KRU belakang tabir menjayakan sesi penggambaran model cilik dan songket.
KRU belakang tabir menjayakan sesi penggambaran model cilik dan songket.
Nurul Husna Mahmu d


PAKAIAN tradisi seperti songket selalu digambarkan sebagai fabrik yang sarat dan eksklusif untuk digayakan dalam majlis tertentu sahaja.

Kebarung dan kebaya pula menjadi gaya tradisi kebanyakan pereka untuk rekaan songket.

Satu pendekatan berbeza diambil pereka fesyen Ayiey Zikri, 34, apabila menampilkan rekaan busana raya kanak-kanak menggunakan kain songket.

Kata Ayiey, dia menggunakan songket bagi busana kanak-kanak untuk menunjukkan penggayaan fabrik warisan itu juga sesuai bagi golongan muda.

"Satu perkara mengenai songket, orang membayangkan pemakainya adalah golongan dewasa atau wanita yang lebih matang kerana ia pakaian tradisional.

"Imej klasik atau busana tradisi seperti songket pada pandangan umum tidak sesuai digayakan pemakai muda terutama gadis sunti atau kanak-kanak.

"Sebagai pencinta fabrik tradisi, saya berhasrat untuk mengubah persepsi mengenai songket itu dengan menghasilkan busana kanak-kanak pada raya kali ini," katanya.

Kata Ayiey, tiga gaya ditampilkan dalam busana kanak-kanak untuk raya tahun ini meliputi potongan tradisi tetapi sudah dimodenkan bagi menonjolkan pemakai muda dan cilik.

"Kesesuaian fabrik atau material untuk sesuatu rekaan busana sebenarnya olahan atau bergantung kepada kreativiti pereka.

"Dalam rekaan songket untuk baju raya kanak-kanak pada tahun ini saya ambil pendekatan menyuntik elemen moden dalam potongan busana tradisional.

"Contohnya dalam tiga rekaan busana raya kanak-kanak kali ini, antaranya saya pilih menghasilkan potongan Kebaya Kota Bharu.

"Saya modenkan gaya kebaya tradisi itu menerusi bentuk gaun labuh atau versi satu helai berbanding rekaan konvensional busana itu yang terdiri daripada kain dan baju.

"Rekaan tradisi selepas dimodenkan menjadikan busana songket itu sesuai dan mudah digayakan kanak-kanak," katanya.

Selain mengubah potongan busana tradisi kepada gaun, pereka itu juga bijak bermain dengan tona warna dan motif sesuai dengan pemakai kanak-kanak.

"Saya tidak hanya menjadikan pemakaian busana tradisi lebih mudah, elemen lain seperti warna dan motif juga antara elemen yang saya beri perhatian untuk menjadikan rekaan songket lebih 'muda.'

"Contohnya busana warna jingga bata yang mengambil inspirasi rekaan kebaya pendek, saya menggunakan songket berjalur untuk memberi ilusi lebih tinggi dan ramping kepada pemakai.

"Malah, saya cuba kekalkan ciri-ciri kebaya dalam rekaan kerana mahu golongan muda terdedah kepada busana warisan dan penggunaan motif jalur memberi kelainan kepada pemakaian songket," katanya.

Kata Ayiey, untuk membuatkan songket itu selesa digayakan terutama pada kanak-kanak, dia menggunakan fabrik sesuai sebagai kain alas.

"Tidak dinafikan songket untuk segelintir pemakai dirasakan tidak selesa. Ada tanggapan material songket tertentu terlalu tebal atau tekstur benangnya kasar.

"Tetapi dalam kes songket saya ketengahkan, material mesra untuk kanak-kanak, malah saya tingkatkan keselesaan mengenakan busana itu dengan penggunaan kain alas.

"Kain alas daripada material kapas digunakan supaya lembut pada kulit dan kanak-kanak juga selesa mengenakan pakaian raya sepanjang hari," katanya.

Pereka kelahiran Alor Setar, Kedah itu juga turut berkongsi tip dalam menghasilkan busana tradisi untuk kanak-kanak.

Katanya sebagai pereka fesyen wajib peka dengan keperluan pemakai meskipun pemakainya adalah kanak-kanak.

"Dalam menghasilkan busana daripada songket ini, pereka fesyen perlu peka dengan bentuk tubuh pemakai.

"Contohnya rekaan busana kanak-kanak, pereka perlu memilih corak yang sesuai agar sesuai dengan imej keanak-anakan atau personaliti polos mereka.

"Jangan pemakaian busana dihasilkan membuatkan kanak-kanak terlalu matang atau jauh dari usia sebenar.

"Pereka perlu bijak untuk memastikan rekaan dari fabrik ini akan diminati oleh generasi muda kerana mereka ini generasi yang akan meneruskan penggayaan busana tradisi seperti busana songket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 7:01 AM