Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: "Kami semua terkejut diberi notis arah penutupan bazar Ramadan kira-kira jam 4 petang semalam, perasaan kecewa tak dapat saya gambarkan kerana ketika Ramadan inilah kami mahu cari duit lebih," kata Norazira Azizan, 39.

Peniaga bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang di sini, berkata dia sudah membuat persiapan membeli barang berniaga hari ini, namun terpaksa akur dengan arahan Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) semalam.

Katanya, dia menyediakan buku pendaftaran dan alat pengesan suhu di gerainya, namun tidak menafikan terdapat peniaga yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk membawa kanak-kanak ketika berniaga.

"Penganjur menyediakan meja pendaftaran dan saringan suhu di satu tempat sahaja, sepatutnya ada dua meja dan ada tali laluan keluar masuk.

"Saya sudah berniaga di sini sejak lebih 10 tahun lalu, tahun lepas semua tak dapat berniaga kerana arahan kerajaan, jadi tahun ini saya memang berharap rezeki lebih, tapi apakan daya, tak ada rezeki nak berniaga di sini lagi," katanya yang menjual bihun sup dan murtabak di bazar berkenaan.

Malam tadi, media melaporkan bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang, menjadi bazar pertama di negeri ini diarah tutup berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap (MDPT), Datuk Md Shuhaime Abd Rahman, berkata arahan penutupan bazar itu dibuat selepas pihaknya mengesan ketidakpatuhan arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Peniaga ayam bakar, Mohd Azam Mustafa, 30, berkata sumber pendapatannya terjejas berikutan arahan penutupan operasi di bazar berkenaan.

Katanya, dia tidak menerima sebarang nasihat atau amaran pematuhan SOP terlebih dahulu sebelum notis arahan penutupan operasi bazar dibuat semalam.

"Saya memang terkilan kerana dapat notis tutup begitu sahaja tanpa amaran terlebih dahulu, modal sudah banyak dikeluarkan untuk berniaga di sini.

"Setiap tahun bazar di sini mendapat sambutan daripada penduduk sekitar, apabila sudah terlalu ramai pengunjung abaikan SOP, sukar nak kawal kecuali penganjur dan MDPT bekerjasama untuk kawal dan pantau di sini setiap petang," katanya.

AZHAR Abu Bakar mengemas gerainya di bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang selepas diarahkan tutup berkuatkuasa hari ini berikutan ketidakpatuhan arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). FOTO Luqman Hakim Zubir
AZHAR Abu Bakar mengemas gerainya di bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang selepas diarahkan tutup berkuatkuasa hari ini berikutan ketidakpatuhan arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). FOTO Luqman Hakim Zubir

Bapa kepada tiga orang anak ini berkata sekiranya dia terpaksa berniaga di gerai asalnya, pendapatan yang diperolehi tidak akan sama berniaga di bazar berkenaan.

Justeru, dia sangat berharap pihak MDPT dapat mempertimbangkan semula supaya peniaga terus dapat berniaga di bazar berkenaan dengan pemantauan ketat daripada penguatkuasa.

Difahamkan penganjur dan beberapa peniaga mengadakan pertemuan dengan Md Shuhaime di pejabat daerah berkenaan hari ini bagi membuat rayuan untuk beroperasi semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 1:32 PM