GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Aidilfitri adalah syiar yang besar dalam agama Islam. Ia disyariatkan pada tahun pertama hijrah.

Disyariatkan hari raya sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Umat Islam digalakkan untuk menyambut kedatangan hari kemenangan ini dengan bergembira, mengeratkan silaturahim dan saling berdoa supaya amalan sebelumnya diterima oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah.

Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." (Riwayat Abu Daud)

Bulan Ramadan adalah bulan pesta ibadah dan berganda segala amalan baik kita kepada Allah SWT.

Pastinya sepanjang berpuasa dalam Ramadan ini semua umat Islam menumpukan juga kehidupan seharian kepada niat beribadah dan mendapat ganjaran pahala yang banyak daripada Allah SWT.

Bermula dengan sunah bersahur pada lewat pagi, solat berjemaah pada setiap waktu solat, membaca serta bertadarus al-Quran, segera berbuka pada waktu Maghrib, solat Tarawih dan meneruskan dengan solat sunat yang lain.

Di samping kerja harian biasa sebagai seorang manusia, semua amalan seharian itu dilakukan dengan tujuan mendapatkan ganjaran yang besar daripada Allah SWT walaupun sangat padat.

Apatah lagi pada 10 hari terakhir Ramadan. Setelah sebulan penuh dengan rutin ini, pastinya kita akan bergembira bila tibanya Syawal pada penghujungnya.

1 Syawal akan ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam kerana ia adalah hari kemenangan dan kejayaan.

Kemenangan kerana berjaya menangkis segala kehendak hawa nafsu dan kemenangan kerana berjaya melaksanakan segala amalan sebagaimana tuntutan dan sunah Nabi SAW.

Maka, Aidilfitri akan disambut dengan penuh kemeriahan dan kebanggaan oleh semua umat Islam, tidak kira di mana mereka berada dan dalam apa jua suasana.

Termasuklah dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa sekarang di kebanyakan negeri dalam negara kita.

Namun, pastinya dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Banyak amalan sunah Rasulullah SAW dalam menyambut hari raya, khasnya Aidilfitri dengan tetap patuh SOP.

Amalan bertakbir tidak semestinya semasa berada di masjid atau di luar rumah. Ia boleh dilakukan bersama keluarga dalam rumah.

Maka, ia tidak melibatkan SOP semasa tempoh PKP kerana kita boleh kekal dalam rumah masing-masing.

Sekiranya kita berada dalam kawasan yang dibenarkan solat hari raya di masjid atau surau, maka boleh bertakbir di masjid atau surau dan semasa dalam perjalanan.

Ini akan membangkitkan lagi ketinggian syiar Islam dengan laungan takbir raya. Bermula pada malam hari raya lagi digalakkan kita memperbanyakkan takbir.

Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT: "Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." (al-Baqarah, ayat 185)

Amalan kedua mengikut sunah Nabi SAW ialah solat hari raya Aidilfitri. Rasulullah SAW bersabda: "Rasulullah SAW telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." (Riwayat Bukhari)

Solat hari raya hukumnya sunat muakkad (sangat dituntut) dan sunat muakkad juga dilaksanakan secara berjemaah dengan ada khutbah setelah selesai menunaikannya.

Oleh itu, jika SOP tidak membenarkan solat berjemaah di masjid atau di surau, maka bolehlah kita menunaikannya bersama ahli keluarga dalam kediaman masing-masing.

Perkara ini juga sudah kita laksanakan semasa tempoh PKP yang menyeluruh di negara kita pada 2020. Oleh itu, tiada masalah untuk kita menyambut hari raya Aidilfitri semasa tempoh PKP dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Banyak lagi amalan mengikut sunah yang kita boleh amalkan semasa menyambut hari raya Aidilfitri ini dengan kita tetap mematuhi SOP.

Antaranya juga ialah amalan mengucapkan selamat dan berdoa agar amalan kita sepanjang Ramadan lalu diterima oleh Allah SWT.

Ucapan dan doa boleh disampaikan melalui media elektronik yang pelbagai seperti sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, Telegram dan sebagainya.

Malah, jika tidak dibenarkan bertemu fizikal pun kita masih boleh berhubung secara maya melalui aplikasi seperti Zoom, Google Meet, Skype dan pelbagai aplikasi yang tersedia.

Tegasnya, hari raya Aidilfitri tetap kita akan sambut dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan. Syiar Islam ini terus kita teguhkan dengan amalan yang kita boleh lakukan mengikut SOP yang ditetapkan.

Kita perlu menzahirkan rasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT yang banyak dianugerahkan kepada kita. Dalam masa yang sama kita tetap patuh kepada arahan daripada pihak pemerintah negara kita.

Allah SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada 'ulil-amri' (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (an-Nisa', ayat 59)


Penulis Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:00 AM