IBU bapa yang terlalu melindungi boleh mengakibatkan anak stres dan kebimbangan.
IBU bapa yang terlalu melindungi boleh mengakibatkan anak stres dan kebimbangan.
Muhamaad Razis Ismail

MEMBINA keyakinan anak-anak sejak dari kecil adalah amat penting untuk perkembangan mereka.

Ibu bapa boleh memainkan peranan yang besar dalam membantu anak-anak membina keyakinan diri sambil mengelakkan sikap terlalu melindungi mereka.

Ini kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap proses perkembangan anak-anak termasuk kekurangan keyakinan diri, kebergantungan yang tinggi dan kurang kemahiran menyelesaikan masalah.

Selain itu, ibu bapa yang terlalu melindungi boleh mengakibatkan anak stres dan kebimbangan, mengehadkan hubungan sosial mereka dengan orang lain dan mengurangkan kreativiti.

Timbalan Dekan, Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, untuk memastikan perkembangan yang seimbang dan positif, adalah penting bagi ibu bapa memberikan sokongan yang mencukupi sambil memberi ruang kepada anak-anak untuk belajar dan berkembang secara mandiri.

"Melindungi anak-anak adalah penting tetapi perlu dilakukan dengan cara yang tidak menghalang perkembangan keyakinan diri dan kemahiran hidup mereka.

"Memberikan sokongan dan panduan yang sesuai dengan peringkat umur serta keperluan anak-anak, sambil membenarkan mereka untuk belajar dan berkembang secara bebas adalah kunci kepada pembinaan keyakinan yang kukuh," katanya.

Menurutnya terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan ibu bapa untuk melindungi anak-anak tanpa menjejaskan keyakinan mereka termasuk menetapkan batas yang jelas.

"Ibu bapa boleh memberikan garis panduan yang jelas kepada anak-anak mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Ini akan memberikan mereka rasa keselamatan tanpa perlu terlalu dikawal.

"Pastikan batasan itu konsisten dan difahami oleh anak-anak," katanya.

Selain itu, ibu bapa boleh memberi kebebasan yang terkawal untuk anak-anak membuat keputusan sendiri.

"Sebagai contoh, biarkan mereka (anak-anak) memilih pakaian sendiri atau buat aktiviti yang mereka mahu lakukan tetapi dalam lingkungan yang selamat dan sesuai.

"Pada masa sama, ibu bapa boleh mengajar anak-anak mengenai kemahiran hidup termasuk cara menguruskan diri, wang, bagaimana untuk bertindak dalam situasi kecemasan dan kemahiran sosial akan memberikan mereka keyakinan untuk berdikari.

"Aktiviti seperti memasak bersama atau merancang perjalanan kecil boleh menjadi contoh praktikal," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu melaksanakan komunikasi yang lebih terbuka dengan anak-anak supaya mereka rasa selesa berkongsi perasaan dan masalah yang dihadapi.

"Dengar dengan teliti dan berikan nasihat tanpa menghakimi. Ini membantu mereka merasa dihargai, dihormati dan difahami," katanya.

Dalam pada itu, ibu bapa perlu sentiasa menunjukkan contoh yang baik kerana anak-anak cenderung untuk meniru tingkah laku anda.

"Ibu bapa perlu menunjukkan keyakinan diri dan cara mengatasi masalah dengan tenang yang sekali gus memberikan mereka model yang positif untuk diikuti.

"Jadilah teladan yang baik dengan menunjukkan ketahanan dan keyakinan dalam menghadapi cabaran," katanya.

Beliau berkongsi beberapa cara yang boleh dilakukan ibu bapa untuk membina keyakinan anak-anak.

SIKAP terlalu melindungi anak yang boleh memberi kesan negatif terhadap proses perkembangan anak-anak.
SIKAP terlalu melindungi anak yang boleh memberi kesan negatif terhadap proses perkembangan anak-anak.

1. Berikan sokongan emosi

Sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak adalah sangat penting. Apabila mereka menghadapi kesukaran atau kegagalan, bantu mereka memahami bahawa ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Elakkan daripada mengkritik secara berlebihan atau membandingkan mereka dengan anak lain atau rakan mereka.

2. Galakkan anak untuk mencuba perkara baru

Menggalakkan anak-anak mencuba perkara baru dan keluar dari zon selesa untuk membantu membina keyakinan diri. Contohnya, biarkan mereka mencuba aktiviti baru seperti sukan, muzik atau seni. Galakkan ini akan membantu memupuk minat serta membangun potensi diri kanak-kanak.

3. Berikan pujian

Pujian yang ikhlas dan spesifik terhadap usaha dan pencapaian anak-anak boleh membantu meningkatkan keyakinan mereka. Pastikan pujian diberikan berasaskan usaha dan proses, bukan hanya hasil akhir. Kanak-kanak harus difahamkan mengenai kepentingan proses dan bukan melihat kepada hasil semata-mata. Kefahaman ini akan membentuk kanak-kanak yang tinggi nilai empati dan hormat.

4. Tetapkan matlamat yang realistik

Bantu anak-anak menetapkan matlamat yang boleh dicapai. Ini akan membantu mereka merasakan pencapaian dan membina keyakinan diri secara beransur-ansur. Sebagai contoh, mulakan dengan matlamat kecil yang mereka boleh capai sebelum beralih kepada yang lebih besar.

5. Babitkan anak dalam keputusan kecil

Membabitkan anak-anak dalam membuat keputusan kecil yang sesuai dengan umur mereka boleh memupuk rasa tanggungjawab dan keyakinan bahawa pendapat mereka dihargai. Contohnya, biarkan mereka memilih pakaian atau aktiviti yang mereka mahu lakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 7:01 AM