Keunikan kepada ciptaan Allah SWT   ialah kepelbagaian ini sebenarnya bermatlamatkan penyatuan dan perpaduan.
Keunikan kepada ciptaan Allah SWT ialah kepelbagaian ini sebenarnya bermatlamatkan penyatuan dan perpaduan.
minda

Menjadi lumrah kejadian manusia diciptakan dalam pelbagai bangsa dan puak. Namun, keunikan kepada ciptaan Allah SWT ialah kepelbagaian ini sebenarnya bermatlamatkan penyatuan dan perpaduan. Manusia selalunya menganggap sesuatu yang berbeza membawa kepada pelbagai aliran, fahaman dan tindakan yang selamanya tidak akan bersatu dalam kelompok yang sama. Islam mengiktiraf perbezaan pendapat sehingga membawa kepada keluasan dalam mengamalkan agama.

Manakala, kita yang berada di dalam negara berbilang bangsa dan keturunan sememangnya sangat memahami suasana yang sebenar sebagaimana dinyatakan. Malah, semangat perpaduan yang sangat tinggi telah ditunjukkan oleh setiap warganegara Malaysia sejak dari sebelum merdeka sehingga sekarang. Kemelut perkauman berjaya diharungi dan diselesaikan dengan harmonis dan akhirnya semua masyarakat hidup dalam aman damai. Kefahaman mendalam terhadap semangat perpaduan mestilah diterapkan dalam setiap jiwa rakyat agar ia terus subur walau apa sekalipun cabarannya.

Definisi perpaduan menurut Kamus Dewan 1994 ialah penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Perpaduan atau solidariti ini juga dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.

Dalam konteks Islam, perkara ini sangat jelas berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Konsep ini sangat ditekankan oleh Allah kerana ia membawa manusia kepada asal-usulnya yang satu. Kemudian membawa kepada berketurunan melalui perkahwinan yang seterusnya menjadikan manusia pelbagai bangsa dan keturunan. Neraca kemuliaan di dalam ayat ini menjadi pegangan teguh setiap Muslim hingga membawa mereka kepada berlumba-lumba melaksanakan ibadat tanpa berasa rendah diri kepada sesama makhluk kerana nilai sebenar di sisi Allah ialah takwa.

Rasulullah SAW bersabda: "Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain ada enam: Jika bertemu maka berilah salam, jika tidak kelihatan maka bertanyalah, jika sakit maka ziarahlah, jika mengundang maka penuhilah, jika bersin dan mengucapkan 'hamdalah' (alhamdulillah) maka jawablah dengan mengucapkan 'yarhamukallah' dan jika meninggal dunia maka hantarkanlah (ke kubur)." (Hadis Riwayat Muslim)

Inilah kemanisan ukhuwah (persaudaraan) dalam Islam yang menjadi lambang perpaduan sejagat. Bahkan, sehingga kepada hubungan di antara Muslim dengan orang bukan Islam. Asas yang diletakkan oleh Islam menjadi tunjang keutuhan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah. Bukti bagaimana Rasulullah segera mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj ketika berhijrah ke Madinah menjadi saksi kepada semangat perpaduan sepanjang zaman. Sejarah ini sentiasa diulang siar sebagai tazkirah kepada setiap orang Islam, bahkan kepada seluruh manusia.

Di samping membina hubungan persaudaraan yang erat, Allah memerintahkan supaya jangan bermusuhan atau berpecah-belah. Allah berfirman: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Allah SWT juga berfirman: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu." (Surah al-Nisa', ayat 1)

Banyak pedoman hadis Nabi SAW yang menggariskan asas penting untuk mengukuhkan perpaduan iaitu dengan mengeratkan persahabatan dan menghindari perpecahan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya." (Hadis Riwayat al-Tabrani)

Islam juga menganjurkan Muslim menjadi orang terbaik dengan menjadi agen kepada menyebarkan manfaat kepada orang lain. Banyak program hari ini yang berbentuk pertolongan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan ia sangat efektif bagi menjalin hubungan baik antara anggota masyarakat dan mewujudkan perpaduan.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 7:00 AM