PERISTIWA  terbesar dalam bulan Zulhijah adalah ibadah haji dan korban yang disyariatkan ke atas umat Islam terutamanya bagi golongan yang berkemampuan sebagai lambang ketaatan kepada perintah Allah SWT. FOTO AFP
PERISTIWA terbesar dalam bulan Zulhijah adalah ibadah haji dan korban yang disyariatkan ke atas umat Islam terutamanya bagi golongan yang berkemampuan sebagai lambang ketaatan kepada perintah Allah SWT. FOTO AFP
Datuk Mohd Ajib Ismail

 Jumaat lalu Islam menyambut tanggal 1 Zulhijah 1443H sebagaimana yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Justeru Hari Raya Aidiladha bakal disambut oleh umat Islam khususnya di Malaysia pada 10 Zulhijah bersamaan 10 Julai 2022. Dalam kalendar Islam, bulan Zulhijah merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT, di samping tiga bulan Islam yang lain iaitu bulan Zulkaedah, Muharam dan Rejab. Antara peristiwa terbesar dalam bulan Zulhijah adalah ibadah haji dan korban yang disyariatkan ke atas umat Islam terutamanya bagi golongan yang berkemampuan sebagai lambang ketataatan kepada perintah Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bermaksud: "Seorang lelaki berkata: 'Wahai Rasulullah, apakah amalan yang afdal,' Baginda menjawab: "Beriman dengan Allah dan Rasul-Nya." Kemudian dia berkata, 'selepas itu, apa?' Baginda menjawab: "Jihad di jalan Allah." Dia berkata lagi, 'seterusnya apa?' Baginda menjawab: "Haji yang mabrur." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang- binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat."

Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban bermula selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah 1443H sebelum berakhir waktu Asar. Walaubagaimanapun masjid, surau dan mana-mana pihak yang melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban hendaklah mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara. Kebenaran tersebut adalah selaras dengan situasi semasa negara yang kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Pada tahun ini, umat Islam juga kembali berpeluang menunaikan ibadah haji di Makkah al-Mukarramah setelah dua tahun hasrat tersebut tertangguh akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Kuota Haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia bagi musim haji tahun ini berjumlah 14,306 orang jemaah. Semoga dengan ketetapan dan kemudahan tersebut, umat Islam dapat bersama-sama merebut peluang meraih ganjaran pahala serta meningkatkan penghayatan terhadap ibadah haji dan korban sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Kedatangan bulan Zulhijah amat besar maknanya di dalam kalendar tahunan umat Islam. Allah SWT juga menjadikan 10 hari terawal Zulhijah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bersama bagi orang yang mengerjakan haji dan mereka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam tahun tersebut, masih boleh melaksanakan pelbagai bentuk ibadah dan amal soleh di tempat masing-masing sepanjang 10 hari berkenaan. Pada 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah adalah hari yang paling istimewa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari yang amal solehnya lebih dikasihi Allah selain daripada hari yang 10 ini. Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid)."  (Riwayat Ahmad dan Al-Tirmizi)

Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Antara amalan yang dianjurkan pada 10 hari terawal bulan Zulhijah adalah seperti memperbanyakkan bertaubat dan beristighfar, membaca al-Quran, berpuasa, qiamullail, bersedekah, berzikir dan berselawat, memelihara silaturahim, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan solat berjemaah di awal waktu. Amalan berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat serta berzikir dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 200-201 yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut- nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia." (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat."

Berkenaan ibadah puasa, antara yang dituntut untuk dilaksanakan adalah Puasa Hari Arafah iaitu puasa pada hari kesembilan Zulhijah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan Hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat yang lain. Berpuasa sunat Arafah diganjari pahala yang sangat besar, sebagaimana maksud sebuah hadis daripada Abu Qatadah al-Anshari RA, Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (Riwayat Muslim)

Justeru masjid dan surau khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh menganjurkan program dan aktiviti seperti majlis iftar, qiamullail, infaq dan sedekah, zikir dan selawat serta pelbagai lagi sebagai pengisian yang bermanfaat kepada masyarakat. Selain menggalakkan ahli kariah masjid dan surau masing-masing merebut peluang bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam bulan Zulhijah, aktiviti tersebut juga dapat menyokong usaha yang berterusan dalam mengimarahkan masjid dan surau lebih-lebih lagi setelah pelbagai kelonggaran kembali diberikan menuju fasa endemik.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:00 AM