GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

ISITIQAMAH ataupun bersifat konsisten dalam melakukan sesuatu pekerjaan adalah sangat dituntut dalam agama Islam. Malah, dalam kehidupan seharian juga ia menjadi satu prinsip yang sangat penting terutamanya dalam alam pekerjaan dan perniagaan. Seseorang yang mampu istiqamah dalam kerja akan pasti mendapat habuan yang terbaik pada akhirnya. Terutama bagi yang sanggup jatuh bangun dalam kerjaya, apatah lagi dalam bidang perniagaan yang penuh dengan pancaroba.

Dalam konteks amal ibadat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik amalan kepada Allah SWT adalah perbuatan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit." (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga ada pepatah yang mengatakan: "Sedikit yang berterusan terlebih baik dari banyak yang terputus."

Manakala, bulan Ramadan sangat sinonim dengan bulan umat Islam menggandakan ibadat. Namun setelah menjalani proses tarbiah (mendidik) selama sebulan, ramai yang kembali kepada keadaan asal sebagaimana sebelum Ramadan.

Oleh itu, Allah SWT meneruskan ganjaran yang sangat besar kepada mereka yang terus istiqamah dengan ibadah terutama ibadah puasa yang dilalui sepanjang Ramadan.

Di samping ibadat teras dalam agama seperti mendirikan solat dan menunaikan zakat serta sedekah, berzikir dan melakukan segala jenis kebaikan.

Solat adalah ibadat terbesar dalam agama Islam. Sepanjang Ramadan, amalan teras ini dipergiatkan dan dijanjikan pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT.

Selain kewajipan berpuasa, solat juga ditambah dengan solat sunat Tarawih. Selain daripada menambah baik semua ibadat berkaitan solat seperti solat sunat yang lain, juga ditunaikan solat secara berjemaah, dilaksanakan di awal waktu, didirikan di masjid dan dalam suasana yang penuh ruh keimanan yang tinggi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Secara dasarnya, selepas keluar daripada madrasah Ramadan ini, sepatutnya diteruskan dengan menjaga solat sebagaimana ketika berada dalam Ramadan dahulu. Walaupun sudah tiada gandaan pahala seperti di bulan Ramadan, sekurang-kurangnya mengambil inspirasi daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa dalam sehari semalam solat sunat dua belas rakaat maka Allah akan membangunkan baginya rumah di syurga; iaitu empat rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepas Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Baginda SAW bersabda, Allah SWT berfirman kepada para malaikat-Nya sedang Dia lebih mengetahui: "Lihatlah pada solat hamba-Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih ada kurang? Sekiranya sudah sempurna, tulislah sempurna. Sekiranya masih ada kurang. Firman-Nya: Lihatlah adakah ada pada hamba-Ku itu amalan-amalan sunat. Sekiranya ada, Firman-Nya: Sempurnakanlah bagi hamba-Ku itu amalan fardunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Adapun sebagai penerusan kepada ibadat puasa, disunatkan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal. Amalan ini walaupun sekadar amalan sunat, namun ia menjanjikan ganjaran yang besar dan berterusan daripada Allah SWT. Iaitu seolah-olah berpuasa setahun lengkap. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan beberapa ibadat puasa sunat yang sangat dianjurkan di dalam Islam. Antaranya ialah puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu dan berpuasa tiga hari pada pertengahan bulan Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada Abu Qatadah RA, Baginda SAW ditanya mengenai puasa pada hari Isnin. Baginda pun menjawab: "Hari Isnin adalah hari kelahiranku, hari aku dilantik menjadi Rasul dan Allah menurunkan al-Quran kepadaku"- (Hadis Riwayat Muslim). Begitu juga hadis yang bermaksud: "Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Antara ibadat teras dalam agama Islam ialah menunaikan zakat yang wajib dan juga bersedekah sebagai amalan sunat. Kelebihan bersedekah sangat besar di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Dasar bantu-membantu dan tolong-menolong dalam masyarakat kita sangat baik. Perkara ini lebih menyerlah semasa bulan Ramadan apabila setiap orang berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Sikap ini juga sangat digalakkan sebagaimana mafhum firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Seterusnya, sebagai pelengkap kepada ibadat-ibadat teras yang telah disebutkan di atas zikrullah (zikir mengingati Allah) juga sepatutnya menjadi amalan berterusan kita selepas Ramadan.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 5:59 AM