BANYAK pengajaran  boleh diambil daripada  menyempurnakan saf solat berjemaah.
BANYAK pengajaran boleh diambil daripada menyempurnakan saf solat berjemaah.
Addin

Solat fardu yang dilakukan secara berjemaah akan memperoleh ganjaran pahala lebih besar daripada solat yang dilakukan secara bersendirian. Gesaan khususnya bagi orang lelaki Muslim untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah menunjukkan terdapat banyak kelebihan sekiranya ibadah utama umat Islam itu ditunaikan secara berjemaah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan kalian dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kalian bersama-sama orang yang rukuk (berjemaah)." (Surah al-Baqarah, ayat 43)

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Solat berjemaah itu lebih utama dengan dua puluh tujuh darjat daripada solat bersendirian" - (Muttafaq 'alaih). Malah terdapat hadis yang menunjukkan pahala yang besar bagi orang yang berusaha untuk menunaikan solat berjemaah. "Jika seseorang bersuci kemudian pergi ke masjid untuk memelihara solatnya, maka dicatat baginya sebanyak sepuluh kebaikan untuk setiap langkahnya ke masjid. Dan orang yang duduk (menunggu solat) untuk memelihara solatnya, dia seperti orang yang melaksanakan ketaatan dan dicatat sebagai orang yang mengerjakan solat ketika keluar dari rumahnya sampai kembali lagi." (Hadis riwayat Ahmad)

Tuntutan untuk orang lelaki Muslim berusaha menunaikan solat berjemaah ditunjukkan apabila solat fardu Jumaat mesti dilakukan secara berjemaah. Ini bermakna setiap Muslim pasti akan menunaikan solat secara berjemaah disebabkan kefarduan menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu.

Dalam hal berkaitan solat berjemaah, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan dengan kesempurnaan saf solat. Sebelum ini ketika negara diserang penularan Covid-19, umat Islam ditetapkan agar menunaikan solat berjemaah dalam keadaan saf yang tidak rapat. Keperluan pada ketika itu, setiap jemaah yang menunaikan solat di masjid perlu mematuhi jarak selamat agar tidak berlaku jangkitan wabak Covid-19 di masjid.

Alhamdulillah, keadaan tersebut tidak lagi berlaku pada ketika ini. Jemaah dibenarkan untuk merapatkan saf ketika solat berjemaah. Inilah antara nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kerana kesempurnaan saf merupakan antara syarat penting bagi meraih kesempurnaan solat berjemaah. 

Oleh itu, perkara yang melibatkan saf solat berjemaah tidak boleh diambil ringan oleh orang Islam. Saf solat tidak boleh ada kerenggangan antara satu Muslim dengan Muslim yang lain. Ada sesetengah orang Islam yang tidak peka tentang perkara ini. Kaki tidak dirapatkan ketika berada dalam saf dan ini bersalahan dengan ketetapan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. "Barang siapa yang menyambung saf, maka Allah akan menyambungnya. Barang siapa memutuskan saf, maka Allah akan memutusnya." (Hadis riwayat an-Nasa'i)

Setiap orang bertanggungjawab untuk memastikan tidak ada renggang dalam saf. Usaha merapatkan saf mengundang ganjaran yang istimewa sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: "Barang siapa yang memenuhkan saf yang renggang, maka Allah akan meninggikannya satu darjat dan akan membangunkan sebuah rumah di syurga untuknya." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Perkara lain yang melibatkan saf solat berjemaah ialah melibatkan kelurusan saf. Rasulullah SAW akan mengingatkan jemaahnya sebelum menunaikan solat bagi memastikan saf berada dalam keadaan lurus. Ini berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: "Luruskan saf-saf kalian, kerana lurusnya saf adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat." (Muttafaq 'alaih)

Antara hikmah Islam menetapkan agar umatnya meluruskan saf ialah kerana ia berkait rapat dengan hati masing-masing. Orang yang tidak berusaha meluruskan saf mempunyai sifat keakuan kerana tidak mengambil kira keadaan mahupun perasaan orang lain. Perbuatan meluruskan saf memerlukan kesatuan hati yang ikhlas untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT menerusi ibadat solat. Justeru, orang yang hanya memikirkan perihal dirinya sahaja tidak akan melihat keadaan orang lain, apatah lagi untuk sama-sama memperbetulkan keadaan secara bersama.

