DR NOR SALEHA melihat kempen tahun ini sebagai usaha terus memberi kesedaran mengenai penyakit.
DR NOR SALEHA melihat kempen tahun ini sebagai usaha terus memberi kesedaran mengenai penyakit.
Nurul Husna Mahmud


MERUJUK kepada statistik semasa iaitu kanser menjadi penyebab kematian kedua tertinggi di seluruh dunia.

Lebih separuh kes dilaporkan dikesan di peringkat akhir menunjukkan pengetahuan mengenai penyakit berkenaan masih rendah dalam kalangan masyarakat.

Sempena Hari Kanser Sedunia yang diraikan pada 4 Februari setiap tahun, Kementerian Kesihatan Malaysia terus menggiatkan usaha meningkatkan kesedaran dalam penjagaan kesihatan terutama mencegah selain pengesanan awal membabitkan kanser.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Kanser, Dr Nor Saleha Ibrahim Tamin, masih ramai yang masih tidak cakna mengenai penyakit kanser termasuklah enggan melakukan pemeriksaan sewajarnya.

"Mungkin ramai yang tidak mahu melakukan ujian saringan kerana mereka takut untuk tahu sekiranya benar menghidap penyakit ini. Ramai beranggapan kanser tidak boleh diubati dan akan menyebabkan kematian.

"Sedangkan pengesanan awal memberi pilihan lebih baik termasuklah rawatan awal dan meningkatkan kualiti hidup ke tahap lebih baik berbanding menangguhkan saringan serta rawatan.

"Lebih buruk lagi jika ada mengambil sikap ambil mudah meskipun sudah ada gejala kanser kelihatan selain sikap segelintir tidak langsung ambil inisiatif untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit itu," katanya.

Tambah Dr Nor Soleha, kemudahan kesihatan sudah bertambah baik dan menerusi pengesanan awal membolehkan individu berkenaan dapat mengendalikan penyakit dengan lebih baik.

"Banyak kebaikan jika saringan dijalankan dan penyakit dikesan peringkat awal. Selain kos lebih efektif, ia turut membantu meningkatkan produktiviti negara dengan penjagaan aspek kesihatan diri masing-masing," katanya.

Inisiatif di pihaknya pula adalah kempen kesedaran berterusan termasuk agenda penting pada tahun ini dengan menganjurkan pelbagai program bagi membantu orang ramai memahami mengenai penyakit itu dan usaha pencegahannya.

"Tema untuk kempen tahun ini iaitu 'Close The Care Gap' atau rapatkan jurang penjagaan bertujuan mengajak orang ramai mengenal pasti dan memahami ketidaksamaan dalam penjagaan kanser serta memainkan peranan untuk mengurangkan ketidaksamaan ini.

"Tidak kira di mana kita berada, kita sepatutnya menerima maklumat yang tepat berkaitan kanser dan penjagaan berkualiti serta saksama yang merangkumi aspek pencegahan, saringan, diagnosa, rawatan dan sokongan.

"Diharap kempen seperti ini dapat membantu mewujudkan peluang lebih baik apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing terutama penjagaan kesihatan diri masing-masing," katanya.

Penekanan pengisian kempen semestinya memfokuskan pencegahan kanser terutama mengelak amalan berisiko seperti merokok, tabiat pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, berat badan berlebihan dan pengambilan aklohol.

"Seperti tahun lalu yang mana negara berdepan pandemik, kami menganjurkan aktiviti berkait dengan gaya hidup sihat termasuklan acara larian virtual.

"Selain itu ada juga penganjuran forum awam secara hibrid iaitu menerusi platform FB Live dan fizikal bagi membantu mengukuhkan pemahaman orang awam mengenai penyakit," katanya.

Sementara itu Dr Nor Saleha turut memaklumkan kemudahah terkini seperti aplikasi MySejahtera, membolehkan akses maklumat berkaitan kesihatan lebih mudah dicapai.

"Terdapat pautan tertentu dalam aplikasi boleh digunakan untuk mendapat maklum balas atau maklumat segera berkait dengan kesihatan.

"Dalam aplikasi MySejahtera, sebenarnya segala urusan boleh dilakukan dihujung jari daripada urusan tempahan temujanji dengan klinik atau hospital sehinggalah pengambilan ubat. Cuma kena jelajah semua ikon yang ada dan klik pada bahagian atau pautan tertentu untuk digunakan mengikut keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 6:48 AM