RONA merah mampu menonjolkan gaya elegan. - FOTO Google
RONA merah mampu menonjolkan gaya elegan. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


Pemakaian busana berona merah sering kali dikaitkan dengan identiti menonjol dan mampu membawa aura tersendiri

Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid berkata, rona merah mewah mendominasi landskap fesyen antarabangsa musim berganti musim.

Jelasnya, pereka bereksperimentasi dengan segala rona merah seperti merah ungu, merah lembayung, ceri, delima dan mawar.

"Semuanya menampilkan rekaan pakaian dan aksesori dalam variasi rona merah yang cukup hebat, dramatik, anggun, romantik, feminin serta penuh keterampilan.

"Untuk memberi impak pada penampilan, variasi rona merah menjadi pilihan dalam pakaian, aksesori dan alat solek," katanya.

Tambahnya, rona merah juga lebih hebat apabila digandingkan dengan hitam, jingga, merah muda terang atau perang.

"Rona merah adalah warna untuk wanita yang yakin dengan potensi dan kredibiliti diri sendiri. Ia adalah interpretasi berani wanita kontemporari yang mahu cemerlang dalam segala lapangan diceburi," katanya.

Justeru, Faizal kongsikan panduan penggayaan rona merah:

SI pemakai busana merah mempunyai identiti yang berani. - FOTO Google
SI pemakai busana merah mempunyai identiti yang berani. - FOTO Google

  • Sudah sampai masanya anda menyimpan gaun hitam dan menggantikannya dengan gaun merah sebagai kunci utama penampilan untuk musim ini.

    Pilihan pakaian dan aksesori yang juga menarik dan perlu dicuba dalam rona merah termasuk blazer potongan klasik, kot, seluar, baju panas turtleneck, skirt kembang, kasut tumit tinggi dan but.

  • Perlu diingat, merah adalah warna yang cukup terang dan kontras selain dapat membangkitkan pelbagai emosi jika dibandingkan dengan warna lain (maksudnya ia bakal mencuri perhatian ramai).

    Oleh itu, jika anda tidak cukup yakin dan selesa dengan warna ini, mungkin anda perlu elakkan trend ini pada waktu ini.

    Cuba dahulu sedikit demi sedikit warna ini dalam penampilan sehingga anda rasa cukup selesa untuk menggayakannya secara keseluruhan.

    Yang pasti eksplorasi dan eksperimentasi perlu untuk mendapatkan hasil yang paling sempurna bagi setiap individu.

    Padankan pakaian rona merah anda dengan rona terang atau gelap yang lain untuk gaya berani dan feminin atau padankan baju panas rona merah cerah dengan seluar kegemaran seperti jeans kelabu biru anda untuk gaya santai chic.

  • Anda juga boleh cuba padankan kot atau blazer merah dengan kemeja-T putih dan skinny jeans serta kasut pumps sebagai pelengkap gaya.

    TURTLENECK merah antara gaya kasual yang menarik untuk disarungkan. - FOTO Google
    TURTLENECK merah antara gaya kasual yang menarik untuk disarungkan. - FOTO Google

  • Bagi yang gemarkan elemen gaya maskulin, dapatkan kemeja kotak-kotak rona merah dan padankan ia dengan jeans biru serta but atau pumps untuk suntikan feminin.
  • But dalam rona merah cukup bergaya dipadankan dengan jeans biru dan baju panas high-neck dalam rona krim.
  • Bagi gaya parti atau majlis tertentu, gayakan gaun parti atauskirt merah dalam fabrik tulle ala Dior untuk lebih anggun dan feminin.
  • Untuk gaya jalanan yang hip, dapatkan hoodies saiz besar dalam rona merah. Gaya ini kontemporari dan hebat dengan konsep hyper haute-casual.
  • Tidak perlu aksesori yang berlebihan dengan gaya ini, cukuplah dengan aksesori ringkas dan paling minimum supaya rona merah yang menjadi fokus penampilan.
  • Rona merah yang sesuai juga boleh menyeri dan menyerlahkan lagi wajah dan rona kulit. Cuba gayakan reka corak atau cetak dalam rona merah, ia cara mudah untuk kelihatan lebih ceria dan segar dalam penampilan.
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:39 AM