TEKNIK ‘water treading’ atau renang menegak antara kemahiran perlu dikuasai kanak-kanak.
TEKNIK ‘water treading’ atau renang menegak antara kemahiran perlu dikuasai kanak-kanak.
Nurul Husna Mahmud


Sebut sahaja musim cuti sekolah, pasti ramai ibu bapa membawa anak mereka ke destinasi percutian yang mempunyai kolam renang, taman tema, pantai atau sungai.

Atas sebab itu, tidak hairan insiden lemas sehingga meragut nyawa kerap dilaporkan kerana sikap alpa selain tiada pengetahuan dan kemahiran membabitkan keselamatan di air.

Peka dengan situasi itu, Pengasas dan Jurulatih Renang Bertauliah AS Swimming Academy Kamunting & Kerian, Perak, Aznil Suhaili Jamaludin berharap ibu bapa meningkatkan kesedaran untuk menghantar anak mengikuti kelas renang.

"Sedar ataupun tidak setiap kali musim cuti sekolah, ada sahaja kejadian lemas dilaporkan membabitkan kanak-kanak lelaki atau golongan dewasa di tempat riadah.

"Tidak dinafikan kejadian lemas di tempat rekreasi air adalah kemalangan dan suratan. Namun, hal ini boleh dicegah andai kanak-kanak dan ibu bapa memiliki pengetahuan mengenai keselamatan di air serta kemahiran renang yang baik.

"Kemahiran yang baik meliputi kemampuan mereka menganalisis risiko iaitu tahap bahaya di air seperti kawasan tasik, sungai, lombong, tali air dan sebagainya.

"Ini kerana ada ketika lokasi berkenaan memiliki kawasan yang dipanggil pusaran air dan boleh mendatangkan bahaya termasuk risiko mereka yang berenang di lokasi terbabit lemas," katanya.

Menurut jurulatih berusia 35 tahun itu, mengikuti kelas renang yang dikendalikan jurulatih professional seawal usia enam bulan jauh lebih selamat dengan syarat kolam menjadi tempat latihan sesuai dengan keperluan bayi.

"Untuk pengetahuan umum, seawal usia enam bulan sebenarnya sudah boleh didedahkan dengan aktiviti berenang. Cumanya untuk kelas yang saya anjurkan setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah setakat ini hanya menerima pelajar bermula usia empat tahun.

"Pada ketika usia ini, kanak-kanak mudah untuk terima arahan. Selain itu, kolam renang yang ada di kawasan Taiping dan Kerian tidak sesuai dengan bayi kerana suhu airnya sejuk," katanya.

Kata Aznil Suhaili, dia menggalakkan ibu bapa turut serta terutama ketika sesi taklimat keselamatan supaya bukan sahaja kanak-kanak dapat pendedahan, malah ilmu itu juga diperoleh ibu bapa.

"Sebenarnya pandai renang sahaja tidak memadai, mereka perlu ada ilmu pengetahuan mengenai keselamatan di air termasuk etika berpakaian sesuai ketika melakukan aktiviti air, tidak merokok dan kemungkinan bahaya ada serta cara menyelamatkan individu lemas.

"Pengetahuan ini juga membezakan antara individu yang ikuti kelas renang daripada jurulatih bertauliah atau tidak. Pada masa sama, tip penting lain seperti perkara yang tidak wajar termasuk mengenakan pelampung kepala atau leher untuk bayi ketika belajar berenang.

"Ada implikasi negatif iaitu pembentukan tulang terutama tulang belakang sehingga ke leher bayi boleh terjejas kerana mengenakan pelampung itu. Lebih baik ibu bapa sendiri memangku dan membantu bayi berenang ketika sesi kelas berlangsung," katanya.

Mengenai aktiviti atau skil renang dipelajari secara berperingkat bermula asas iaitu 'front paddle,' 'back paddle,' 'water treading,' (apung menegak) dan 'under water.' Tahap perantaraan (intermediate) ialah gaya bebas, kuak belakang dan kuak dada. Bagi tahap tertinggi ialah gaya kupu-kupu dan boleh berenang sejauh lima hingga 10 kilometer tanpa henti.

Tambah Aznil Suhaili, dia sudah melatih lebih 500 perenang dengan pengalaman lebih 15 tahun banyak membantu terutama kanak-kanak yang datang dari golongan sederhana memiliki kemahiran terbabit sehinggalah bergelar atlit.

"Saya menjadi pengajar dan membuka akademi renang di Kamunting, Taiping selain Kerian sejak 2018 selepas beberapa tahun mengajar di Lembah Klang. Hasrat ketika itu mahu memberi peluang kepada kanak-kanak datang dari keluarga sederhana atau tinggal di kawasan pedalaman mengikuti kelas renang.

"Bagi kawasan ini tidak banyak fasiliti kolam renang seperti mana di Kuala Lumpur atau Selangor. Hanya terdapat di resort atau rumah kelab yang memerlukan individu membiayai sejumlah besar wang ringgit hanya untuk akses itu.

"Saya mulakan sekolah renang berdasarkan niat itu dan pernah melahirkan perenang baik sehingga boleh menyertai Majlis Sukan-sukan Sekolah (MSSN) sebagai atlet. Dari jagoan kampung mereka ini boleh menempatkan diri dalam kelompok elit sukan menerusi disiplin renang," katanya.

Sementara itu, Khazairulasikin Md Khazali, 45, yang juga ibu kepada Nurfatin Qaisara Shamsul Kamal, 10, berkata, anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal didedahkan dengan kelas renang sejak usia enam tahun bagi meningkatkan keyakinan diri.

"Saya dan arwah suami sangat takut untuk bawa anak ke tempat rekreasi air kerana bimbang lemas. Jadi, anak sulung dan anak kedua tidak pernah terdedah atau minat dengan aktiviti itu sehingga apabila anak bongsu berusia enam tahun.

"Kami mencari aktiviti sesuai dan renang antara yang kami lihat mampu menarik minat dia. Pada mulanya kesian juga kerana Nurfatin dilahirkan tanpa ibu jari pada tangan kiri sukar memegang papan khas untuk belajar renang.

"Dia agak ketinggalan tetapi lihat semangat dan perkembangan termasuklah keyakinan diri semakin meningkat, saya terus nekad menghantarnya sehingga hari ini yang sudah mampu melakukan kuak kupu-kupu," katanya.

Kata Khazairulasikin, dia juga tidak lagi bimbang untuk melepaskan anaknya menyertai aktiviti air apabila melihat anaknya itu mahir dan menguasai skli renang.

"Satu perkembangan baik juga apabila anak juga menunjukkan potensi sebagai atlet. Saya juga bekas atlet olahraga berharap ada anak ikut jejak langkah.

"Sebelum pandemik sepatutnya dia menyertai satu kejohanan di Shah Alam, tetapi ditangguhkan. Anak saya itu masih berminat untuk menyertai kejohanan. Pada saya skil ini penting dalam memberi nilai tambah termasuk masa depan dalam sukan berkenaan," katanya.

Khazairulasikin turut menyarankan ibu bapa untuk 'melabur' sedikit wang terutama dalam menguasai sesuatu kemahiran yang dapat membantu masa depan anak mereka seperti renang.

"Renang ini bukan sahaja satu kemahiran ikhtiar hidup sebaliknya boleh dijadikan satu prospek kerjaya masa depan sama ada mahu menjadi atlet atau jurulatih professional.

"Pada saya, ibu bapa perlu membelanjakan duit mereka untuk masa depan anak termasuk mendapatkan jurulatih bertauliah supaya menguasai kemahiran dan ilmu pengetahuan yang penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:00 AM