ALLAH SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi yang mengimarahkan masjid.
ALLAH SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi yang mengimarahkan masjid.
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Saban tahun masjid dan surau di seluruh negara menawarkan pelbagai program menarik untuk meningkatkan kekuatan ruhiyah umat Islam sepanjang bulan Ramadan. Antara ibadah utama yang hanya ada pada bulan Ramadan adalah solat sunat Tarawih. Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, ketetapan dibuat kepada seluruh masjid dan surau agar mendirikan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat supaya dapat merebut sebanyak mungkin ganjaran pahala yang dijanjikan. Walau bagaimanapun ketetapan berkenaan bukanlah suatu perkara yang perlu diperdebatkan sehingga akhirnya ibadah tersebut ditinggalkan. Hakikatnya, ganjaran pahala dikurniakan oleh Allah SWT kepada semua hamba yang bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan ibadah kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar."

Bagi mereka yang berpeluang menunaikan solat sunat Tarawih di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, solat tersebut dipimpin oleh imam jemputan yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan suara yang merdu dan mengasyikkan pada setiap malam. Kemudahan parkir kenderaan disediakan mengikut kategori bilangan rakaat agar tidak menyukarkan orang lain yang berhajat untuk pulang lebih awal. Hubungan persaudaraan sesama manusia juga mesti sentiasa dipelihara di samping beribadah mendekatkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdirrahman Muadz bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskan (keburukan). Dan pergauilah manusia dengan akhlak yang mulia" - (Riwayat Al-Tirmizi).

Selain itu, pihak masjid juga menyediakan kemudahan penjagaan anak-anak kecil sementara ibu bapa menunaikan solat sunat Tarawih. Begitu sekali masjid meraikan dan mengalu-ngalukan kedatangan jemaah di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. 

Kebanyakan masjid dan surau menganjurkan aktiviti tadarus al-Quran lazimnya selepas selesai solat sunat Tarawih atau waktu lain yang bersesuaian. Oleh itu, luangkanlah sedikit masa untuk memperbaiki mutu bacaan al-Quran serta menghayati terjemahannya. Bagi yang belum dapat membaca al-Quran dengan baik, tidak ada istilah terlewat bagi yang mahu mempelajarinya. Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran." (Riwayat Muslim)

Sebaik-baiknya aktiviti tadarus juga disusuli dengan tadabur al-Quran selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran surah Sod ayat 29 yang bermaksud: "Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya."

Umat Islam perlu bertadabur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran agar petunjuk yang diberikan dapat memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT. 

Kegiatan sedekah dan infaq semakin rancak diadakan di masjid dan surau sepanjang Ramadan. Umat Islam amat digalakkan untuk memberikan sedekah dan menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan serta menjauhi sifat meminta-minta. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu." (Riwayat Muslim)

Bagi yang berkemampuan, rebutlah peluang untuk menyertai program infaq atau penajaan berbuka puasa yang diatur atau hulurkanlah derma sekadar kemampuan. Kini, pelbagai cara dan kaedah disediakan oleh pihak masjid dan surau untuk memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan seperti mesin kios dan lain-lain kemudahan dalam talian.

Sebahagian masjid dan surau melaksanakan amalan tradisi menyediakan iftar atau juadah berbuka puasa secara percuma setiap hari kepada ahli kariah yang memerlukan. Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, 70 masjid dan surau terpilih melaksanakan program Iftar Rahmah Ramadan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan. Kurangkanlah budaya mengunjungi bazar Ramadan agar dapat mengelakkan daripada perbelanjaan mengikut hawa nafsu yang akhirnya terjerumus kepada pembaziran. Mengunjungi bazar Ramadan bukan suatu kesalahan dengan niat membantu peniaga dan merancakkan kegiatan ekonomi dalam kalangan rakyat, namun perbelanjaan haruslah dibuat secara berhemah dan mengikut keperluan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Isra' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Masjid-masjid turut menganjurkan amalan beriktikaf dan qiamullail terutamanya pada 10 malam terakhir bulan Ramadan bagi memburu lailatul qadar. Di dalam sebuah hadis daripada Abdullah Ibn Umar RA beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah SAW itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan." (Riwayat Al-Bukhari).

Di dalam hadis lain daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat pada waktu malam."  (Riwayat Muslim)

Waktu terbaik menunaikan qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun daripada tidur dan mengambil wuduk, disunatkan untuk terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat yang lain seperti solat sunat Hajat, Taubat, Tasbih dan solat sunat Witir. Antara amalan lain yang boleh dilakukan semasa qiamullail termasuklah membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.

Daripada berterusan berpolemik tentang amalan menziarahi rumah ibadat agama lain, marilah kita merebut peluang untuk menziarahi masjid dan surau dalam kariah masing-masing atau sesekali mengunjungi masjid lain yang berhampiran bagi menghidupkan Ramadan dan menghayati kemanisan beribadah di bulan yang dinanti-nantikan. Utamakanlah aktiviti mengimarahkan masjid dan surau kerana ia tempat terbaik untuk dikunjungi. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi yang mengimarahkan masjid sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 6:01 AM