PESERTA didedahkan sukan bermanfaat untuk ikhtiar hidup.
PESERTA didedahkan sukan bermanfaat untuk ikhtiar hidup.
Nurul Husna Mahmud

TEPI Kolam Fest di Laketown Clubhouse Bukit Merah, Taiping, Perak baru-baru ini menampilkan keunikan tersendiri apabila acara renang yang membabitkan peserta kanak-kanak menjadi pengisian penting dalam temasya itu.

Program dinamakan Swimming Gala dianjurkan AS Swimming Academy (ASSA) dilihat bukan sahaja menjadi medium untuk menonjolkan potensi anak tempatan dalam sukan renang, malah ia juga menjadi agenda penting meningkatkan kesedaran menguasai kemahiran itu.

Pengasas dan juga penganjur Swimming Gala, Aznil Suhaili Jamaludin, melihat kesedaran terutama dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan menguasai kemahiran renang masih kurang.

"Banyak perkara menjadi pencetus kepada penganjuran acara gala bagi sukan renang kali ini. Sukan renang dipelopori anak-anak golongan berkemampuan dan ada di bandar-bandar.

"Bagi daerah Selama atau bandar Taiping, tidak ada kelab atau persatuan yang menganjurkan kelas atau sesi pengajaran renang kepada kanak-kanak.

TINGKATKAN keyakinan diri.
TINGKATKAN keyakinan diri.

"Selepas lima tahun saya membuka akademi di sini, saya tidak hanya mengajar tetapi mendorong penyertaan acara renang supaya dilihat sebagai sukan boleh disertai baik untuk bersantai atau secara profesional," katanya.

Hanya penganjuran temasya membabitkan aktiviti lain seperti nyanyian, kesenian dan jualan makanan, mampu membantu menarik orang ke acara renang.

"Pendekatan saya tidak hanya pameran dan edaran risalah semata-mata tapi, saya lebih suka lakukan demonstrasi atau adakan pertandingan yang mana diselitkan aspek keselamatan di air.

"Tiba saja suti sekolah, ramai ibu bapa gemar bawa anak mereka ke tempat aktiviti air berbanding menghantar anak ke kelas renang.

"Saya cuba tarik perhatian menerusi penganjuran program seperti ini dengan harapan ibu bapa sedar kepentingan melengkapi anak mereka dengan kemahiran renang," katanya.

Kata Aznil, dengan kemahiran itu kejadian lemas dalam kanak -kanak dapat dikurangkan dan begitu juga dengan risiko kemalangan di kawasan rekreasi air.

"Saya harap dengan mendidik kanak-kanak, bermakna lebih ramai nyawa boleh diselamatkan," katanya.

Bagi Rafizee Amir yang juga bapa kepada Reasya iaitu peserta berusia enam tahun, dia berbangga dengan penyertaan anaknya dalam sukan renang terbabit.

"Kalau lihat pencapaian Raesya hari ini (pada hari pertandingan) dibandingkan ketika mula-mula dia belajar renang, saya sangat berbangga.

"Hari pertama dia belajar, saya lihat dia sangat takut dengan air dan itu normal bagi kanak-kanak berusia empat tahun yang tidak ada pengetahuan berenang.

"Jurulatihnya sangat membantu dalam memberi bimbingan sehinggalah ke tahap pertandingan, anak saya mencatatkan prestasi memberangsangkan.

"Saya lihat anak lebih fokus dan keyakinan diri juga meningkat. Saya lihat sendiri kesan pembabitan anak dalam sukan renang juga memberi nilai positif pada dirinya," katanya.

Tambah Rafizee, peluang untuk anaknya pergi jauh dalam sukan itu lebih baik berbanding lain-lain sukan.

"Satu lagi perkara membuatkan saya tertarik untuk anak belajar dan seterusnya memasuki relay atau kejohanan.

"Peluang dia lebih besar kerana jumlah ibu bapa membawa anak mereka belajar renang masih kurang.

"Anak saya boleh ambil kesempatan itu dan cuba menyertai lebih banyak pertandingan renang. Kemahiran ini memberi merit tambahan jika ada penilaian aktiviti luar oleh sekolah," katanya.

Sementara itu, Siti Hajar Ahmad yang juga ibu kepada salah seorang peserta acara renang itu, Muhammad Hanif Mohd Zaki berkata, pengorbanan wang ringgit dan masa adalah komitmen ibu bapa.

"Dalam sebarang acara sukan sekali pun, masa, tenaga dan wang ringgit adalah pengorbanan untuk anak pergi lebih jauh dalam sukan itu.

"Namun ia tidak sia-sia apabila anak boleh bersaing dan keyakinan mereka juga bertambah dengan aktiviti sukan air itu.

"Kemahiran renang ini juga boleh dibawa sampai ke tua dan menjadi penyelamat jika ada keadaan tidak diingini berlaku.

"Malah kemahiran renang juga meningkatkan keyakinan dan mengurangkan panik apabila kejadian buruk berlaku," katanya.

Justeru, harapan Siti Hajar cukup besar untuk melihat potensi anaknya bertambah baik dan sukan itu sendiri berkembang di tempatnya.

"Cabaran ibu bapa di pekan lama Taiping ini kami tiada prasarana sesuai dengan standard kolam untuk kanak-kanak berlatih berenang.

"Jarak 25 meter tidak memadai untuk latihan renang jika mahu bergelar atlet. Saya berharap ada pihak berkenaan boleh bangunkan pusat sukan air yang sesuai dengan keperluan anak berlatih berenang," katanya.

Di samping itu, gala renang terbabit tidak hanya pendedahan kepada kanak-kanak semata-mata kerana golongan dewasa supaya lebih memahami sukan renang termasuk teknik keselamatan air yang jarang dikongsi secara umum.

Seramai 93 peserta bersaing dari kategori asas sehinggalah 'Advance' sepanjang tiga hari acara itu berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 7:00 AM