JUMAAIAH menyifatkan pencapaian hari ini adalah pengorbanan dan kerja keras bertahun-tahun.
JUMAAIAH menyifatkan pencapaian hari ini adalah pengorbanan dan kerja keras bertahun-tahun.
Nurul Husna Mahmud


Membesar di pedalaman dan datang dari keluarga yang susah tidak pernah pernah menghalang dua srikandi desa ini memiliki impian besar iaitu menjadi peneraju legasi perniagaan yang diusahakan.

Malah rasa kagum penulis semakin menebal apabila masing-masing bercerita keperitan dan liku hidup dilalui sepanjang bergelar usahawan desa.

Seperti kisah usahawan Kerepek Ina Murni, Jumaaiah Salim ini yang memulakan kehidupan rumah tangga pada usia 18 tahun antara cabaran paling besar ketika memulakan perniagaan.

Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu, keinginan memiliki duit hasil pendapatan sendiri membuak-buak sejak melahirkan anak pertama lagi.

Dari modal perniagaan jualan langsung selama dua tahun, wanita itu tekad memulakan perniagaan kerepek dengan dorongan ibu saudara yang mengusahakan perniagaan makanan ringan ketika itu.

"Bayangkan kerja dari membeli dan mengangkat barang, memasak sehinggalah kerja-kerja menjual kerepak semua dilakukan sendiri.

"Tempias dari kerja berat dilakukan ketika muda, saya pernah mengalami penyakit yang teruk sehingga hampir lumpuh.

"Ketika saya mula berniaga satu kemudahan diberi suami untuk memudahkan urusan harian iaitu sebuah van.

"Susah senang berniaga kerepek banyak saya kongsikan dengan kenalan yang dikenali dengan nama, Wan Norizan. Dia seorang peniaga wanita 'kaki pasar.'

"Dia banyak menemani saya masuk ke pasar malam, ke ekspo atau pesta jualan konvokesyen sehingga saya boleh berdiri sendiri," katanya.

Menyentuh pencapaian hari ini bukan sahaja memiliki kilang perusahaan dan beberapa kedai dan ejen jualan, wanita itu tidak menafikan restu dan sokongan suami penting kepada pencapaian seseorang usahawan wanita.

"Usahawan wanita boleh cemerlang atau berkembang apabila adanya dorongan suami. Perkara terutama berkaitan penyediaan dan membuat produk menjadi lebih mudah. Lelaki ini ada buah fikiran bernas apabila berkait dengan memudahkan kerja," katanya.

Sementara itu, bagi pengasas produk hiliran berasaskan inovasi sayur kampung, Hasni Kassim juga tidak terkecuali melalui penglaman hidup penuh cabaran.

"Saya pernah mengalami kejatuhan dalam perniagaan atau hidup. Selain turut bergelut dengan penyakit dan juga kehilangan anak tercinta.

"Anak keenam, Intan Norhayati Mohd Apalil yang menderita penyakit Sistemik lupus eritematosus (SLE) meninggal dunia ketika sedang bekerja pada tahun 2018 sangat memberi kesan.

"Anak saya ini paling banyak berkongsi minat dan impian untuk kembangkan perniagaan atau produk makanan yang saya usahakan.

"Anak menjadi keutamaan sehingga saya terpaksa mengenepikan perniagaan ketika itu sedang rancak," katanya.

Hasni turut berkongsi dengan perniagaan diusahakan itulah dia membesarkan tujuh anaknya selepas bergelar ibu tunggal.

"Saya kemudian ditemukan dengan majikan sangat baik. Majikan memandang tinggi kemahiran saya dalam memasak dan juga mendorong saya mengeluarkan produk sendiri.

"Sebelum saya keluar produk berasaskan pucuk ubi, saya pernah mengeluarkan produk tepung goreng. Pernah masuk ke kedai dan pasar raya sekitar Sabak Bernam, Selangor.

"Apabila anak sakit, saya perlahankan aktiviti perniagaan dan hanya 'bangkit' semula selepas dua tahun dengan produk lain.

"Saya mahu realisasikan impian anak saya yang mahu lihat jenama atau produk saya usahakan pergi lebih jauh.

"Saya fokus untuk memperkenalkan produk dan jenama sendiri sehingga mencabar diri menyertai program Perintis Usanita. Saya terpilih 25 usahawan terbaik daripada 1,000 yang menghantar penyertaan," katanya.

Wanita kental itu optimis hasil inovasi produk kampung itu dapat dipasarkan hingga ke luar yang mana dilihat sebagai pencapaian tertinggi sebagai pengusaha kecil dari kampung.

"Wawasan memang tinggi maklumlah pernah berjaya masuk pasar raya dan aktif di platform media sosial. Memang saya berharap produk kampung contoh kerepek dan sambal pucuk ubi boleh sampai ke luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 7:00 AM