RAMADAN sering ditunggu-tunggu  kerana ganjaran berlipat ganda yang diberikan oleh Allah SWT berbanding bulan-bulan lain. FOTO AFP
RAMADAN sering ditunggu-tunggu kerana ganjaran berlipat ganda yang diberikan oleh Allah SWT berbanding bulan-bulan lain. FOTO AFP
Datuk Mohd Ajib Ismail

Malam ini umat Islam khususnya di Malaysia akan kembali bertarawih menjelang kedatangan bulan Ramadan. Tahun ini amat istimewa kerana kita menyambut Ramadan ketika negara telahpun mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April. Justeru pelbagai kelonggaran yang ditetapkan memberikan lebih ruang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai tradisi kemeriahan Ramadan yang dinantikan. Setiap Muslim perlu menyambut ketibaan Ramadan dengan perasaan gembira dan teruja seperti menerima kehadiran tetamu yang amat ditungu-tunggu. 

Di dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA bermaksud: "Rasulullah  berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab. "Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan." (Riwayat Ahmad)

Perkara yang lebih penting adalah untuk memastikan tujuan utama ibadah puasa seperti melatih sifat sabar dan berdisiplin, memupuk perasaan empati terhadap kesusahan insan lain serta membentuk kesihatan jasmani dan rohani dapat dicapai supaya kita semua menjadi Muslim yang bertakwa sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Setiap Muslim bertanggungjawab untuk mentaati perintah dan syariat berpuasa serta menghormati kemuliaan Ramadan dengan memelihara adab-adab yang ditetapkan. Rukhsah atau keringanan hanyalah diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat yang ditetapkan seperti firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: "Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Selain menunaikan ibadah puasa, ketibaan Ramadan juga bertujuan mendatangkan keinsafan dan menyemai perasaan empati terhadap golongan yang memerlukan seperti dilanda kesusahan, kekurangan harta benda dan kelaparan. Justeru di dalam al-Quran dan hadis banyak dirakamkan mengenai kelebihan dan keutamaan menghulurkan bantuan dan meringankan kesusahan orang lain. Setiap amalan baik yang dilakukan dengan niat yang ikhlas pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT termasuk perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan.  

Firman Allah SWT di dalam  surah al-Nisa' ayat 114  yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar."

Antara sebab bulan Ramadan sering ditunggu-tunggu adalah kerana ganjaran berlipat ganda yang diberikan oleh Allah berbanding bulan-bulan yang lain. Amalan Nabi Muhammad SAW yang banyak bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri. Di dalam sebuah hadis riwayat Anas RA menyebutkan maksudnya: "Ditanyakan Nabi puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Nabi, puasa di bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi, sedekah di bulan Ramadan." (Riwayat Al-Tirmizi)

Ramadan juga boleh dijadikan titik perubahan untuk melakukan penghijrahan dengan memperbaiki diri ke arah kebaikan. Perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan memperbanyakkan taubat iaitu berniat untuk meninggalkan perbuatan yang menyalahi syariat serta berazam melaksanakan perubahan kerana Allah SWT bukan kerana paksaan sesiapa. Usahlah dipersendakan mereka yang mula berusaha mendekatkan diri ke jalan kebaikan di bulan Ramadan kerana mungkin menjadi asbab perubahan yang berpanjangan.  

Firman Allah SWT di dalam al-Quran  surah al-Tahrim ayat 8  yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha' mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Prosedur operasi standard (SOP) terkini dalam fasa peralihan ke endemik berkaitan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan telahpun dikeluarkan berdasarkan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Antara aktiviti yang dibenarkan adalah tazkirah, kuliah, ceramah, forum, solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tadarus al-Quran, qiamullail, majlis berbuka puasa, moreh, sahur serta majlis penyampaian bantuan dan sumbangan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga merancang pelbagai program menarik sempena bulan Ramadan meliputi pengisian ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan di semua premis di bawah seliaan Jawi seperti masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama (SRA) serta aktiviti turun padang menyantuni golongan sasaran yang memerlukan. Program tersebut dilaksanakan bertujuan memberikan peluang kepada orang ramai untuk melipatgandakan amalan ibadah, mendalami ilmu berkaitan ibadah puasa serta menzahirkan keprihatinan dan perasaan empati terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia. 

Marilah kita menanamkan tekad dan azam menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik serta berusaha memburu ganjaran malam lailatul qadar yang dijanjikan Allah SWT iaitu lebih baik daripada seribu bulan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 7:00 AM