MAJLIS pelancaran kempen ‘New Normal, Same Cancer’ yang turut dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah).
MAJLIS pelancaran kempen ‘New Normal, Same Cancer’ yang turut dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah).
Muhamaad Razis Ismail

Pandemik Covid-19 mengakibatkan ramai pesakit kanser tidak dapat membuat pengesanan awal, sekali gus menyebabkan peningkatan risiko kanser peringkat lanjut yang lagi sukar untuk dirawat.

Atas sebab ini, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) bekerjasama untuk melancarkan kempen 'New Normal, Same Cancer' dengan sokongan AstraZeneca Malaysia.

Inisiatif ini diambil untuk menangani kesan berterusan akibat pandemik Covid-19 mengenai penjagaan kanser sambil menggalakkan orang ramai untuk bertindak awal dengan menjalankan pemeriksaan penjagaan kesihatan yang sesuai.

Kajian yang dijalankan oleh IQVIA baru-baru ini mendapati terdapat penurunan drastik sebanyak 74 peratus dalam diagnosis kanser sejak dunia diserang pandemik.

Dengan penurunan drastik dalam kadar diagnosis dan kadar saringan pesakit, ketiga-tiga organisasi ini bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan populasi pesakit yang belum didiagnosis atau dirawat.

Selain daripada pendidikan mengenai penjagaan kanser yang betul melalui media sosial dan laman mikro kempen, 'New Normal, Same Cancer' bertujuan menggalakkan pesakit untuk kembali menerima rawatan pada waktu norma baharu ini dengan menyediakan baucar saringan dan konsultasi bagi kanser payudara, paru-paru dan prostat di hospital di seluruh negara yang mengambil bahagian dalam kempen ini.

Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram berkata, sejak satu setengah tahun lalu, penjagaan kanser mungkin tidak diutamakan kerana sistem penjagaan kesihatan kita menghadapi jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

Katanya, kanser adalah pembunuh senyap dan tanpa disedari ramai, penyakit ini mungkin sudah pun menjejaskan kesihatan mereka.

"Sambil kita menyesuaikan diri dengan norma baharu ini, kita tidak boleh lagi mengabaikan masalah yang besar ini.

"Diagnosis kanser yang lewat akan merendahkan peluang hidup dan meningkatkan kos rawatan dan penjagaan.

"Oleh itu, kita perlu mempertingkatkan kepentingan pengesanan awal dan masa untuk kita bertindak adalah sekarang," katanya.

SELVARANI Krishnan (kanan) berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit kanser payudara.
SELVARANI Krishnan (kanan) berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit kanser payudara.

Menurutnya, kempen ini bertujuan mencapai tiga matlamat utama iaitu meningkatkan kesedaran kanser dalam kalangan orang ramai, menyerlahkan kepentingan pengesanan awal dan menggalakkan orang ramai untuk menjalani saringan.

Pengasas Bersama dan Presiden LCNM, Dr Anand Sachithanandan berkata, kanser paru-paru adalah salah satu kanser yang paling biasa dengan kadar kelangsungan hidup yang paling rendah di Malaysia kerana sebahagian besarnya dikesan terlalu lewat.

"Kami memahami keengganan orang ramai untuk datang menjalani pemeriksaan kanser ketika pandemik.

"Atas sebab ini, LCNM berbesar hati untuk memainkan peranan dalam kempen ini demi meningkatkan kesedaran bahawa saringan kanser paru-paru untuk individu yang berisiko boleh dilakukan dengan selamat dengan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Matlamat kami adalah mengesan lebih banyak penyakit pada peringkat awal yang boleh dirawat dengan lebih berkesan," katanya.

Untuk menggalakkan pesakit dan orang ramai meneruskan rawatan berjadual dan saringan awal, baucar saringan boleh dimuat turun dari laman mikro kempen. Untuk kemudahan tambahan, tempahan untuk saringan boleh dilakukan dengan 18 hospital yang mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:31 AM