ASAM jawa perlu ada di rumah kerana khasiatnya sangat tinggi.
ASAM jawa perlu ada di rumah kerana khasiatnya sangat tinggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


ASAM jawa antara ramuan masakan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ia dilarutkan ke dalam air dan larutan air itu digunakan dalam masakan bagi menambahkan keenakan.

Ada juga menggunakan air asam jawa dengan campuran cili potong dan bawang sebagai bahan cicah ikan bakar yang dimakan bersama nasi.

Asam jawa kaya dengan vitamin B, kalium, magnesium, zat besi, kalsium, fosfor, serat dan karbohidrat.

Pakar antioksidan Dr Suri Roowi menyatakan, selain untuk kegunaan dalam masakan, terdapat sebab lain mengapa asam jawa ini perlu ada di setiap rumah.

1. Asam jawa membantu melembap dan mencerahkan kulit

Asam jawa digunakan sebagai sumber alami untuk membantu masalah kulit.

Campuran asam jawa dengan pektin akan lebih membantu melembapkan kulit. Ia disebabkan kehadiran bahan alfa-hidroksil (AHA).

Pektin boleh didapati secara komersial dan biasa digunakan dalam pembuatan jus.

Asam jawa juga boleh membantu mencerahkan kulit. Kajian ke atas 38 wanita mendapati wajah mereka menjadi lebih cerah setelah disapu dengan larutan asam jawa selama empat minggu.

Larutan asam jawa disediakan dengan mencampurkan lapan gram (g) bersama 100 mililiter (ml) air.

Kajian ke atas 11 lelaki mendapati, ekstrak biji asam jawa yang disapu dua kali sehari selama 12 minggu juga dapat mencerahkan kulit wajah mereka.

Ini dikaitkan dengan penurunan kandungan melanin pada kulit.

2. Membantu masalah pernafasan

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal 'Systemic Rev. in Pharmacy' pada 2021 menunjukkan, air asam jawa membantu mengurangkan masalah pernafasan dalam kalangan perokok tegar.

Kajian ke atas perokok tegar yang diberi minuman air asam jawa dilakukan selama tujuh hari berturut-turut.

Seramai 40 perokok dewasa lelaki dan 40 lelaki bukan perokok terbabit dengan kajian ini.

Sebelum diberikan minuman air asam jawa, peratus isi padu udara pernafasan dalam paru-paru kumpulan perokok tegar adalah lebih rendah, berbanding kumpulan tidak merokok (56 peratus berbanding 78 peratus).

Selepas tujuh hari mengambil air asam jawa, peratus isi padu udara dalam paru-paru perokok tegar meningkat sehingga 73 peratus.

Oleh itu, jika menghadapi masalah pernafasan, minumlah air asam jawa.

3. Membantu mengawal berat badan dan menurunkan kolesterol

Kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diterbitkan dalam 'Journal of Natural Medicine' pada 2012 mendapati, asam jawa membantu menurunkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan meningkatkan kandungan kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) iaitu kolesterol baik dalam darah.

Bahan aktif dalam asam jawa dikenali sebagai 'hydroxycitric acid' (HCA) bertindak mengurangkan pembentukan asid lemak.

Bagaimanapun, kandungan HCA dalam asam jawa lebih rendah (3.5g dalam 100g asam jawa) berbanding asam gelugor (30g HCA dalam 100g asam gelogur).

DR Suri
DR Suri

Apakah kebaikan bahan khasiat HCA ini?

a. Membantu mengurangkan pembentukan lemak.

b. Boleh meningkatkan tahap serotonin (bahan kimia otak) yang

membuatkan kita berasa kenyang. Ia boleh membantu menurunkan berat badan.

Kajian antiobesiti yang diterbitkan dalam ' Journal of Natural Medicines' pada 2012 juga mendapati, tikus gemuk yang diberi minum ekstrak asam jawa menunjukkan penurunan berat badan selepas 10 minggu.

Dos yang disarankan adalah mengambil 10g asam jawa dan dibancuh bersama 100ml air suam serta madu asli.

4. Membantu masalah kencing manis, mengawal darah tinggi dan baik untuk kesihatan jantung

Asam jawa membantu menurunkan paras gula dalam darah.

Salah satu penyebab utama kencing manis adalah keradangan sel pankreas, terutama sel yang menghasilkan insulin.

Asam jawa dapat menghalang pengeluaran bahan kimia yang menyebabkan keradangan. Ia juga dapat melindungi pankreas daripada rosak akibat keradangan.

Asam jawa boleh bertindak sebagai anti-darah tinggi. Kajian menunjukkan asam jawa dapat mengurangkan tekanan darah diastolik.

Kajian ke atas haiwan juga menunjukkan asam jawa membantu menghalang penyumbatan arteri.

Dos disarankan adalah ambil 10g asam jawa dan dibancuh bersama 100ml air suam serta madu asli.

5. Membantu melegakan sakit perut dan mengatasi masalah sembelit

Asam jawa boleh mengatasi masalah sembelit dengan bertindak sebagai 'laxative' kerana mempunyai asid malik dan tartarik yang tinggi.

Ia juga mengandungi kalium 'bitartrate' semula jadi yang berfungsi melegakan sembelit.

Ekstrak kulit asam jawa juga terbukti berkesan untuk melegakan sakit perut.

Caranya, rendamkan dua atau tiga gram kulit asam jawa semalaman, menggunakan air suam sebelum airnya diminum.

Sebaik-baiknya diminum bersama madu tulen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 6:22 AM