MWM diadakan dengan matlamat untuk menggalakkan wanita meraikan Hari Wanita Antarabangsa melalui sukan.
MWM diadakan dengan matlamat untuk menggalakkan wanita meraikan Hari Wanita Antarabangsa melalui sukan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEDEKAD lalu, MCIS Life Malaysia Women Marathon (MWM) diadakan dengan matlamat untuk menggalakkan wanita meraikan Hari Wanita Antarabangsa melalui sukan.

Ini kerana gaya hidup aktif secara fizikal boleh mewujudkan minda dan harga diri yang lebih sihat, sesuatu yang diperlukan untuk memperkasakan wanita.

Kini, ia bukan sahaja acara untuk memupuk gaya hidup holistik malah menjadi medium mendidik orang ramai mengenai kesaksamaan jantina dan hak wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MCIS Life, Prasheem Seebran berkata, secara tradisi mereka meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa dengan mengadakan acara larian.

"Ia bagi meraikan kepentingan kesihatan yang baik, gaya hidup seimbang dan menghormati wanita atas pencapaian sepanjang hayat mereka," katanya.

Pengasas acara itu, Karen Loh pula berkata, selama bertahun acara itu membantu mendidik orang ramai mengenai kesaksamaan jantina, menggalakan gaya hidup holistik serta mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menguruskan penyakit yang boleh dicegah melalui pemeriksaan awal.

Kata Karen, kali ini penganjuran larian fizikal itu akan diadakan di Selangor, Perak dan Johor dengan kelainan tersendiri iaitu 500 pelari pertama berpeluang menerima saringan kanser secara percuma hasil kerjasama strategik kami dengan National Cancer Society Malaysia.

"Selain itu, buat pertama kalinya tahun ini, MCIS Life MWM 2022 membenarkan lelaki bertanding dalam larian.

"Keputusan berkenaan dibuat untuk memupuk keterangkuman dan menggalakkan golongan terbabit menunjukkan sokongan mereka terhadap hak wanita serta kesaksamaan jantina," katanya.

Jelas Karen lagi, ia adalah acara larian fizikal pertama yang diadakan sejak sekatan pandemik dan menawarkan hadiah wang tunai untuk pemenang.

"Acara itu sudah memasuki tahun kesepuluh, (bermula pada 2013 di Shah Alam) dan menarik perhatian ramai peserta.

"Kali ini, peserta dalam larian fizikal terpaksa dihadkan kepada 1,000 orang sahaja kerana pihak penganjur mengutamakan keselamatan dan mengekalkan penjarakan sosial," katanya.

Sementara itu, marathon berkenaan menampilkan kategori Marathon Penuh (42 kilometer (km), Marathon

Separuh (21 km), 10 km dan larian maya (yang terbuka kepada peserta tanpa had).

Selepas siri PJ pada 29 Mei, ia akan diadakan di Ipoh ( 31 Julai) diikuti Iskandar Puteri, Johor pada 2 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 6:30 AM