BERI pendedahan pelbagai kemahiran dan pengetahuan baharu.
BERI pendedahan pelbagai kemahiran dan pengetahuan baharu.
Muhamaad Razis Ismail


KITA sering menonton drama atau filem di luar negara yang memaparkan babak ibu atau bapa membacakan buku untuk anak mereka sebelum tidur.

Realitinya di luar negara, amalan membacakan buku untuk anak atau lebih dikenali sebagai 'bedtime stories' sememangnya sudah menjadi rutin harian keluarga.

Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pengurusan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, sebaliknya di negara ini, kesedaran membaca bersama anak-anak dalam kalangan masyarakat adalah masih rendah.

"Masyarakat mungkin sudah terbiasa dengan budaya membaca itu adalah satu proses mengajar anak membaca dan membiarkan mereka membaca sendirian sahaja selepas itu.

"Namun ia sepatutnya bermula dengan melihat keperluan untuk sama-sama membacakan cerita kepada kanak-kanak.

"Antara yang boleh dilakukan bagi menjadikan bercerita mampu memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, membacakan buku untuk anak memberi banyak manfaat terhadap perkembangan kanak-kanak termasuk perkembangan bahasa dan komunikasi.

"Ia akan mengembangkan kemahiran literasi secara menyeluruh. Daripada pemahaman bahan bacaan kepada kemahiran mendengar dan merangkumi aspek literasi yang menyeluruh.

"Bahan bacaan yang dikongsi boleh memberi pendedahan kepada pelbagai kemahiran dan pengetahuan baharu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat sesetengah ibu bapa atau orang dewasa berhenti membacakan cerita apabila kanak-kanak mula mempunyai keupayaan membaca sendiri.

"Ini tidak seharusnya diamalkan. Terdapat banyak penyelidikan neuro yang dijalankan menunjukkan bahawa apabila ibu bapa dan penjaga berinteraksi secara lisan dengan kanak-kanak (termasuk membaca kepada mereka) membantu golongan ini belajar lebih banyak daripada yang pernah kita sangkakan.

"Menurut, Ketua Bahagian Perkembangan & Tingkah Laku Kanak-kanak di National Institute of Child Health and Human Development in Bethesda, Dr Lyon, terdapat petunjuk jelas mengenai perbezaan neurologi antara kanak-kanak yang kerap dibacakan buku cerita dengan kanak-kanak yang tidak dibacakan buku cerita," katanya.

Jelasnya, secara ringkasnya, 'bedtime stories' membantu kanak-kanak membina kemahiran mendengar, membantu menguatkan memori kepada bayi dan menambah perbendaharaan kata kepada kanak-kanak.

MEMBANTU kanak-kanak tidur lena.
MEMBANTU kanak-kanak tidur lena.

"Kanak-kanak yang sering dibacakan cerita kepada mereka akan mempunyai proses perkembangan bahasa, komunikasi dan kemahiran literasi yang menyeluruh.

"Satu kajian mendapati bahawa apabila kanak-kanak pra sekolah dibacakan dengan kuat, kawasan otak mereka yang mengendalikan imaginasi mental dan pemahaman naratif diaktifkan.

"Ini bermakna bahawa imaginasi kecil mereka bekerja keras kerana mereka mencipta pemahaman sendiri mengenai cerita yang didengar.

"Itulah keindahan membaca berbanding menonton televisyen. Kanak-kanak perlu menggunakan imaginasi mereka dan oleh itu mendapat pemahaman yang lebih baik untuk cerita yang direka dengan baik," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mencipta memori bersama anak-anak dan menguatkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.

"Jadikan memori membaca cerita sesuatu yang meninggalkan kenangan menyeronokkan untuk kanak-kanak.

"Selepas seharian bermain, berlari-lari dan menggunakan tenaga kanak-kanak perlu berehat.

"Menidurkan mereka dan mengharapkan mereka tertidur serta-merta boleh menjadi sagak sukar. Tetapi jika mempunyai rutin waktu tidur di mana ibu bapa membaca cerita bersama-sama boleh membantu mereka bertenang, berehat dan mengurangkan tahap tekanan sekali gus membantu mereka tidur dengan lebih lena," katanya.

Tambahnya, apabila ibu bapa meluangkan masa dengan membaca bersama anak-anak, ia membantu mewujudkan ikatan istimewa.

"Ini secara tidak langsung juga menjaga kesejahteraan dan kesihatan mental kanak-kanak. Kebersamaan kita sebagai orang lebih dewasa dalam proses ini akan memberikan ruang tanpa tekanan kepada kanak-kanak untuk terus berekplorasi," katanya.

Justeru itu, beliau berpandangan membacakan cerita kepada kanak-kanak wajar dijadikan rutin harian yang menyeronokkan.

"Hargailah masa zaman kanak-kanak dengan memberi mereka peluang untuk meneroka, berimaginasi dan mendapat perhatian sepenuhnya daripada kita sebagai orang dewasa.

"Tempoh 10 hingga 15 minit membaca bersama akan memberi impak berpanjangan dan memupuk ikatan yang kukuh antara anak-anak serta ibu bapa. Menjadi kanak-kanak adalah peluang yang tidak akan datang semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 7:00 AM