ELAK bersesak-sesak ketika mengambil wuduk di masjid.
ELAK bersesak-sesak ketika mengambil wuduk di masjid.
Nor Asree Mohd Noh

SEKITAR bulan Jun yang lalu apabila kerajaan Malaysia mengisyitiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ia seolah-olah memberi sinar baharu buat orang ramai untuk ke masjid. Hal ini kerana orang ramai dibenarkan kembali berjemaah di masjid dalam skala yang lebih besar berbanding ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di peringkat awal dahulu. Walau bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan demi menjaga keselamatan umum. Antaranya jemaah dimestikan untuk berwuduk dari rumah sebelum hadir ke masjid.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke masjid untuk mendirikan solat fardu yang diwajibkan oleh Allah SWT  maka langkah (kaki) pertama menghapuskan dosanya dan langkah kedua mengangkat darjatnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat juga hadis lain mengenai perkara ini, sebagaimana riwayat: "Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk mendirikan solat fardu, maka pahalanya menyamai pahala seorang yang mengerjakan haji yang mengenakan ihram." (Hadis Riwayat Abu Daud). Menurut sebahagian ulama bahawa hukum berwuduk di rumah sebelum menuju ke masjid adalah sunat sahaja tidaklah menjadi kewajiban, akan tetapi apabila dibuat maka ia berpahala.

Namun dalam konteks Covid-19 yang melanda Malaysia kini, amalan ini seolah-olah menjadi 'wajib' bagi setiap pengunjung untuk melaksanakannya sebelum ke masjid. Pihak kerajaan meletakkan SOP bagi segala aktiviti masjid dan surau, dengan mewajibkan setiap pengunjung masjid untuk mematuhi etika berjemaah, antaranya ialah siap mengambil wuduk dari rumah.

Ia turut termasuk mereka yang berada di tempat kerja seperti di pejabat, ladang, kedai dan lain-lain, iaitu disarankan perkara yang sama. Ini adalah salah satu langkah yang baik untuk membendung penularan wabak Covid-19. Dengan cara ini, orang ramai dapat mengelakkan bersesak-sesak di kawasan tempat wuduk yang boleh menyebabkan bersentuhan antara satu dengan yang lain sesama jemaah.

Hakikatnya, amalan berwuduk di rumah ini adalah baik dan perlu dipraktikkan oleh semua Muslim sebelum ke masjid. Dalam keadaan sedar atau tidak, mereka sudah melaksanakan salah satu sunah Nabi SAW. Amalan seperti ini adalah tanda bagi menunjukkan keazaman dan kesediaan seseorang untuk menyucikan diri sebelum mengadap Allah SWT iaitu solat. 

Pastinya di situ terdapat sejumlah kebaikan dan pengampunan Ilahi yang akan diberikan kepada pelakunya yang keluar dalam keadaan suci (setelah berwuduk) dan menuju ke masjid semata-mata untuk menunaikan solat sebagaimana sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang berwuduk untuk solat secara sempurna, kemudian berjalan untuk mengerjakan solat fardu bersama orang ramai atau secara berjemaah atau di masjid, Allah SWT  akan mengampunkan dosa-dosanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu dalam riwayat yang lain, satu hari Uthman Affan berwuduk secara sempurna kemudian dia berkata: "Rasulullah SAW  berwuduk dengan baik lalu bersabda: 'Sesiapa yang berwuduk seperti ini lalu keluar ke masjid, tidak ada lain melainkan untuk solat, diampunkan  dosa-dosa sebelumnya.'" (Hadis Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, menjelaskan bahawa hadis ini adalah satu galakan bagi seseorang berbuat ikhlas dalam melakukan setiap ketaatan semata-mata kerana Allah SWT.

Oleh itu, dinasihatkan semua pengunjung masjid untuk belajar mendisiplinkan diri tatkala sekarang ini ia menjadi wajib supaya akan datang masing-masing terdidik dan terlatih dengan sendirinya. Mudah-mudahan amalan berwuduk dari rumah (atau tempat kerja) ini dapat diteruskan secara istiqamah walaupun wabak Covid-19 sudah berakhir.

Penulis Timbalan Dekan dan  Pensyarah,  Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 5:59 AM