SEWAJARNYA keistimewaan al-Quran mampu menjadikannya  sebagai panduan hidup demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. FOTO Reuters
SEWAJARNYA keistimewaan al-Quran mampu menjadikannya sebagai panduan hidup demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. FOTO Reuters
Dr Azri Bhari

Menurut bahasa, al-Quran mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, 'qiraah' bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu." (Surah al-Qiyaamah: 17-18)

Manakala menurut istilah pula ialah kitab yang diturunkan Allah SWT secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat iaitu mendapat pahala jika dibaca yang terangkum dari awal surah al-Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Antara keistimewaan al-Quran berbanding kitab-kitab lain yang boleh dizahirkan dan dilihat oleh masyarakat Islam dan masyarakat dunia sebagai tanda keagungan dan keunggulan mukjizat Nabi SAW ialah keaslian al-Quran kekal terpelihara sepanjang zaman. 

Kebanyakan kitab-kitab terdahulu telah banyak diubah, dipinda dan diolah seperti yang berlaku terhadap isi kandungan kitab Injil, namun keaslian kitab al-Quran masih terpelihara hingga ke hari ini. 

Terdapat pelbagai cubaan dan rancangan keji untuk memalsukan dan mengubah isi kandungan al-Quran, namun segalanya gagal dan dapat dikesan tindakan dan perbuatan tersebut.  Al-Quran sangat dijaga rapi oleh Allah SWT dari segi tulisan dan hafalan sejak dari awal penurunan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." (Surah Al Hijr: 9)

Allah SWT juga pernah menukilkan di dalam al-Quran bahawa tiada sesiapa pun yang dapat meniru isi kandungan al-Quran. Cabaran demi cabaran telah diberikan oleh Allah SWT.

Cabaran pertama,  Allah SWT mencabar untuk membuat isi persis seperti al-Quran, Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ataukah mereka mengatakan: "Dia (Muhammad) membuat-buatnya. Sebenarnya mereka tidak beriman. Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimat yang semisal al-Quran itu jika mereka orang-orang yang benar." (Surah al-Thur: 3-34)

Cabaran kedua,  Allah SWT mengurangkan cabaran-Nya iaitu hanya beberapa surah sahaja. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bahkan mereka mengatakan: "Muhammad telah membuat-buat al-Quran itu," Katakanlah: "(Kalau demikian), maka datangkanlah sepuluh surat-surat yang dibuat-buat yang menyamainya dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar." (Surah Hud: 13)

Cabaran ketiga,  Allah SWT memberikan yang lebih ringan dari sebelumnya dengan hanya membuat satu surah sahaja. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Atau (patutkah) mereka mengatakan "Muhammad membuat-buatnya". Katakanlah: "(Kalau benar yang kamu katakan itu), maka cubalah datangkan sebuah surat seumpamanya dan panggillah siapa-siapa yang dapat kamu panggil (untuk membuatnya) selain Allah, jika kamu orang yang benar." (Surah Yunus: 38) 

Cabaran keempat,  memberikan yang paling ringan iaitu mendatangkan ayat-ayat seperti ayat al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar." (Surah Al-Baqarah: 23)

Namun, cabaran demi cabaran tersebut gagal dilaksanakan oleh golongan yang ingin mencabar dan menolak kebenaran al-Quran, walaupun cabaran diberi pengurangan demi pengurangan, tetapi masih gagal untuk mengatasi keistimewaan al-Quran.

Demikianlah, keistimewaan dan keagungan al-Quran sejak dari zaman dahulu lagi sehingga ke hari ini masih lagi kekal terpelihara, walaupun ramai yang mencuba untuk mengubah isi kandungan atau menghapuskan al-Quran.

Sewajarnya keistimewaan ini mampu membuka mata dan minda masyarakat Islam atau bukan Islam untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan dan bimbingan dalam kehidupan demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Penulis  Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 7:01 AM