ISLAM meraikan diversiti budaya dan tradisi selagi ia tidak bertentangan dengan ajarannya. FOTO arkib NSTP
ISLAM meraikan diversiti budaya dan tradisi selagi ia tidak bertentangan dengan ajarannya. FOTO arkib NSTP
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

ISLAM meraikan diversiti budaya dan tradisi selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Ini kerana Allah SWT menciptakan manusia berbeza-beza bukan untuk berlawanan antara satu sama lain.

Mereka semua perlu sama-sama mengenali dan mengasihi kerana semua manusia berasal daripada nenek moyang pasangan yang sama iaitu Adam dan Hawa.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu berasal daripada Adam dan Adam itu (diciptakan) daripada tanah.” (Hadis Bukhari)

Mengikut hasil kajian dilaporkan Rosey Wang Ma (2005), kebanyakan orang Melayu menjangkakan bahawa orang Cina yang menganut Islam akan meninggalkan budaya asal mereka dan mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu.

Bagi mereka, hampir semua budaya Cina tidak Islamik, maka sebab itu orang Cina Muslim perlu menjadi Melayu melalui asimilasi sepenuhnya untuk menjadi seorang Muslim sejati.

Ciri-ciri, nama dan budaya Melayu adalah manifestasi kepada identiti agama mereka. Akibat daripada persepsi dan jangkaan itu, maka ramai orang Cina yang menganut Islam dibuang keluarga asal mereka kerana mereka dicap sebagai menjadi Melayu.

Perubahan paling ketara berlaku dengan pertukaran nama. Di Malaysia, kebanyakan orang Cina yang masuk Islam diminta menukar nama mereka kepada nama Melayu atau Arab dan menggunakan bin atau binti Abdullah.

Ada juga mereka yang menguruskan pengislaman membuang keseluruhan nama asal Cina termasuk nama keluarga kerana dikatakan sebagai tidak Islamik.

Sedangkan bahasa Cina seperti bahasa lain di dunia ini semuanya adalah ciptaan Allah SWT. Bagi masyarakat Cina, membuang nama seseorang sama seperti menafikan keturunan, apatah lagi dibinkan dengan nama orang lain seolah-olah memisahkan Cina Muslim dengan keturunan asalnya.

Oleh kerana identiti Melayu dan identiti Islam membayangi budaya Cina dan identiti etnik, kebanyakan orang Cina menyamakan menjadi Muslim dengan menjadi orang Melayu.

Mereka melihat apabila memeluk agama Islam sebagai mengkhianati keluarga dan bangsa dan memalukan masyarakat Cina. (Rosey Ma, 2011)

Masih ramai orang Cina yang berminat kepada Islam masih tidak bersedia untuk menerimanya kerana permasalahan yang dinyatakan itu.

Malah ramai juga yang bersyahadah tetapi tidak berani mengisytiharkan diri mereka sebagai Islam kerana pasti akan berlaku ‘peperangan besar’ dalam keluarga.

Melainkan dia mempunyai ibu atau bapa yang memahaminya. Hakikatnya, kejadian manusia seperti disebut dalam ayat al-Quran dalam Surah al-Hujurat itu menunjukkan kaum dan suku yang berlainan bertujuan untuk menjadi makhluk saling kenal-mengenali antara satu sama lain.

Keadaan jauh lebih baik bagi masyarakat Cina Muslim di Malaysia kerana dapat menonjolkan identiti bangsa dan pada masa sama menjadi orang Islam yang baik.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di UPM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 12:13 PM