Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Amalan pada bulan Ramadan berbentuk multidimensi dan satu pakej lengkap untuk mencapai matlamat takwa.

Itulah hakikat ibadat puasa yang dilaksanakan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang diperintahkan bagi orang-orang yang terdahulu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ramadan bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan minum serta melakukan perkara yang membatalkan puasa semata-mata.

Ia adalah satu wasilah (jalan) bagi mencapai ketakwaan dengan memelihara unsur sosial dan rohani yang meliputi proses pengislahan, pembersihan dan pembinaan diri dengan melaksanakan perintah Allah SWT.

Ia bagi memastikan umat Islam mendapat manfaat puasa sepenuhnya.

Said Hawwa dalam kitabnya, Al-Islam menjelaskan, ibadat puasa antara rukun dalam Addin Islam.

Syeikh Darwis Mustafa Hasan juga menjelaskan, ibadat puasa menyediakan jiwa seseorang untuk bertakwa kepada Allah SWT dengan meninggalkan keinginannya semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah SWT.

Dengan itu, akan terdidiklah jiwa orang yang berpuasa untuk meninggalkan keinginannya dengan penuh kesabaran.

Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan mempunyai 140 ayat yang berhubung kait dengan takwa.

Terdapat ayat yang menjelaskan mengenai perintah takwa, keutamaan takwa, sifat orang bertakwa, cara atau jalan menuju takwa dan ganjaran untuk orang bertakwa.

Bagaimanapun, ayat yang paling banyak diterangkan ialah mengenai keutamaan dan ganjaran yang akan diperoleh oleh orang bertakwa.

Ini menunjukkan martabat takwa adalah elemen sangat penting bagi manusia sehinggakan Allah SWT menjanjikan banyak ganjaran dan kenikmatan bagi orang yang mencapai martabat itu.

Sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertaktwa itu berada dalam syurga dan nikmat.” (Surah at-Thur, ayat 17)

Pengertian takwa adalah menjaga atau memelihara diri supaya tidak melakukan perbuatan yang dilarang Allah SWT dan disertakan dengan ketaatan dalam menjalankan perintah-Nya.

Sifat orang bertakwa jelas tercatat dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.” (Surah al-Baqarah, ayat 2-7)

Ramadan juga menawarkan pakej amalan yang komprehensif menuju martabat takwa. Maka, pada kesempatan hari terakhir Ramadan ini, jangan kita putus harapan.

Sisa waktu yang ada ini pastikan kita terus memperbanyakkan amalan ibadat khusus seperti solat, menunaikan zakat, menepati janji, berlaku adil, bersedekah dan infak kepada golongan asnaf seperti fakir, miskin, mualaf dan mereka yang memerlukan pertolongan.

Semua amalan mulia itu apabila dilakukan bersama ibadat puasa akan mendidik jiwa dekat dengan Allah SWT selain cekal menghadapi 11 bulan mendatang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah An Nahl, ayat 128)

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 2:09 PM