EMAS kalis inflasi, pelaburan menguntungkan untuk jangka masa panjang. FOTO Hazreen Mohamad
EMAS kalis inflasi, pelaburan menguntungkan untuk jangka masa panjang. FOTO Hazreen Mohamad
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HARGA emas dijangka terus meningkat antara 10 hingga 20 peratus lagi pada tahun hadapan selepas mencatatkan peningkatan yang konsisten sejak awal Januari lalu.

Meskipun harganya meningkat namun ia tetap menjadi pilihan ramai kerana logam berharga itu bukan sahaja memiliki nilai intrinsik yang tinggi tetapi paling penting, kalis inflasi.

Semua faktor itu turut menjadikan emas pelaburan paling berbaloi untuk jangka panjang.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib berkata, emas 916 merekodkan harga runcit tertinggi awal bulan ini iaitu RM350 segram.

Katanya, ia jauh berbeza dengan harga pada minggu pertama Januari lalu iaitu sekitar RM295 segram dan RM 300 segram pada pertengahan bulan yang sama.

"Pada pertengahan Mac lalu pula, ia meningkat RM305 segram, RM315 segram pada awal April, RM320 segram pada awal Mei, RM325 segram pada pertengahan Oktober dan akhir Oktober lalu naik sehingga RM340 segram.

"Peningkatan harga itu disebabkan banyak faktor antaranya keadaan geopolitik semasa global, inflasi, wabak, perang, acara antarabangsa, pembelian rizab emas oleh Bank Pusat dan sebagainya.

"Selain itu, keadaan semasa dan ekonomi negara juga akan memberi kesan kepada harga emas di pasaran tempatan kerana jika ringgit lemah, harganya akan meningkat, " katanya dalam wawancara eksklusif bersama Harian Metro.

KOLEKSI wafer syiling emas istimewa yang dihasilkan sempena kolaborasi bersama Zoo Negara. FOTO Hazreen Mohamad
KOLEKSI wafer syiling emas istimewa yang dihasilkan sempena kolaborasi bersama Zoo Negara. FOTO Hazreen Mohamad

Menurut Meer, bagi yang memerlukan wang tunai, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mendapatkan keuntungan menjual barangan kemas lama mereka.

Namun, bagi mereka yang tidak memerlukan wang tunai segera, dinasihatkan supaya terus menyimpan barangan kemas kerana harganya dijangka akan meningkat pada masa depan.

Mengulas mengenai susut nilai dalam urusan menjual barangan kemas lama pula, Meer berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana jongkong emas misalnya, hanya susut nilai sekitar satu hingga dua peratus sahaja jika dijual balik.

"Bagi barangan kemas lama pula, jika dijual balik biasanya akan susut nilai maksima 15 peratus sahaja kerana perlu mengambil kira kos upah untuk meleburkannnya dan sebagainya.

"Jadi, jika teringin memiliki barangan kemas rekaan terbaharu tetapi tidak memiliki wang tunai yang mencukupi, bolehlah jual barangan kemas lama dan menambah sedikit untuk membeli yang rekaan baharu.

"Di HABIB, kami sentiasa memperkenalkan pelbagai rekaan barangan kemas moden dan baharu bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai, termasuk koleksi Oro Italia dan koleksi batuan permata berkualiti tinggi," katanya.

Dalam pada itu Meer berkata, golongan muda juga dilihat semakin cakna dengan pelaburan emas.

Ini kerana kata beliau, emas bukan sahaja untuk perhiasan diri semata-mata malah turut sesuai dijadikan sebagai hadiah untuk musim perayaan.

"Jika kita hadiahkan diri sendiri atau seseorang dengan wang ringgit misalnya, ia akan habis begitu sahaja, berbeza jika memberi emas kerana boleh disimpan untuk masa hadapan.

"Jadi kita perlu bijak kerana walau apa yang berlaku, emas adakah simpanan dan pelaburan kalis inflasi," katanya.

Sementara itu, Meer berkata, pihaknya turut mengadakan promosi Jualan Akhir Tahun sehingga 1 Januari depan dengan pelbagai tawaran menarik seperti pengurangan RM30 bagi setiap gram, tiada caj upah serta potongan sehingga 70 peratus.

ANTARA koleksi batuan permata eksklusif yang ada di Habib. FOTO Hazreen Mohamad
ANTARA koleksi batuan permata eksklusif yang ada di Habib. FOTO Hazreen Mohamad

"Selain itu, pada 22 hingga 25 Disember ini juga kami akan mengadakan jualan cuci gudang untuk menghabiskan stok barangan kemas lama bagi membolehkan koleksi baharu dimasukkan.

"Bagi pengumpul wafer syiling emas 999.9 koleksi baharu dengan kolaborasi Zoo Negara tampil dalam enam rekaan menarik haiwan ikonik yang terdapat di zoo iaitu harimau bengal putih, panda, zirafah, singa Afrika, burung pegar emas dan harimau bintang.

"Ia antara pilihan terbaik untuk mereka yang ingin mula berjinak dan melabur dalam emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 7:00 AM