GAYA sporty padanan kemeja-T bersama jaket bercorak buat Qiestina nampak ranggi dan segar.
GAYA sporty padanan kemeja-T bersama jaket bercorak buat Qiestina nampak ranggi dan segar.
Oleh Siti Zarinah Sahib


BIJAK memilih padanan dan menggayakannya mengikut acara yang akan dihadiri antara ciri remaja hari ini. Namun ada kala padanan dikenakan kurang sesuai mungkin disebabkan terlalu seksi, kelihatan lebih berusia atau tidak kena dengan warna kulit mereka.

Bagi Qiestina Hassanul Farid, 16, biarpun masih di bangku sekolah, dia gemar mengenakan pakaian ala gadis Turki yang menekankan tema elegan.

Bijak meneroka beberapa media sosial terutama Instagram, ujar Qiestina, warna gelap seperti hitam dan coklat menjadi permainan gadis-gadis di sana.

Mereka turut menyerlahkan penampilan mata menggunakan pembayang dan celak bagi memberikan gaya yang diinginkan.

“Walaupun meminati gaya remaja Turki, tidaklah saya menggunakan keseluruhan elemen padanan mereka. “Saya harus menyesuaikan dengan cuaca dan usia agar tidak nampak terlalu matang.

“Untuk gaya jalanan, saya lebih gemar memakai sut pakaian sukan. Supaya boleh dipakai untuk acara kasual, saya padankan dengan jaket bercorak dan kasut yang untuk menyerlahkan gaya keremajaan,” katanya.

Untuk gaya kedua, Qiestina masih mengenakan kemeja-T hitam kolar penyu tetapi memakai jumpsuit di luar bagi menampakkan dia sedikit matang. Kasut sukan ditukar kepada kasut bertumit manakala tudungnya diikat gaya turban supaya lebih anggun.

Kata jurugaya Geb Idris, “Gaya jalanan wanita Turki tidak semestinya berasaskan warna gelap, sebaliknya remaja boleh bermain rona terang bagi menyerlahkan gaya muda. Pilih biru, merah, hijau atau kuning untuk baju manakala hitam untuk skirt atau seluar. Ini termasuk warna jubah atau abaya”.

Gemar memilih pakaian kasual untuk ke pejabat dan acara malam, bagi Nelissa Elyana Nizam, 23, ia memudahkannya untuk tampil ringkas sekiranya perlu menghadiri dua acara serentak.

Oleh kerana bekerja dalam sektor swasta yang tidak terlalu terikat dengan etika berpakaian, gadis ini lebih senang memilih blaus dipadankan seluar dan jaket.

TAMPIL kasual blaus bersama seluar hitam dan jaket.
TAMPIL kasual blaus bersama seluar hitam dan jaket.

“Blaus dan seluar menjadi busana harian saya. Jika mahu lebih elegan, saya padankan dengan skirt labuh bersama kemeja-T untuk acara makan malam. Ia ringkas namun masih kelihatan anggun,” katanya.

Jelas Nelissa, biarpun masih muda namun dia takut memilih pakaian bercorak terang bagi mengelak penampilan garang. Biasanya rona pastel dan semula jadi menjadi pilihan yang selamat.

Kata jurugaya Geb Idris: “Wanita boleh memakai pakaian yang sama untuk dua acara asalkan warna tidak terlalu terang dan seksi.

Untuk Nelissa, saya galakkan pilih warna terang untuk busana bagi menampakkan penampilan segar dan kulitnya yang cerah sesuai dengan semua warna. Jika ingin tampil formal pilih jaket hitam bagi melindungi blaus berwarna.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:00 AM