PESERTA bergambar pada kemuncak program di UPM, Serdang, baru-baru ini.
PESERTA bergambar pada kemuncak program di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Serdang: Seramai 500 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama kanak-kanak istimewa julung kalinya menyertai acara larian “Heart’athon Run 2016 yang dianjurkan Sport Worrior Global (SWG) di bawah program ‘Dengan Sukan Kami Prihatin’.

Acara yang berlangsung di UPM itu membabitkan larian sejauh 5km dengan objektif memberi peluang kanak-kanak kurang upaya membentuk keyakinan menjadi juara melalui sukan dengan sokongan masyarakat sekeliling.

Naib Canselor UPM Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris turut sama memeriahkan acara itu dengan menyertai zumba dan merasai pengalaman berjalan bersama peserta acara larian.

“Kami sentiasa menyokong program seperti ini untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan pelajar dan kakitangan agar dapat dipraktikkan kehidupan aktif dengan bersukan,” katanya.

Acara larian membabitkan penyertaan kanak-kanak dari Rumah Tengku Budriah, Rumah Kebaikan Masyarakat Ti Ratana, Desa Amal Jireh, Rumah St.Barnabas dan Rumah Keluarga Kami.

Pembabitan penembak negara yang beraksi di Olimpik Rio Johnathan Wong dan atlet wushu negara Chai Fong Wei itu memberi suntikan semangat buat peserta yang mengambil bahagian.

Acara itu dimenangi Jackian A/L Johari dan Anrew Lim dari pasukan Desa Amal Jireh. Pasukan dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah yang dibarisi Nurhafizanis Zainudin, Muhammad Husaini Abd Latif dan Muhammad Danial Hossin menduduki tempat kedua. Manakala tempat ketiga dimenangi Rumah Keluarga Kami.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 5:12 AM