PENGAMBILAN makanan seimbang bantu kekalkan kesihatan tubuh ketika menjalani ibadah puasa. - FOTO Google
PENGAMBILAN makanan seimbang bantu kekalkan kesihatan tubuh ketika menjalani ibadah puasa. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud

Walaupun ramai tahu kepentingan sahur namun masih ada sebilangan besar mengelak untuk makan di awal pagi (sebelum subuh) kerana sukar untuk bangun setiap hari.

Sedangkan sahur antara persiapan penting bagi umat Islam untuk mengharungi ibadah puasa apatah lagi ia antara waktu untuk menikmati hidangan seimbang yang diperlukan bagi kekal cergas sepanjang hari.

Pengambilan hidangan untuk bersahur perlu yang sihat, seimbang, merangkumi keperluan makanan dan mengandungi nutrien yang bersesuaian dengan keperluan tubuh.

Satu hidangan ideal bagi sahur perlulah mengandungi semua zat dan nutrisi makanan seperti karbohidrat, protein, vitamin, mineral dan air.

Karbohidrat kompleks disarankan bagi pengambilan dalam hidangan sahur kerana tempoh masa diambil untutk mencerna karbohidrat berkenaan lebih lama.

Jadi, mereka yang mengambil hidangan berasaskan sumber itu seperti beras perang, roti gandum, jagung, kentang dan oat tidak mudah lapar.

SEDIAKAN makanan lebih awal dengan resipi ringkas tapi cukup bernutrisi. - FOTO Google
SEDIAKAN makanan lebih awal dengan resipi ringkas tapi cukup bernutrisi. - FOTO Google

Pengambilan karbohidrat ringkas atau ringan seperti nasi, mi dan roti putih bukan sahaja boleh meningkatkan paras gula dalam darah malah tidak boleh membantu mengekalkan rasa kenyang untuk satu tempoh lama.

Jangan lupa juga pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia membekalkan kandungan serat untuk mengekalkan rasa kenyang dalam satu tempoh lebih panjang, di samping kebaikan lain ialah mencegah sembelit.

Maklumlah ketika puasa, kandungan cecair dalam badan juga berkurangan kerana amalan berpuasa tidak membenarkan pengambilan air sepanjang hari.

Kurangnya cecair dalam badan boleh memberi komplikasi termasuk sembelit. Sebaiknya kekalkan tabiat pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang boleh atasi masalah itu.

Begitu juga dengan kandungan protein yang pada umumnya membantu memperbaiki tisu dan menguatkan sistem imunasi, perlulah ada produk tenusu bagi membantu menguatkan tulang. Protein baik disarankan ketika sahur memilih hidangan berasaskan daging putih seperti ayam dan ikan selain disempurnakan dengan produk tenusu rendah lemak.

Paling penting dipertimbangkan mereka yang bersahur ialah pengambilan air kosong dan mengelak mengambil hidangan manis atau ringan kerana tidak membantu 'menangkis' rasa dahaga untuk jangka masa panjang.

SESEORANG individu akan hilang tumpuan jika tidak mengambil nutrisi mencukupi. - FOTO Google
SESEORANG individu akan hilang tumpuan jika tidak mengambil nutrisi mencukupi. - FOTO Google

Jika badan 'terlepas' semua keperluan penting ini pada hari berpuasa, berkemungkinan individu terbabit mengalami masalah dehidrasi, kekurangan tumpuan selain kelesuan yang melampau sehingga menjejaskan rutin berpuasa.

Justeru, selain memikirkan hidangan terbaik ketika berbuka, rancangkan juga menu atau resipi untuk bersahur. Jika kerja penyediaan makanan sahur dirasakan rumit, boleh fikirkan resipi ringkas namun boleh menaikkan selera makanan apabila diambil ketika awal pagi.

Berikut antara cadangan resipi boleh disediakan secara mudah namun masih mencukupi sebagai hidangan lengkap ketika bersahur:

Tortila bayam bersama telur

* Resipi ini boleh disediakan awal iaitu disimpan secara sejuk beku dalam bungkusan makanan dan dipanaskan semula dalam ketuhar.

TORTILA bayam bersama telur antara sajian menarik untuk bersahur. - FOTO Google
TORTILA bayam bersama telur antara sajian menarik untuk bersahur. - FOTO Google

Bahan-bahan:

• 1 Tortila gandum 7 inci

• 1/4 cawan cendawan dihiris

• 1/4 sudu teh lada hitam

• 2 cawan bayam segar

• 1 telur (ambil putih sahaja dan pukul sedikit)

• 2 sudu besar keju feta rendah lemak

• 1 sudu besar tomato kering dicincang

• 2 sudu besar minyak zaitun.

• 2 ulas bawang putih.

Kaedah penyediaan:

1. Letakkan tortila di atas pinggan dan dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro pada suhu tinggi selama satu minit.

2. Sediakan kuali kecil dan panaskan bersama minyak zaitun. Tumiskan bawang putih bersama cendawan dan lada hitam selama dua minit.

3. Kacau bayam dan tumis selama satu hingga dua minit lagi, atau hingga layu.

4.Masukkan telur dan masak, kacau hingga rata, kira-kira dua minit.

5. Letakkan telur di tengah tortilla, kemudian letakkan keju feta sudah siap dihancur dan tomato kering.

6. Untuk membungkus, lipat salah satu hujung, kemudian mula gulung. Hidangkan segera atau bungkus dengan kerajang dan disimpan dalam sejuk beku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:01 AM