisfu Syaaban yang dinyatkan itu adalah Lailah al-Ijabah yang bermaksud malam diperkenankan doa. Hal ini seperti hadis yang ditampilkan oleh al-Muhaddith al-Hafiz Syeikh Salim al-Sanhuri dalam kitabnya Kelebihan Malam Nisfu Syaaban iaitu daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Pada malam Nisfu Syaaban, rahmat Allah SWT turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang yang meminta keampunan dan menerima taubat mereka yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang yang meminta dan mencukupkan bagi orang yang bertawakal. Dia juga meninggalkan orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka, mengampunkan dosa bagi sesiapa dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang membunuh jiwa diharamkan oleh Allah SWT atau orang memutuskan silaturahim."

Selain itu, Imam al-Syafii dalam kitab popular karangan beliau aitu al-Umm juga ada menyatakan "Telah sampai kepada kami, bahawa doa yang dimustajabkan (diterima oleh Allah) ialah doa pada lima malam: Malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban."

Malam Nisfu Syaaban juga dikenali sebagai Lailah al-Takfiri (malam penghapus dosa). Hal ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah iaitu daripada Abu Musa al-Asy'ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan orang yang bermusuhan."

Selain itu, terdapat hadis Riwayat al-Tirmizi iaitu daripada Aisyah RA, bahwa nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan bilangan bulu kambing pengawal."

Daripada hadis yang dikemukakan tadi, menunjukkan bahawa malam Nisfu Syaaban mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan. Justeru itu, kita sebagai Muslim seharusnya tidak mensia-siakan peluang dipanjangkan umur bertemu dengan malam ini.

Terdapat pelbagai amalan kebaikan yang boleh kita buat mengikut kepada kemampuan serta kebolehan kita.

Antara amalan yang boleh kita lakukan pada malam Nisfu Syaaban ini adalah membaca al-Quran, banyakkan berzikir dan berselawat, mendirikan solat sunat seperti solat sunat taubat, tahajud, solat sunat tasbih, solat sunat hajat dan sebagainya tanpa membatasi amalan tersebut.

Kesimpulannya, terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sama ada kita sedari mahupun tidak. Maka kita rebutlah peluang untuk bermuhasabah diri dan memohon keampunan Allah SWT kerana kita sebagai hamba tidak lari daripada melakukan kesalahan. Seterusnya kita memanjatkan doa agar dipermudahkan urusan oleh Allah SWT dan agar kekal berada di jalan yang lurus iaitu jalan diredai Allah SWT.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 5:59 AM