Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

RAMADAN yang akan disambut tahun ini pasti berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Persediaan untuk solat sunat Tarawih khususnya bagi golongan lelaki pasti menjadi topik perbincangan utama mereka.

Sudah pasti surau dan masjid tertentu menjadi pilihan bagi mengerjakan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Tidak kurang pula mereka yang mencari masjid yang dipimpin oleh imam luar negara.

Semua faktor berkenaan menjadi pemangkin kepada kemeriahan Ramadan dengan solat sunat Tarawih sebagai ibadah yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun sama ada di surau atau masjid seluruh Malaysia.

Namun, situasi terkini penularan virus Covid-19 yang masih lagi berada pada tahap membimbangkan dan dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah tentu suasana solat sunat Tarawih tahun ini cukup berbeza.

Dalam keadaan ini, pihak penguasa sudah memberi arahan kepada semua surau dan masjid untuk tidak mengadakan solat berjemaah bagi membanteras penularan virus Covid-19.

Hal ini secara umumnya memberi peluang kepada suami untuk memimpin solat sunat Tarawih di kediaman masing-masing.

Kedudukan suami sebagai ketua keluarga adalah bertanggungjawab memimpin rumah tangga serta membimbing ahli keluarganya mengikut panduan yang ditetapkan syarak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Toha, ayat 132)

Maka untuk memimpin ahli keluarga mengerjakan solat secara berjemaah khususnya solat sunat Tarawih yang dilakukan hanya dalam satu bulan sahaja setahun, sudah tentu persediaan yang rapi perlu dilakukan oleh suami.

Ini bertitik tolak dari segi ilmu pengetahuan dan hukum hakam mengenai perkara utama yang perlu ada dalam solat sunat berkenaan.

Justeru, berbaki beberapa hari sebelum Ramadan tiba merupakan tempoh terbaik bagi golongan suami untuk memperelokkan bacaan serta memperkemaskan ilmu berkaitan solat sunat Tarawih sebelum memimpin ahli keluarga nanti.

Mudah-mudahan ibadah yang dilakukan nanti akan diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya". (Surah Bayyinah, ayat 5)

Penulis adalah pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 8:15 AM