MOHAMAD Lokman menjadi Guru Pendidikan Khas kerana mempunyai saudara dan rakan OKU. FOTO ihsan pembaca
MOHAMAD Lokman menjadi Guru Pendidikan Khas kerana mempunyai saudara dan rakan OKU. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


Puchong: Memiliki saudara sindrom down dan rakan Orang Kurang Upaya (OKU) mendorong Mohamad Lokman Mohamad Rozei menceburi bidang perguruan dengan menjadi Guru Pendidikan Khas.

Meskipun sedar cabaran bakal dihadapi, Mohamad Lokman, 25, sanggup dan mula mengajar murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 3, di sini selepas mendapat lantikan tetap, Januari lalu.

Kisah Mohamad Lokman mendapat perhatian selepas pemuda berkenaan kerap berkongsi video keletah dan gelagat anak murid istimewanya di TikTok.

Bercerita lanjut, Mohamad Lokman yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani mengakui tugasnya menuntut kesabaran tinggi namun dia bersyukur kerana terpilih menggalas tanggungjawab mendidik anak istimewa.

"Hendak kawal mereka sendiri memang susah namun di kelas ada pembantu murid jadi tugas jadi lebih mudah.

"Memang ada murid yang meragam, jadi sebagai guru saya perlu latih diri untuk banyakkan bersabar. Setakat ini, saya belum sampai tahap hilang sabar memandangkan faham mereka semua anak istimewa.

"Lagipun, di sekolah rendah dulu saya pernah berdepan pengalaman lebih teruk apabila ada seorang murid OKU meludah muka saya kerana menegurnya dan pada waktu itu saya tidak marah tetapi ketawa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohamad Lokman, dia mengajar murid Tahun Satu hingga Enam dan cuba membiasakan diri mendidik dengan pendekatan berbeza, khusus untuk murid istimewa.

Katanya, ilmu dipelajari sepanjang lima tahun menuntut dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Institut Perguruan (IPG) Kampus Darul Aman, Kedah selain pengalaman menjalani latihan industri banyak mengajarnya untuk mengendalikan murid istimewa dalam bilik darjah.

"Ada pelbagai kategori murid OKU dalam kelas seperti sindrom down, hiperaktif dan autisme.

"Setiap seorang mempunyai perilaku dan karakter berbeza jadi perlu bijak mengendalikan mereka.

"Jujurnya, saya seronok dikelilingi anak istimewa yang sebenarnya manja dan mesra malah mereka suka tunjukkan kasih sayang dengan memeluk saya serta panggil saya kerana mahukan perhatian," katanya.

Berhubung videonya yang meraih hingga ratusan ribu tontonan di TikTok, Mohamad Lokman berkata, dia tidak menggunakan murid istimewanya untuk mengumpul pengikut.

Sebaliknya, video itu dirakam dan dimuat naik di platform berkenaan sebagai kenangan seandainya dia berpindah sekolah satu hari nanti.

"Tak sangka pula video itu mendapat perhatian ramai namun apa yang baiknya, saya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai OKU. Ini kerana ada yang tidak menyedari kewujudan komuniti itu di sekeliling mereka.

"Alhamdulillah, banyak komen positif diterima namun ada juga mempersoalkannya (memuat naik video) kerana menganggap tidak patut mendedahkan anak istimewa sedangkan saya sudah meminta izin terlebih dahulu daripada ibu bapa serta penjaga murid.

"Apa pun, terima kasih kepada yang beri kata semangat dan saya mahu menjadi guru untuk beberapa tahun lagi. Perancangan akan datang pula adalah untuk menjadi pensyarah bahagian Pendidikan Khas," katanya yang juga anak bongsu daripada 10 beradik.

MOHAMAD Lokman ketika melayan keletah anak muridnya. FOTO ihsan pembaca.
MOHAMAD Lokman ketika melayan keletah anak muridnya. FOTO ihsan pembaca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 8:00 PM