IBU bapa yang menyokong minat Mikha.
IBU bapa yang menyokong minat Mikha.
Nurul Husna Mahmud


SEPINTAS kilat karakter polos model cilik, Shamikha Areesha Shamsul Alif, 10, boleh berubah 360 darjah apabila berada di pentas peragaan.

Seperti anak lain pada mulanya merengek kerana berasa terlalu gemuruh untuk melangkah.

Namun sebaik mendengar alunan muzik menandakan mulanya 'peranan' perlu dipersembahkan, perwatakan gadis cilik itu berubah mengikut karakter dibawa di atas pentas peragaan.

Menurut murid darjah empat Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan Kuala Lumpur itu, dia seperti kanak-kanak lain tetap berasa gemuruh apabila perlu membuat persembahan di atas pentas.

"Satu tabiat setiap kali sebelum melangkah di pentas peragaan, saya akan menangis kerana terlalu gemuruh.

"Namun apabila saya mendengar permulaan melodi muzik latar untuk persembahan, saya jadi lupa dan bertukar teruja untuk membuat persembahan.

"Dengar memang lucu tetapi itulah keadaan setiap kali saya bertanding atau mendapat tugasan besar.

"Lama-kelamaan saya dapat biasakan diri dan tabiat buruk saya suka menangis sebelum bertanding semakin berkurang serta sudah boleh tangani gemuruh dengan baik," katanya.

Shamikha Areesha yang lebih mesra disapa Mikha juga berkata, pertandingan memperaga busana dan menjadi model banyak membantu membina keyakinan diri.

"Saya sangat suka mengenakan solekan dan memakai busana yang cantik. Malah seawal usia tiga tahun saya suka bermain alat solekan dan mengenakan busana cantik.

"Ibu bapa sedar minat saya ke arah itu, mereka cuba bawa untuk menyertai pertandingan pada usia tujuh tahun.

"Namun hasrat itu tidak kesampaian disebabkan musim Covid-19 dan aktiviti seperti pertandingan memperagakan busana tidak dianjurkan," katanya.

Tahun lalu barulah dia berpeluang menyertai pertandingan pakaian beragam sempena sambutan kemerdekaan dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan memenangi pertandingan itu.

MANIS penampilan Mikha dalam satu pertandingan busana Melayu.
MANIS penampilan Mikha dalam satu pertandingan busana Melayu.

"Sejak menang pertandingan yang pertama, saya jadi teruja untuk sertai lebih banyak pertandingan dan berada di atas pentas peragaan.

"Tahun ini saya turut diberi peluang untuk berlakon dan bekerja di samping nama besar seperti Marsha Milan Londoh, Nabil Ahmad, Kamal Adli dan banyak lagi.

"Ini satu perkembangan baik untuk saya walaupun baru sahaja menjadi model cilik secara serius," katanya.

Tambah gadis manis itu, dia banyak mempelajari cara berjalan dan bergaya di atas pentas dengan mentor yang berpengalaman.

"Saya gembira kerana sokongan ibu dan bapalah yang membawa saya menyertai kelas berjalan seperti dianjurkan Lucky Jo selain mempunyai penggiat industri yang banyak membantu.

"Antaranya pereka busana, Nik Hafiz Afandi dan Ayiey Zikry. Manakala untuk solekan pula saya mendapat sentuhan daripada Asyaraf Sulaiman, Finnick Fit dan Eiman Masdar.

"Jurufoto profesional Syarief Nurlette, Zul Batavia dan Addie Aman antaranya yang banyak membantu saya memperbaiki gaya di depan kamera," katanya.

Mengenai cabang bidang yang ingin disertai Mikha, gadis itu turut berhasrat menjadi pengacara dan mempunyai program sendiri.

"Bidang yang ingin saya ceburi lagi ialah pengacaraan. Saya suka bercakap dan berjumpa ramai orang.

"Pengacara program adalah impian masa depan dan saya berharap dapat mencuba aktiviti terbabit," katanya.

Sementara itu, ibu kepada Mikha, Siti Nur Ashikin Adnan, 36, berkata, dia dan suami, Shamsul Alief Sapie menyokong penuh minat anak sulungnya itu.

"Memang tidak dinafikan pembabitan anak dalam bidang peragaan dan turut terbabit dalam lakonan iklan menagih pengorbanan tinggi.

"Sebelum berada dalam kedudukan selesa hari ini, saya dan suami perlu keluar duit sendiri untuk kelas serta belanja anak sepanjang pertandingan.

"Semua usaha itu berbaloi kerana saya dan suami mendapati penyertaan anak ini memberi efek positif bukan sahaja kepada personaliti malah menyumbang kepada anak untuk memiliki pendapatan sendiri," katanya.

Meskipun anak menjana pendapat hasil pembabitan dalam industri glamor, kata Siti Nur Ashikin, dia masih mengutamakan pelajaran anak-anak.

"Memang bagus kalau anak pada usia dia sudah ada pendapatan sendiri untuk kegunaan masa depan tetapi tidak bermakna pelajaran tidak penting.

"Saya dan suami memastikan anak selesaikan kerja sekolah selain tiada tawaran kerja di minggu peperiksaan agar anak boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 6:20 AM