JAWI baru-baru ini melancarkan Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan bertujuan menyeru umat Islam meningkatkan dan memperbaiki mutu ibadat solat.
JAWI baru-baru ini melancarkan Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan bertujuan menyeru umat Islam meningkatkan dan memperbaiki mutu ibadat solat.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Pengumuman dibuat kerajaan berhubung peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April depan adalah perkara dinanti-nantikan lebih-lebih lagi berkaitan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau yang kembali dibenarkan tanpa penjarakan fizikal. Berita gembira menjelang ketibaan Ramadan yang semakin hampir ini sudah tentu dibuat berasaskan fakta dan data serta mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sebagai tanda menzahirkan rasa kesyukuran, umat Islam perlulah merebut peluang yang diberikan dengan meningkatkan penyertaan dan kehadiran ke masjid serta surau untuk menunaikan solat secara berjemaah, mengikuti kuliah, kelas pengajian, bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung seterusnya Malaysia berada dalam perlindungan Allah SWT. Perkara itu selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Duha ayat 11 yang bermaksud: "Adapun nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya."

Justeru melaksanakan segala perintah Allah SWT dengan mengerjakan pelbagai bentuk amal ibadat adalah sebahagian daripada cara mensyukuri nikmat kurniaan-Nya dalam kehidupan.

Bagi golongan melazimi solat berjemaah di masjid dan surau, kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diumumkan sudah tentu menambahkan kenikmatan dalam beribadah kerana ia bukanlah amalan yang dilakukan secara bermusim. Antara tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT pada setiap masa.

Dengan kemanisan iman, seseorang mampu beristiqamah dan kekal mengerjakan ibadat dan sentiasa rindu melakukannya seperti solat, puasa, membaca al-Quran, berzikir serta menjauhi perbuatan maksiat.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan dia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka." Riwayat Muslim

Keprihatinan dan kerinduan orang ramai untuk kembali merapatkan saf dalam solat mestilah diterjemahkan dan diubati dengan menghadirkan diri beramai-ramai ke masjid dan surau bagi mengimarahkannya pada setiap waktu terutama waktu Subuh.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya sangat terang pada hari kiamat." Riwayat Abu Daud

Maksud perkataan 'dalam kegelapan' dalam hadis itu ialah solat Isyak dan Subuh dan ayat 'menuju masjid' bermaksud menuju solat berjemaah yang dilaksanakan di masjid.

Pihak masjid atau surau pula perlu sentiasa menganjurkan program pengimarahan dan pengisian kerohanian serta keilmuan dengan pelbagai pendekatan baharu seiring peredaran zaman agar menarik minat untuk dikunjungi oleh ahli kariah.

Setiap anggota masyarakat perlu saling mengingatkan antara satu sama lain untuk meluangkan masa bagi mengunjungi dan mengimarahkan masjid serta surau sekali gus merebut ganjaran besar yang dijanjikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga seperti pergi dan pulang." Riwayat Muslim

Jadikanlah masjid sebagai tempat utama untuk dikunjungi agar peranannya dalam mentarbiah insan, memperbaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas takwa dan keredaan Allah dapat dijayakan. Selaras dengan perkembangan terbaharu ini dan bagi menyemarakkan pesta ibadat dalam kalangan umat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) baru-baru ini melancarkan Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan dengan pelbagai pengisian menarik. Program itu dilaksanakan bertujuan menyeru umat Islam untuk meningkatkan dan memperbaiki mutu ibadat solat dalam kehidupan, menghayati hikmah dan kepentingan solat dalam pembentukan akhlak serta sahsiah insan. Antara pengisian dan aktiviti menarik sepanjang Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan adalah kempen Masjid Dihatiku, kemudahan Surau Bergerak yang disediakan di tapak pasar malam yang dikenal pasti sekitar Kuala Lumpur, Bengkel Solat Sempurna serta aktiviti solat berjemaah bersama Komuniti Disayangi seperti mualaf, orang kurang upaya (OKU), pesakit HIV, transgender, rakan gelandangan dan lainnya termasuk golongan kanak-kanak serta remaja. Beberapa masjid dan surau
di Wilayah Persekutuan turut menganjurkan program Subuh Perdana, Solat Duha Perdana serta pengajian khas berkaitan ibadat solat. Selain itu, Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit juga diadakan di hospital dan pusat perubatan bagi mendedahkan ilmu berkaitan rukhsah solat kepada pesakit.

Sekarang bukanlah masanya untuk kita terus berpolemik dan berdebat sesama sendiri atau menjadi pejuang papan kekunci yang galak mengkritik dan melemparkan kecaman di laman media sosial semata-mata. Sebaliknya ayuhlah kita menjadi pejuang sejati dengan merebut peluang untuk melipatgandakan amal ibadat khususnya dalam mengimarahkan masjid dan surau agar ia menjadi bekalan berharga di akhirat kelak.

Firman Allah dalam al-Quran dalam Surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan."


Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 6:00 AM