BAJU panas berkolar V antara gaya yang menjadi pilihan.
BAJU panas berkolar V antara gaya yang menjadi pilihan.
Hafiz Ithnin


DI pasaran ketika ini terdapat pelbagai rekaan potongan kolar kemeja-T yang ditawarkan kepada pembeli sesuai dengan arus gaya yang diinginkan. Malah, kepelbagaian potongan kolar itu juga mampu memberi kesan kepada gaya si pemakai.

Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid berkata, antara trend yang sering kita lihat dan popular di pentas peragaan antarabangsa adalah pemakaian kemeja-T atau baju panas dengan potongan atau garis leher bentuk V.

"Ia sememangnya adalah pilihan yang cukup versatile. Malah dengan padanan yang betul ia boleh digayakan untuk acara kasual atau formal. Sekali gus sesuai untuk mereka yang mempunyai jadual kerja yang padat.

"Jika anda mahu kelihatan kurus atau seperti kehilangan berat badan, saya cadangkan anda memilih kemeja-T, baju panas atau pakaian bahagian atas dengan potongan atau garis leher bentuk V," katanya.

Tambahnya, berbanding dengan potongan leher yang lain, sememangnya potongan atau garis leher bentuk V adalah lebih memikat dan dapat menyerlahkan personaliti si pemakai.

"Ia menambah definisi pada wajah dan bahagian atas badan anda. Ia bukan saja menjadi keperluan asas yang ringkas dan mudah malah menawarkan 'seksi' kepada si pemakai jika kena pada gayanya.

TERDAPAT pelbgai jenis pakaian yang mempunyai potongan kolar berbentuk V.
TERDAPAT pelbgai jenis pakaian yang mempunyai potongan kolar berbentuk V.

"Selain itu rekaan pakaian dengan potongan leher bentuk V cukup santai dan bergaya mengikut arus masa kini. Pilihlah rekaan dengan potongan atau garis leher bentuk V dalam rona yang versatil.

"Rona neutral polos seperti hitam, putih, krim, perang atau kelabu cukup senang disuai padan dengan semua pakaian dan aksesori kita. Untuk kelainan cuba bereksperimen dengan rekaan pola baju yang berbeza dalam rona merah, ungu, biru, hijau, kuning dan sebagainya. Pasti gaya itu mampu menarik perhatian khalayak," katanya.

Istimewanya potongan atau garis leher bentuk V kerana:

1. Ia memberikan ilusi yang melangsingkan. Cukup sesuai jika anda tergolong dalam kategori mereka yang mempunyai anatomi yang sedikit berat pada bahagian atas badan (heavy upper torso), atau pinggang yang pendek (short waist) atau tebal (thick waist).

2. Memberikan ilusi leher yang feminin, menarik dan jinjang.

3. Potongan atau garis leher V memberikan penekanan pada wajah si pemakainya, sememangnya ini adalah sesuatu yang positif pada kebanyakan orang.

4. Memberikan ilusi bentuk wajah yang lebih tirus atau runcing terutamanya jika anda punyai bentuk wajah bulat atau lebar atau empat segi.

5. Ia dapat memberikan ilusi dada yang menarik.

6. Ia sesuai dipakai pada semua bentuk badan wanita.

7. Untuk lebih berketerampilan, gayakan baju panas potongan leher bentuk V dengan kemeja putih untuk gaya ke pejabat atau acara formal. Malah, boleh juga padankan kemeja-T potongan leher bentuk V anda dengan baju panas cardigan untuk gaya kasual yang hebat.

8. Di persada antarabangsa, baju panas leher bentuk V potongan klasik rona kelabu, hitam atau putih dalam fabrik kasmir sentiasa menjadi pilihan mereka yang berketrampilan.

9. Kemeja-T potongan leher bentuk V dalam pelbagai variasi warna dan reka corak juga adalah cara yang paling murah serta mudah bagi wanita untuk menukar gaya mereka tanpa berbelanja lebih selain tidak begitu drastik. Ikon seperti Victoria Beckham cukup sinonim dengan gaya yang bersahaja ini.

Contoh penggayaan, jika anda mahukan gaya kasual tetapi trendy, kemeja-T potongan leher bentuk V memenuhi kriteria ini. Untuk gaya kasual dengan sedikit sentuhan formal, padankan ia sama ada dengan blazer ataupun jaket kulit.

MAMPU kelihatan lebih santai.
MAMPU kelihatan lebih santai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 6:16 AM