Muhamaad Razis Ismail


RAMAI dalam kalangan ibu bapa yang tidak mengetahui bayi pada usia seawal dua bulan lebih mudah untuk menguasai teknik berenang.

Bimbang keselamatan dan mahu menunggu bayi besar sedikit menyebabkan ibu bapa tidak menghantar si kecil ke kelas renang.

Namun kajian yang dijalankan mendapati bayi pada awal usianya lebih mudah mengapungkan diri kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu ketika berada dalam kandungan ibunya.

Pada masa sama, bayi pada usia ini masih belum mampu melakukan pelbagai pergerakan sekali gus memudahkan proses pembelajaran.

Apabila berada di dalam persekitaran air, bayi lebih mudah membiasakan diri dan mampu mengapungkan diri tanpa air masuk ke dalam mulut serta telinga.

Pengasas Splashtastik Sdn Bhd, Nurzieyana Shazmin berkata, bayi berusia dua hingga enam bulan lebih mudah untuk menguasai kemahiran berada di dalam air.

"Mengajar bayi berenang lebih mudah kerana pada ketika ini mereka masih belum boleh merangkak dan belum menguasai banyak pergerakan. Apabila diletakkan di dalam air, mereka lebih mudah mengapungkan diri.

PEMBABITAN ibu bapa turut membantu mengeratkan hubungan dengan anak.
PEMBABITAN ibu bapa turut membantu mengeratkan hubungan dengan anak.

KEMAHIRAN menahan nafas di dalam air antara silibus yang diajar.
KEMAHIRAN menahan nafas di dalam air antara silibus yang diajar.

"Saya ada terima bayi berusia empat bulan yang boleh lakukan 'back float' tanpa ada sesiapa yang pegang. Dia boleh terapung sehingga tertidur kerana berasa tenang di dalam air," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang berpengalaman hampir 11 tahun mengajar bayi berenang berkata, pada usia seawal ini bayi lebih cepat 'menangkap' apa yang diajar.

"Otak bayi macam span, dia cepat menyerap dan cepat keluar. Oleh itu sesi pembelajaran perlu dijalankan secara berterusan.

"Berenang adalah kemahiran yang kita cuba masukkan ke dalam 'muscle memory' namun apabila ditinggalkan dalam tempoh yang lama, boleh mengakibatkan kanak-kanak itu takut bermain air," katanya.

Beliau berpendapat masalah trauma terhadap air dalam kalangan kanak-kanak mahupun golongan dewasa kebanyakan berlaku ketika proses memandikan anak di rumah.

"Kebiasaannya apabila mandi, ibu bapa sering elakkan air terkena muka bayi. Kesannya, apabila dibawa ke kolam, anak akan berasa takut.

"Saya sentiasa galakkan ibu bapa berikan 'kelas renang' di rumah dengan jatuhkan air ke muka seawal dua bulan supaya anak dapat belajar menahan nafas," katanya.

Menurutnya, pendedahan terhadap aktiviti berenang perlu dibuat pada awal usia untuk mengelakkan kejadian lemas yang menjadi antara penyebab kematian tertinggi kanak-kanak di negara ini.

"Di kelas renang, bayi dan kanak-kanak bukan sahaja diajar cara berenang semata-mata malah dilatih untuk yakin serta mampu menjaga keselamatan ketika berada di dalam air.

"Contohnya, apabila terjatuh ke dalam air, dia tahu bagaimana menyelamatkan diri termasuk cara meminta pertolongan dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, aktiviti renang mampu memberi kesan secara menyeluruh kepada fizikal, psikologi dan sosial bayi.

KOLAM renang yang digunakan untuk mengadakan kelas kepada bayi dan kanak-kanak.
KOLAM renang yang digunakan untuk mengadakan kelas kepada bayi dan kanak-kanak.

NURZIEYANA bersama suami menubuhkan kelas renang untuk bayi dan kanak-kanak. FOTO Aziah Azmee
NURZIEYANA bersama suami menubuhkan kelas renang untuk bayi dan kanak-kanak. FOTO Aziah Azmee

"Ketika berenang, bayi akan menggerakkan hampir keseluruhan badan termasuk kaki, tangan, kepala dan pinggang yang menjadikan koordinasi motor serta keseimbangan badan menjadi lebih baik sekali gus membantu terhadap perkembangan otak.

"Selain itu, menerusi aktiviti ini, ia secara tidak langsung membantu perkembangan bahasa bayi dan merapatkan hubungan antara anak dengan ibu bapa ketika berada di dalam air.

"Manakala daripada segi psikologi, aktiviti renang membentuk keyakinan diri yang tinggi untuk lakukan perkara lain," katanya.

Katanya, bagaimanapun untuk mengajar bayi berenang bukanlah satu tugas yang mudah dan memiliki cabaran tersendiri.

"Cabarannya dari segi komunikasi, bayi menangis, tidak mahu masuk ke dalam kolam kerana mahu bersama ibu bapa. Tenaga pengajar perlu pandai memujuk, gunakan pendekatan psikologi seperti bermain dan menyanyi untuk menarik perhatian serta membina kepercayaan mereka.

"Di Splashtastik. saya dan suami, Azmir Khalid, menggunakan modul kelas renang yang menyeronokkan termasuk menggunakan muzik, mainan dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, untuk kelas membabitkan bayi, ibu bapa turut terbabit membantu guru.

"Biasanya kita peruntukkan masa sehingga 30 minit untuk setiap sesi. Tempoh itu sebenarnya sudah memadai untuk bayi kerana mereka cepat penat.

"Pada masa sama, suhu air untuk bayi di bawah enam bulan juga dijaga untuk pastikan mereka selesa di dalam air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 7:00 AM