BANJIR mengancam bahaya nyawa kanak-kanak.
BANJIR mengancam bahaya nyawa kanak-kanak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


LAPORAN analisis terbaharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendedahkan bencana cuaca menyebabkan 43.1 juta kanak-kanak kehilangan tempat tinggal dalam tempoh antara 2016 dan 2021.

Berdasarkan laporan analisis global pertama ini menjelaskan bencana cuaca itu adalah banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan.

Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam laporan global berkenaan, tetapi perpindahan kanak-kanak disebabkan banjir adalah benar-benar berlaku dan berbahaya.

Pusat Pemantauan Pemindahan Dalaman (IDMC) mendedahkan terdapat 354,000 perpindahan berkaitan iklim di Malaysia antara 2016 dan 2021.

Pada 2021, banjir mencetuskan 129,000 perpindahan di Malaysia berbanding 24,000 perpindahan pada 2020.

Manakala pada tahun lalu pula, IDMC merekodkan 156,000 orang berpindah tempat tinggal akibat banjir, tanah runtuh dan ribut.

Bencana ribut dan banjir meningkatkan risiko kecederaan atau kehilangan nyawa terhadap kanak-kanak.

Apabila bencana iklim berlaku, ia memaksa keluarga berpindah keluar daripada rumah mereka menyebabkan kemudahan untuk mengakses bekalan air bersih dan sanitasi sering terganggu.

Menurut laporan itu, banjir dan ribut menyumbang kepada perpindahan 40.9 juta atau 95 peratus kanak-kanak yang direkodkan antara 2016 dan 2021.

Sementara itu, kemarau menyebabkan perpindahan lebih 1.3 juta kanak-kanak, manakala kebakaran hutan pula sebanyak 810,000 perpindahan kanak-kanak pada 2020.

BENCANA cuaca menyebabkan ramai kanak-kanak kehilangan tempat tinggal.
BENCANA cuaca menyebabkan ramai kanak-kanak kehilangan tempat tinggal.

China dan Filipina antara negara mencatatkan jumlah tertinggi perpindahan kanak-kanak disebabkan mereka terdedah kepada perubahan cuaca ekstrem serta populasi kanak-kanak yang tinggi.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang tinggal di negara pulau kecil, seperti Dominica dan Vanuatu paling terjejas dengan bencana ribut.

Sementara kanak-kanak di Somalia dan Sudan selatan paling terjejas akibat banjir.

Menggunakan model risiko pemindahan bencana yang dibangunkan IDMC, laporan projek sungai banjir mempunyai potensi untuk memindahkan hampir 96 juta kanak-kanak dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Berdasarkan data iklim semasa, angin siklon dan ribut taufan berpotensi menyebabkan perpindahan 10.3 juta orang dan 7.2 kanak-kanak.

Di Malaysia, saintis iklim meramalkan kira-kira satu perempat daripada penduduk akan berpindah kerana perubahan iklim menjelang 2030.

Di Malaysia dan di seluruh dunia, Unicef bekerjasama dengan kerajaan untuk lebih bersedia bagi meminimumkan risiko perpindahan, membangun dan melaksanakan strategi pengurangan risiko bencana responsif kanak-kanak serta penyesuaian perubahan iklim.

Selain itu, mereka bentuk perkhidmatan berdaya tahan dan mudah alih bagi melindungi kanak-kanak sebelum serta selepas berlaku bencana iklim.

Baru-baru ini, Unicef Malaysia melancarkan Minggu Sains dan Teknologi dalam Pengurangan Risiko Bencana dan Daya Tahan (STDR3) di Kundasang, Sabah.

Ia untuk mempromosikan pendidikan kesiapsiagaan bencana untuk kanak-kanak dan memperkasakannya kepada komuniti.

Sidang Kemuncak Perubahan Iklim COP28 diadakan di Dubai pada November depan. Oleh itu, Unicef menggesa kerajaan, penderma, rakan pembangunan dan sektor swasta untuk bersama mengambil tindakan bagi melindungi kanak-kanak juga generasi muda yang berisiko dengan perpindahan tempat tinggal akibat bencana cuaca pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 6:30 AM