PERTANDINGAN Lil Miss Barbie acara unik babit persembahan yang menampilkan kreativiti peserta.
PERTANDINGAN Lil Miss Barbie acara unik babit persembahan yang menampilkan kreativiti peserta.
Nurul Husna Mahmud


RAMBUT kuning keemasan dengan pesona merah jambu menyaluti segenap tubuh membuktikan 21 peserta yang menyertai Pertandingan Lil Miss Barbie di Aeon Alpha Angle Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini memahami tugasan mereka.

Semuanya tidak kalah gaya dan menjadikan suasana pentas gamat dengan sorakan bukan sahaja ahli keluarga peserta yang hadir malah pengunjung yang menyaksikannya.

Lebih membuatkan pertandingan meniru karakter patung popular bertambah unik apabila setiap persembahan juga menampilkan kreativiti setiap peserta.

Paling menonjol adalah 'prop' ala kipas yang juga berfungsi seakan-akan pakaian perisai khas ditampilkan Nur Darwisyah Helena Shahril Firdaus.

Gadis cilik berusia 11 tahun itu tampak begitu bergaya dan yakin di pentas dan berjaya memikat juri.

Menurut ibu Nur Darwishah Helena, Hazwani Othman, dia tidak menyangka anaknya mampu memikat hati juri kerana pesaing lain juga tidak kurang hebat dengan alatan persembahan.

'DRAMATIK' persembahan Nur Darwisyah Helena apabila propnya dipamerkan.
'DRAMATIK' persembahan Nur Darwisyah Helena apabila propnya dipamerkan.

"Cabaran untuk gayakan Barbie pada anak saya sebenarnya tidaklah rumit kerana pereka baju, Norazlan Mokhtar sangat faham dengan konsep pertandingan kali ini.

"Dia juga sedia maklum imej warna merah jambu dan aksesori antara yang perlu ditonjolkan supaya pesona anak patung terpamer pada setiap gerak langkah anak.

"Saya dan suami tetap tidak lupa menyiapkan 'prop' untuk berikan kelainan pada persembahan anak. Alhamdulillah kami memenanginya kerana aksi anak yakin di pentas selain kreativiti dilihat oleh juri," katanya.

Menjelaskan persiapan seperti pembawaan anak, kata Hazwani, dia dan suami menghantar anak mengikuti kelas peragaan.

"Sejak setahun lalu saya sentiasa cari pertandingan pakaian seragam atau pencarian model. Pada saya dengan pertandingan berkaitan peragaan dan kecantikan, anak lebih yakin.

"Malah anak saya yang pemalu dan pendiam sebelum ini menjadi lebih berani apabila meminati aktiviti peragaan," katanya.

Selain Nur Darwisyah Helena, aksi comel Berbie versi Koboi, Nur'Arieana Mikayla Noor Azwan tidak kurang menariknya dalam mencuri perhatian juri.

COMEL aksi comel model cilik.
COMEL aksi comel model cilik.

Apatah lagi prop kotak patung model cilik berusia lapan tahun itu dilihat begitu realistik seperti mana patung asal itu berada.

Dia ditemani neneknya Faridah Mohd Zain, 53, yang begitu santai menggayakan busana padanan baju dan seluar merah jambu berkilauan.

Menurut neneknya, pertandingan peragaan bertema sedemikian bukanlah asing, malah ibu saudaranya turut mempunyai minat yang sama.

"Nur' Arieana suka melaram seperti ibu saudaranya, Fiffy Natasya Suhaimi yang juga seorang pelakon.

"Malah dulu ketika awal pembabitan sekitar usia tujuh tahun, dia angkut piala pernah dimenangi Fiffy ke rumahnya sebagai pembakar semangat.

"Dalam setiap pertandingan, dia sendiri akan maklumkan baju yang ingin digayakan seperti dalam pertandingan Lil Miss Barbie ini," katanya.

Sementara itu wakil Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS) yang juga selaku penganjur Amizah Amir berkata, pertandingan itu adalah acara pertandingan peragaan pentas yang pertama kali dianjurkan Jabatan Seni Reka, KVERTS.

SUASANA belakang tabir.
SUASANA belakang tabir.

"Pertandingan ini adalah format baru atau kelainan ditampilkan Jabatan Seni Reka, KVERTS yang sudah sembilan tahun menganjurkan acara fesyen.

"Kalau sebelum ini hanya persembahan fesyen biasa, Lil Miss Barbie di Fashion Day 2023 datang dalam format pertandingan.

"Sasaran asal adalah seramai 30 peserta, namun faktor masa hanya mengizinkan kira-kira 21 peserta menyertainya dan bilangan ini sudah cukup memeriahkan acara kerana kebanyakannya berpengalaman," katanya.

Kata Amizah, tema barbie dipilih kerana ia masih 'trending' dan relevan dengan musim. Sebagai jabatan yang melahirkan penggiat fesyen industri, kepekaan terhadap ' trend' fesyen semasa adalah relevan.

Ini juga satu 'naluri' yang perlu ada dalam setiap pereka atau usahawan fesyen.

JURI yang hadir.
JURI yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 7:01 AM