ASAM jawa banyak khasiat untuk membantu kecantikan kulit.
ASAM jawa banyak khasiat untuk membantu kecantikan kulit.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Tahukah anda bahawa asam jawa bukan sahaja sekadar ramuan penyedap dalam masakan, malah ia memiliki banyak manfaat untuk kecantikan kulit.

Mengandungi pelbagai khasiat dan kaya vitamin B, antioksidan, mineral, zat besi, magnesium, karbohidrat serta fosfor, asam jawa dikatakan mampu merawat pelbagai masalah berkaitan kulit.

Tidak hairan jika asam jawa digunakan sejak zaman-berzaman dalam pelbagai petua kecantikan.

Untuk membantu mencerahkan kulit badan dan wajah misalnya, ada petua menyarankan penggunaan rendaman air asam jawa.

Dengan tambahan bahan semula jadi lain seperti madu, lemon atau limau nipis, air rendaman itu boleh digunakan secara sapuan pada wajah dan badan lalu biarkan selama 15 minit sebelum bilas seperti biasa.

Asam jawa juga dikatakan dapat berfungsi sebagai bahan pengelupasan untuk menanggalkan sel kulit mati dan menghilangkan kotoran dalam pori-pori muka.

Selain itu, air asam jawa yang ditapis juga sesuai sebagai air basuhan muka setiap pagi.

Amalan itu dikatakan membantu mengurangkan jerawat dan jeragat selain menjadikan kulit wajah lebih segar.

Bukan hanya untuk wajah, sebaliknya asam jawa juga boleh digunakan bagi mengurangkan tanda penuaan, melembapkan kulit, memudarkan kesan hitam pada leher, mengurangkan selulit dan merawat masalah rambut gugur.

Amalan meminum air asam jawa juga bagus untuk kesihatan.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal 'Systemic Rev. in Pharmacy' pada 2021 menunjukkan air asam jawa membantu mengurangkan masalah pernafasan dalam kalangan perokok tegar.

Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diterbitkan dalam 'Journal of Natural Medicine' pada 2012 juga mendapati asam jawa membantu menurunkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan meningkatkan kandungan kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) iaitu kolesterol baik dalam darah.

Bahan aktif dalam asam jawa dikenali sebagai 'hydroxycitric acid' (HCA) bertindak mengurangkan pembentukan asid lemak.

Pendek kata, bahan penting di dapur itu banyak kegunaannya kepada wanita bukan hanya dalam masakan, malah penjagaan kecantikan dan kesihatan secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:45 AM