Hal ini dapat difahami berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW yang merujuk perkaitan antara keadaan saf dengan hati orang Muslim. "Luruskanlah (saf) dan jangan bengkok, sehingga hati-hati kalian nantinya akan bengkok (berselisih) pula." (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan arahan yang diberikan oleh Rasulullah SAW agar para sahabat meluruskan saf, maka Anas bin Malik meriwayatkan: "Setiap orang daripada kami (para sahabat), merapatkan bahu kami dengan bahu (orang) di sebelahnya dan merapatkan kaki kami dengan kaki (orang) di sebelahnya" - (Hadis riwayat al-Bukhari). Begitulah para sahabat Rasulullah SAW yang sentiasa patuh terhadap ketetapan agama termasuk dalam hal berkaitan saf solat. 

Selain itu, perbuatan memenuhkan saf yang di hadapan terlebih dahulu juga merupakan antara perkara yang diberi penekanan dalam Islam. Perkara tersebut ternyata menampakkan betapa Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa merebut peluang untuk melakukan kebaikan. Oleh itu, tidak wajar sekiranya ada dalam kalangan umat Islam yang lambat bertindak untuk memenuhkan saf yang berada di hadapan kerana terdapat ganjaran kebaikan daripada perbuatan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Bergeraklah ke hadapan (untuk memenuhkan saf hadapan), ikutilah aku dan ikutlah di belakang kalian sesiapa yang datang setelah kalian. Sesuatu kaum akan sentiasa terakhir (yang sentiasa lewat dan suka berada di saf belakang) sehingga Allah akan mengakhirkannya." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada urusan menyempurnakan saf solat berjemaah. Islam mengajar umatnya agar sentiasa memperkukuhkan jemaah Islam dan inilah yang ditunjukkan menerusi suruhan agar melaksanakan ibadat solat secara berjemaah. Kesatuan umat Islam terserlah dengan pelaksanaan ibadah secara berjemaah.

Kesatuan umat Islam bukan sahaja melibatkan tubuh badan fizikal, namun lebih daripada itu ia menggambarkan kesatuan hati dan fikiran. Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang merujuk kepada keadaan saf yang bengkok boleh menyebabkan hati umat Islam berada dalam keadaan bengkok atau berselisihan dalam banyak perkara. 

Jika dengan menurunnya kadar penularan jangkitan Covid-19, maka umat Islam dibenarkan kembali merapatkan saf. Begitu jugalah yang perlu dilakukan umat Islam tatkala berakhirnya proses pilihan raya yang ada kalanya menjadi punca umat Islam berselisih dalam banyak perkara. Cukup-cukuplah tempoh berkempen yang lalu dimanfaatkan untuk semua pihak yang terlibat menaikkan kumpulan masing-masing, dan menenggelamkan kumpulan lawan sehingga ada kalanya mengendurkan hubungan persaudaraan sesama Muslim.

Kini masanya untuk umat Islam mengukuhkan hubungan persaudaraan bagi memastikan agama Islam terus tinggi di bumi Malaysia. Perselisihan pandangan perlu diuruskan dengan baik agar tidak tercetus perbalahan yang merugikan umat Islam. Bersatulah dalam urusan untuk menjaga kebajikan umat Islam serta memelihara ketinggian agama yang tidak ada lebih tinggi kedudukannya melainkan agama Islam. 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam." (Surah Ali 'Imran, ayat 19) 

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 7:02 AM