Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Klang: Menjadi tradisi di negara ini apabila tibanya Ramadan, Bazar Ramadan akan dibuka dengan menyediakan pelbagai jenis juadah untuk berbuka puasa.

Bagi peniaga yang saban tahun membuka gerai jualan di Bazar Ramadan Simpang Empat, Sungai Udang di sini, mereka sudah tidak asing lagi dengan suasana kemeriahan orang ramai yang berkunjung ke bazar berkenaan termasuk dalam kalangan bukan Islam.

Antara yang sentiasa menjadi perhatian penduduk sekitar adalah gerai Atan Kambing Golek diusahakan Abdul Hamid Abidin, 43, yang sudah berniaga di bazar berkenaan sejak lebih enam tahun lalu.

Abdul Hamid berkata, dia adalah peniaga pertama yang membuka gerai kambing golek di bazar berkenaan dan sehingga berjaya mencuri tumpuan pengunjung sehingga ada yang menjadi pembeli tetapnya.

"Alhamdulillah, tahun ini saya dapat kembali berniaga di sini kerana tahun lalu saya tidak dapat berniaga disebabkan penularan Covid-19.

"Saya akan mula bakar kambing pada jam 4 petang bagi memastikan daging kambing itu panas dan lembut serta enak dimakan ketika berbuka," katanya.

Menurutnya, perapan kambing bakarnya menggunakan resipi olahan sendiri hasil pengalaman bekerja di hotel selama lima tahun.

Katanya, kambing bakar dijual pada harga RM15 bagi 100 gram dan kebiasaannya seekor kambing habis dijual dalam masa kurang dua jam.

ABDUL Hamid (kanan) membakar kambing golek untuk dijual kepada orang ramai yang datang membeli belah juadah berbuka puasa  di Bazar Ramadan Simpang Empat, Sungai Udang, Klang.
ABDUL Hamid (kanan) membakar kambing golek untuk dijual kepada orang ramai yang datang membeli belah juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Simpang Empat, Sungai Udang, Klang.

Sementara itu, pengunjung, Mohammad Razfizul Md Zuki, 34, berkata, dia berkunjung ke Bazar Ramadan Simpang Empat pada hari pertama puasa selepas ketika pulang dari bekerja.

"Saya dan isteri datang ke sini untuk membeli juadah berbuka.

"Setiap pengunjung yang datang perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 9:12 AM