BACAKAN buku kepada anak untuk pupuk minat membaca. - FOTO Google
BACAKAN buku kepada anak untuk pupuk minat membaca. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


RAMAI dalam kalangan ibu bapa mula bimbang, apabila kanak-kanak pada peringkat pendidikan awal masih tidak dapat membaca dengan baik.

Budaya ini seolah-olah mewajibkan anak-anak pada peringkat ini perlu membaca sebelum masuk ke alam persekolahan sebenar.

Oleh itu, ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak ke kelas membaca seawal usia empat hingga enam tahun dan membeli bahan bacaan berbentuk aktiviti membaca suku kata sahaja.

Namun kerana kerisauan ini yang sebenarnya tidak membantu dalam memupuk minat membaca terhadap kanak-kanak.

Kesannya, berapa banyak emosi kanak-kanak tercalar yang akhirnya menjadikan mereka tidak lagi berminat untuk membaca.

Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pengurusan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, ibu bapa sering kali keliru dengan asakan budaya perlu boleh membaca sebelum masuk sekolah.

Katanya, situasi ini sekali gus mengabaikan proses dantahap perkembangan kanak-kanak yang berbeza serta.tersendiri.

"Setiap kanak-kanak akan melalui proses perkembangan mereka menerusi sokongan dan persekitaran yang disediakan ibu bapa. Asasnya kanak-kanak akan berkembang secara fizikal, emosi, sosial, bahasa dan komunikasi, dan kognitif.

"Dalam konteks kemahiran membaca, kita perlu memahami keperluan perkembangan bahasa dan literasi awal. Ramai ibu bapa memahami bahawa kemahiran literasi awal itu sebagai kebolehan membaca sahaja dan ini salah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, kemahiran literasi awal adalah proses yang dilalui sebelum kanak-kanak belajar membaca dan menulis.

BERMAIN dapat membantu proses perkembangan anak-anak. - FOTO Google
BERMAIN dapat membantu proses perkembangan anak-anak. - FOTO Google

"Atas sebab itu kita sebut kemahiran literasi awal sebagai 'pra membaca' atau 'pra menulis.' Perkataan 'pra' itu sendiri menggambarkan proses sebelum kanak-kanak mencapai tahap kebolehan itu.

"Ketika proses pra membaca ini berlaku, ibu bapa perlu memahami bahawa pada peringkat awal, tahap perkembangan bahasa perlu dikembangkan terlebih dahulu," katanya.

Jelasnya, komunikasi dan interaksi berterusan bersama kanak-kanak akan membantu meningkatkan tahap penguasaan kosa kata kanak-kanak.

"Harus juga diingat bahawa, menunjukkan ABC atau 123 atau kebolehan menyebutnya bukanlah salah satu daripada proses komunikasi," katanya,

Mengulas lanjut, masyarakat perlu hentikan perbandingan terutama di media sosial yang selalu mencetuskan panik kepada ibu bapa.

"Tidak dinafikan, media sosial memainkan peranan dalam mewujudkan tekanan ini. Pelbagai kaedah dan iklan cepat baca diperkenalkan selain membuatkan ibu bapa mengambil langkah tergesa-gesa bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan.

"Pada kita, jika seorang kanak-kanak tidak dapat membaca sebelum mendaftar masuk ke tahun satu, mereka akan tertinggal dengan menjadikan pendidikan bermatlamat kehendak kita sendiri semata-mata," katanya.

Tambahnya, kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan membaca adalah tinggi.

"Namun kesedaran ini sebenarnya hanyalah kepada keperluan untuk memastikan bahawa anak mereka perlu boleh membaca atau menguasai kemahiran membaca sahaja tanpa melihat kepada proses memupuk serta menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Ibu bapa perlu abaikan saja tekanan dan fokus kepada keperluan serta hak anak-anak dengan tidak nafikan hak mereka untuk berkembang dengan baik.

"Enam tahun pertama adalah penting kepada kanak-kanak kerana memerlukan sokongan emosi, persekitaran pembelajaran yang baik, dan peranan ibu bapa yang membantu mereka untuk meneroka.

ELAKKAN penggunaan gajet secara berlebihan. - FOTO Google
ELAKKAN penggunaan gajet secara berlebihan. - FOTO Google

"Kanak-kanak pada usia pendidikan awal ini perlu lebih didedahkan dengan pendidikan berbentuk didik hibur dengan mengaplikasikan kaedah bermain yang secara fitrahnya adalah keperluan seorang kanak-kanak," katanya.

Umumnya, perkembangan bahasa kanak-kanak berkembang seawal usia lahir sehingga empat tahun pertama yang merangkumi perkembangan kognitif melalui tumpuan atau fokus, ingatan, pendengaran dan memahami maksud percakapan.

"Semua itu adalah asas kepada kemahiran literasi awal yang akhirnya akan merangsang kesediaan kanak-kanak untuk boleh membaca termasuk melakukan aktiviti bermain bersama, sesi 'read aloud' dan menunjukkan ekspresi dalam bercerita dengan menggunakan intonasi dan gaya yang menarik," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak perlu dipenuhi dengan keperluan perkembangan mereka dengan membantu menyediakan ruang dan peluang yang sepatutnya mereka lalui.

"Tahap perkembangan kanak-kanak adalah berbeza dan unik kerana banyak dipengaruhi pelbagai faktor yang merangsang mereka untuk berkembang.

"Apabila mereka sudah bersedia, jangan risau, mereka akan kekal meminati buku dan gemar membaca," katanya.

Dalam konteks menanam minat dan memastikan kanak-kanak bersedia untuk membaca, ibu bapa perlu memastikan mereka sentiasa meluangkan waktu membaca bersama anak-anak.

"Tinggalkan seketika gajet anda dan berilah

ruang dan waktu bersama anak-anak untuk membantu kita semua membentuk generasi membaca yang mempunyai minat membaca yang tinggi serta tidak terhad kepada menanam kefahaman bahawa perlu boleh baca untuk masuk darjah satu sahaja.

"Ini antara kaedah dan pendekatan yang perlu digunakan ibu bapa dalam mengurangkan tekanan serta memahami keperluan pendidikan awal kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 7:00 AM