IBU bapa introvert mungkin sukar berhadapan insan kecil yang memerlukan perhatian. - FOTO Google
IBU bapa introvert mungkin sukar berhadapan insan kecil yang memerlukan perhatian. - FOTO Google
Oleh Muhamaad Razis Ismail


DUNIA keibubapaan penuh pelbagai ragam dan keriuhan bersama anak-anak yang sedang membesar kerana mereka suka meneroka serta berkembang.

Namun, bagi ibu bapa yang introvert, mungkin sukar kerana perlu berhadapan insan kecil yang memerlukan perhatian dan terpaksa berada dalam keriuhan dunia kanak-kanak.

Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan & Psikologi Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, kajian mendapati, introvert menjadikan ibu bapa lebih baik dalam proses perkembangan kanak-kanak kerana sifat empati yang tinggi, mempunyai kemahiran mendengar dan pendekatan yang baik terhadap pengurusan konflik.

"Bagaimanapun, pergeseran antara keperluan untuk mempunyai masa bersendirian dan tuntutan sosial keibubapaan boleh menyebabkan sesetengah ibu bapa yang introvert berkonflik dengan diri mereka sendiri.

"Mereka perlu memilih sama ada ingin bersama anak-anak, tetapi pada masa sama ingin berjauhan daripada mereka sambil mendambakan masa berharga untuk 'mengecas semula bateri' mereka, boleh menyebabkan timbulnya rasa bersalah," katanya.

Menurutnya, menjadi seorang introvert tidak menjadikan seseorang sebagai ibu bapa yang lemah.

"Introvert selalunya cemerlang kerana mereka mempunyai daya fikir yang baik, memotivasikan diri sendiri, berwawasan, introspektif dan empati yang semuanya adalah perkara yang menarik untuk diterapkan dan dikembangkan dalam diri kanak-kanak," katanya.

Katanya, kajian di Finland menunjukkan bahawa ibu bapa introvert yang mendidik anak-anak cenderung mempunyai lebih banyak persekitaran keluarga yang menggalakkan seperti komunikasi yang lebih baik dalam keluarga.

"Kajian sama menunjukkan bukti bahawa ibu bapa introvert cenderung melakukan perkara yang tertumpu kepada kanak-kanak.

"Bagaimanapun, diakui dalam banyak perkara, masyarakat lebih banyak memihak dan memilih kepada ekstrovert, termasuk ketika proses keibubapaan. Terutama apabila mesej dalam masyarakat tidak menggalakkan 'recharge time' dan masa untuk bersendirian, khususnya jika anda adalah penjaga utama," katanya.

Tidak dinafikan proses ini boleh meletihkan dari segi emosi untuk membesarkan anak yang interaktif dari segi sosial, eksperimen dan suka bertemu serta melakukan perkara baharu setiap hari.

"Itu tidak sama dengan ibu bapa yang introvert yang lebih memerlukan lebih banyak masa bersendiri. Kajian menunjukkan bahawa ibu bapa introvert amat sukar untuk membesarkan anak-anak yang bersifat ekstrovert.

BOLEH meletihkan dari segi emosi untuk membesarkan anak yang interaktif. - FOTO Google
BOLEH meletihkan dari segi emosi untuk membesarkan anak yang interaktif. - FOTO Google

INTROVERT menjadikan ibu bapa lebih baik dalam proses perkembangan kanak-kanak. - FOTO Google
INTROVERT menjadikan ibu bapa lebih baik dalam proses perkembangan kanak-kanak. - FOTO Google

"Seorang kanak-kanak pasti berkembang dengan sendirinya, tetapi sokongan ibu bapa penting untuk memberikan anak pengetahuan mengenai asas dan pengalaman hidup," katanya.

Beliau berkata, perkembangan kanak-kanak berkemungkinan terganggu apabila ibu bapa yang introvert tidak memberi ruang dan peluang kepada diri mereka untuk sesekali berada di luar zon selesa mereka.

"Kanak-kanak perlu didedahkan kepada situasi dan persekitaran yang berbeza dalam proses membesar dan semasa fasa perkembangan mereka untuk meningkatkan kebolehsuaian dan kebolehan berfikir mereka yang penting untuk perkembangan fizikal dan mental mereka secara keseluruhan.

"Proses ini menjadi lebih mudah jika ibu bapa bereksperimen, mesra dan bersedia menghadapi sebarang situasi dalam kehidupan," katanya.

Mengulas lanjut, ibu bapa yang introvert perlu sentiasa memberitahu anak berkenaan keperibadian mereka walaupun berbeza ia adalah sesuatu yang baik dan tidak salah.

"Sokong pilihan dan kesukaan anak serta beritahu betapa bangganya anda terhadap mereka. Memberitahu kanak-kanak secara terbuka dan tertutup boleh membuatkan mereka sangat gembira.

"Pengiktirafan dan penghargaan juga sangat penting untuk keperibadian kanak-kanak yang dalam proses berkembang," katanya.

Katanya, perbincangan dan pengetahuan berkaitan proses menguruskan anak-anak yang sedang berkembang dan tidak menidakkan keperluan sendiri akan menjadi penyelamat sekiranya anda mempunyai cara untuk menanganinya.

"Bagaimanapun, jika keadaan masih menekan emosi sendiri, ibu bapa yang introvert perlu mendapatkan bantuan, daripada ahli terapi profesional untuk membantu menyelesaikan masalah anda," katanya.

Shawani berkata, sama ada introvert atau tidak, proses perkembangan kanak-kanak itu mempunyai fasa tersendiri.

"Keperluan persekitaran dan pendekatan yang memberi makna kepada mereka akan memberi peluang kepada kanak-kanak melalui proses itu dengan baik. Ini termasuk memahami keperluan ibu bapa introvert yang sebenarnya turut dapat menyumbang kepada sisi positif perkembangan kanak-kanak.

"Apa yang lebih utama adalah proses perkembangan kanak-kanak dan bagaimana memberi makna kepada zaman kanak-kanak mereka," katanya.

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 7:01 AM