KAIN kelubung antara aksesori busana.
KAIN kelubung antara aksesori busana.
Nurul Husna Mahmud

BUSANA tradisi tidak hanya baju kurung dan baju Melayu semata-mata.

Ini kerana Tanah Melayu yang dulunya rumpun Nusantara mempunyai pelbagai busana tradisi melambangkan identiti atau jati suku masing-masing.

Itu yang dikongsi seorang pencinta busana tradisi tempatan, Hassan Abdul Motalip.

Malah, baru-baru ini Hassan bukan sahaja mereka busana tradisi untuk digayakan 33 peserta I Am Model Search 2023 Mrs International dan Mr Cosmopolitan 2023, tapi turut berkongsi ilmu mengenai pemakaian busana tradisi itu.

"Kelebihan busana tradisi apabila digayakan ia segak pada lelaki dan tampak ayu apabila dikenakan wanita.

"Itu turut dirasai peserta Bengkel Pemakaian Cara Melayu yang teruja dapat menyarung busana Melayu dalam majlis Malam Kebudayaan Malaysia sempena pertandingan I Am Model Search 2023 Mrs International dan Mr Cosmopolitan 2023 di D'Wharf Hotel and Service Residents Port Dickson pada Oktober lalu.

"Walaupun mereka ini rata-ratanya datang dari luar seperti Filipina, Vietnam, Thailand, Myanmar, Korea, Brazil, India, Indonesia dan Singapura, namun mereka berasa anggun dan sofisikated dalam persalinan busana tradisi," katanya.

Pendedahan bengkel sehari itu oleh Hassan atas jemputan Double Event Manavement membuatkan peserta luar negara 'jatuh cinta' dengan busana tradisi Melayu.

Kata Hassan, dalam bengkel itu, peserta didedahkan kaedah betul dalam pemakaian kain sarung baik batik mahupun songket untuk wanita dan samping bagi peserta lelaki. Rata-ratanya teruja dengan pengalaman itu.

HASSAN melakukan demo kepada peserta mengenai pemakaian kain sarong.
HASSAN melakukan demo kepada peserta mengenai pemakaian kain sarong.

"Peserta Filipina, Helga Cerbo antara yang paling teruja menggayakan busana yang kaya dengan tata cara serta falsafah pemakaian busana Melayu.

"Dia menggayakan baju kurung teluk belanga sutera warna putih dipadankan dengan kain songket dan kain kelubung terpana dengan penampilannya sendiri tampil lebih ayu serta sopan.

"Sehingga hari ini meskipun acara itu sudah sebulan berlalu, dia masih memuat naik banyak gambar mengenakan busana terbabit," katanya.

Tidak hanya baju kurung teluk belanga, Hassan turut mengetengahkan rekaan busana tradisi yang tidak diketahui ramai antaranya busana Minangkabau Ibu Soko dari Negeri Sembilan dan baju bodo Bugis dipakai suku Bugis Selangor.

"Variasi rekaan busana setiap satunya mempunyai cabaran tersendiri kerana perlu dipadankan dengan aksesori dan perincian yang betul.

"Antara busana boleh tahan rumitnya busana Minangkabau Ibu Soko yang digayakan peserta Kemboja, Chansey Ke apabila ada perincian songket tambahan pada dada.

"Tampak macam mudah, tetapi salah penggayaan boleh menjadi canggung pada falsafah dan tertib pemakaian sesuatu busana.

"Contohnya pemakaian kain sarung batik yang mana sepatutnya kalau pemakai si dara 'kepala' kain di depan, sementara sudah berkahwin di belakang.

"Tanda ini orang dahulu kalau hendak menyunting perempuan, mereka pandang-pandang dulu," katanya.

Teknik pemakaian kain sarung turut dikongsi Hassan bersama peserta ialah teknik ikatan tindih kasih dan ombak mengalun.

BUSANA tradisi tampak mewah dan elegan.
BUSANA tradisi tampak mewah dan elegan.

Kata Hassan, meskipun dia tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang rekaan fesyen, namun minat mendorongnya pergi jauh dalam rekaan busana tradisi.

"Semua rekaan yang dihasilkan berdasarkan kajian saya terhadap busana tradisional. Saya lakukan bukan mahu kredit kerana tetap fokus dengan kerja hakiki saya sebagai pensyarah media di sebuah kolej swasta.

"Rekaan fesyen pula atas dasar minat yang dipupuk sejak kecil. Saya kerap membantu nenek, Mawar Abdullah yang juga mak andam perkahwinan.

"Selepas berkahwin pula, kebetulan ibu mentua, Alimah Yunos, guru jahitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), dia banyak mengajar teknik jahitan kepada saya sehingga boleh meneruskan minat dalam bidang fesyen," katanya.

Projek akan datang, dia mahu menghasilkan semula busana tradisi masyarakat Melayu Rawa.

"Rekaan busana Rawa antara projek terbaharu dan saya bekerjasama dengan Persatuan Masyarakat Rawa Malaysia.

"Masih dalam kajian yang mana saya dibantu komuniti itu di Raub, Pahang. Cabarannya untuk busana tradisi, orang jarang simpan termasuk gambar busana orang dahulu," katanya.

Hassan turut menambah impiannya ialah membawa pakaian tradisional Melayu ke pentas antarabangsa.

"Setakat ini saya berusaha melobi rekaan baju menggunakan rekaan autentik busana tradisional dibawa ke pertandingan ratu cantik di London.

"Jika ada rezeki, tahun akan datang adalah rekaan baju tradisional Melayu sampai ke Eropah. Dalam kalangan juri juga menyatakan rekaan baju tradisional melepasi piawaian mereka dan ia membuktikan pada saya pakaian tradisi juga bertaraf dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 7:05 AM