MOHAMAD Zahri menyempurnakan pelancaran.
MOHAMAD Zahri menyempurnakan pelancaran.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


WANITA ini tidak pernah berputus asa dalam dunia usahawan yang diceburinya dan sentiasa mencuba sesuatu yang baharu.

Bermula langkah sebagai usahawan makanan di gerai sejak 2013, tahun ini Nur Heeda Adzlieza Noor Azlan, 32, keluar daripada zon selesa dan cuba menjual cendol di Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kampung Lindungan PJS, Petaling Jaya, Selangor.

Nur Heeda Adzlieza berkata, ini juga kali pertama berniaga di bazar Ramadan dan tentunya dia rasa teruja.

"Cendol menjadi pilihan kerana saya ingin membuat kelainan memandangkan tidak ramai belia wanita yang menjual minuman ini.

"Sebelum ini saya pernah mengikuti kelas pembuatan cendol dan akan memanfaatkan ilmu untuk jualan kali ini," katanya ketika ditemui dalam Majlis Sesi Cabutan Undi Petak dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan 'Digital&Clean' 2024 MBPJ, baru-baru ini.

Katanya, kurang dari dua minggu untuk berniaga di bazar Ramadan, persiapan berperingkat sudah dilakukan.

"Saya berniaga dibantu dua pembantu dan juga sudah membuat persediaan dari segi fizikal dan mental kerana tiada pengalaman berniaga di bazar Ramadan.

NUR Heeda Adzlieza pertama kali berniaga cendol di bazar Ramadan.
NUR Heeda Adzlieza pertama kali berniaga cendol di bazar Ramadan.

"Rakan memberikan cadangan supaya membuat permohonan permit bazar Ramadan dalam talian jika berminat berniaga di bazar berkenaan.

"Saya mencuba nasib membuat permohonan pada November tahun lalu dan bersyukur permohonan ini berjaya," katanya.

Menurutnya, dia berminat berniaga kerana dibesarkan dalam keluarga peniaga dan berharap perniagaan jualan cendolnya berjaya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPJ Mohamad Zahri Samingon berkata, sebanyak 1,243 petak bazar Ramadan disediakan tahun ini di 19 lokasi di seluruh Petaling Jaya.

Menurutnya, tema bazar Ramadan tahun ini ialah bersih dan digital.

Pemilihan tema itu kerana MBPJ menyambut saranan Kerajaan Negeri Selangor dalam meningkatkan penggunaan Internet pelbagai benda (IOT) terutama di dalam sektor mikro.

PENIAGA bazar Ramadan MBPJ.
PENIAGA bazar Ramadan MBPJ.

"Selain itu turut menekankan kaedah pembelian tanpa tunai yang semakin menjadi pilihan.

"Saya juga meminta peniaga mikro supaya menjaga kebersihan bandaraya dengan baik.

Ini kerana pembuangan sisa jualan dan sampah ke longkang mengakibatkan pelbagai masalah alam sekitar.

"Oleh itu, MBPJ akan memastikan 19 lokasi bazar Ramadan tahun ini berada dalam keadaan terbaik, tanpa sebarangan aduan berkenaan kebersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 6:20 AM