Salim  (kanan) menunjukkan ular sawa seberat 30 kilogram yang ditangkap dan diletakkan di Taman Astakona di BBP Alor Setar.
Salim (kanan) menunjukkan ular sawa seberat 30 kilogram yang ditangkap dan diletakkan di Taman Astakona di BBP Alor Setar.
HM Digital

Alor Setar: Peningkatan suhu panas akibat fenomena ekuinoks yang melanda negara ini menyebabkan haiwan serta reptilia seperti ular mencari tempat perlindungan di kawasan lembap sehingga boleh mengancam keselamatan manusia.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, ular keluar dari habitat asal akibat cuaca panas untuk mencari tempat sejuk dan lembap.

Katanya, suhu panas yang melampau juga menyebabkan reptilia ini bertindak agresif dan menyerang manusia sekiranya diancam.

“Orang ramai disaran menghubungi pasukan penyelamat untuk membantu menangkap ular jika memasuki kediaman mereka.

“Kami bimbang kesilapan boleh mengundang padah dan seeloknya menghubungi kami untuk membantu menangkap ular,” katanya, semalam.

Sementara itu, anggota Skuad Menangkap Ular Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Salim Razak berkata, ular paling banyak di daerah ini adalah jenis sawa dan tedung senduk diikuti ular punti serta rusuk kerbau.

Katanya, orang ramai juga perlu tahu ular mempunyai spesies berbisa dan tidak berbisa. Oleh yang demikian mereka perlu menghubungi pasukan penyelamat untuk membantu menangkap reptilia berkenaan.

“Kami mengikuti kursus yang dikendalikan jurulatih Akademi Bomba Wilayah Timur, Pegawai Bomba Safiq Mohamad bulan lalu mengenai cara menangkap ular dan dari situ kami mempunyai keyakinan untuk menangkap ular termasuk tedung selar ketika melakukan operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 5:49 AM