GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

 

Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mac bagi mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, kebudayaan dan politik.

Tema sambutan Hari Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun ini adalah Think equal, build smart, innovate for change (Fikir kesaksamaan, bina dengan kebijaksanaan, inovasi untuk perubahan).

 Islam adalah agama rahmatan lil alamin. Islam diturunkan bagi menyempurnakan akhlak manusia serta mengatur tujuan hidup dalam Islam supaya menjadi lebih harmonis dan damai.

 Begitulah kehadiran Islam untuk membaiki darjat dan perlakuan manusia terhadap wanita. Allah SWT dalam al-Quran menjelaskan, kedudukan wanita dalam Islam sama dengan lelaki.

Wanita diciptakan sebagai pasangan buat lelaki. Ini dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

 Islam membawa satu perubahan besar dan sangat signifikan terhadap status wanita. Sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang hina.

 Kelakuan orang Quraisy bukan Islam terhadap wanita sangatlah keji. Wanita seolah-olah tidak berhak untuk hidup. Setiap keluarga yang melahirkan anak perempuan akan membunuh anak yang baru dilahirkan itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (ten-
tang ia beroleh anak perempuan, sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah An-Nahl, ayat 58-59)

Allah SWT juga menceritakan hal sama bagaimana orang-orang bukan Islam sebelum kedatangan Islam memperlakukan terhadap wanita.

Allah SWT berfirman: “Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh.” (Surah At-Takwir, ayat 8-9)

 Pada zaman jahiliah, wanita tidak diberikan warisan kerana harta itu hanya untuk lelaki. Wanita sama seperti barang yang boleh dijual beli dan diwariskan. Seperkara lagi, ketika suaminya meninggal dunia, si isteri boleh diwariskan kepada orang lain sama seperti hartanya.

Dalam Surah Ali-Imran, ayat 195, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain.”

 Begitu juga dalam sabda Rasullulah SAW yang bermaksud: “Wanita itu adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis berkenaan, jelas menunjukkan Islam memartabatkan wanita dan tidak membezakan mereka dengan lelaki khususnya dalam perkara membabitkan ibadat.

 Mereka mendapat ganjaran di sisi Allah SWT mengikut amalan masing-
masing. Allah SWT memerintahkan bagaimana sepatutnya wanita diperlakukan menerusi firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah An-Nisa, ayat 19)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 8:44 AM