PERNAHKAH anda terfikir apakah keutamaan hidup anda? Tahukah anda apa yang benar-benar penting bagi diri anda? Bagi sesetengah orang, beberapa perkara seperti memperoleh duit yang banyak, kemajuan kerjaya, lebih banyak masa bersama keluarga, membuang tabiat buruk ataupun memulakan aktiviti baharu merupakan keutamaan mereka.

Bagaimanapun, menjaga kesihatan perlu juga dimasukkan dalam senarai keutamaan hidup kita kerana tanpa kesihatan, kita tidak mampu melakukan banyak perkara untuk memenuhi harapan dan impian kita yang lain.

Bak kata pepatah, kesihatan adalah kekayaan, maka adalah penting untuk menjadikan pemeriksaan kesihatan seperti indeks jisim badan (BMI, berdasarkan ukuran tinggi/berat badan), tekanan darah dan bacaan denyutan, paras kolesterol dan kandungan gula dalam darah sebagai satu rutin.

Kepentingan pemeriksaan awal

Pemeriksaan kesihatan awal boleh membantu mengesan penyakit tertentu di peringkat awal. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa pengesanan awal boleh membantu menyediakan perancangan pengurusan dan rawatan yang lebih baik, yang kemudiannya akan meningkatkan kelangsungan hidup pesakit. Sesetengah ujian pemeriksaan kesihatan yang membantu pengesanan awal termasuklah kesihatan/ketumpatan tulang, pemeriksaan saringan Hepatitis B dan C, serta kanser kolorektal. Pemeriksaan awal, khususnya kanser kolorektal adalah penting kerana pengesanan awal telah terbukti dapat mengurangkan risiko kanser kolorektal dan meningkatkan kelangsungan hidup di kalangan penduduk.

Di Malaysia, kanser kolorektal ialah kanser kedua paling kerap berlaku dikalangan lelaki dan ketiga paling kerap pada wanita. Secara umumnya, kanser kolorektal tidak menunjukkan apa-apa simptom atau gejala diperingkat awal. Kebanyakan pesakit kanser kolorektal hanya didiagnos dengan penyakit ini pada peringkat akhir, iaitu ketika simptom atau gejala menjadi lebih jelas dan kerap belaku. Ini kemudiannya membawa kesan buruk kepada pesakit untuk terus hidup menjangkaui 5 tahun.

Pemeriksaan awal yang boleh dilakukan adalah menggunakan kit ujian saringan yang dipanggil ujian darah okult najis (FOBT, faecal occult blood test). Ujian ini berasaskan pengesanan darah dalam najis (salah satu simptom kanser kolorektal) dan ujian ini boleh dilakukan di rumah. Kehadiran darah dalam najis mungkin juga disebabkan oleh buasir, ulser atau keradangan. Maka, jika ujian ini didapati positif, pemeriksaan lanjut seperti kolonoskopi dan biopsi mungkin diperlukan untuk mengesahkan kehadiran kanser kolorektal.

Siapa yang harus lakukan pemeriksaan saringan awal kanser kolorektal (kit FOBT)?

Jika anda mengalami simptom kanser kolorektal (contohnya, tabiat buang air besar yang berubah, kerap mengalami kesakitan, kekembungan atau kekejangan pada abdomen, kehilangan berat badan tanpa sebab yang tidak diketahui) atau mempunyai sejarah kanser dalam keluarga, anda dinasihati untuk melakukan ujian kolonoskopi.

Berazam untuk kesihatan usus yang baik

Amalkan rutin sihat dalam gaya hidup harian anda. Ini termasuklah menjadi lebih aktif secara fizikal atau bersenam setiap hari, minum lebih banyak air, berhenti merokok/vape, dan lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan. Salah satu faktor yang menyumbang kepada kesihatan usus ialah kehadiran mikrobiota usus iaitu sejenis mikroorganisma dalam usus yang memainkan peranan dalam mengekalkan kesihatan penghadaman yang baik. Mikroorganisma juga merupakan barisan pertahanan pertama di dalam badan terhadap jangkitan dan penyakit.

Pastikan mikrobiota usus anda sihat dengan memakan makanan yang mengandungi prebiotik dan probiotik. Prebiotik ialah makanan untuk bakteria baik di dalam usus dan boleh didapati dalam serat tertentu daripada makanan seperti pisang, bawang merah dan sebagainya. Manakala probiotik membantu menambah semula populasi bakteria baik di dalam usus dan boleh didapati dalam makanan ditapai seperti tempe, tapai pulut, dan produk tenusu ditapai seperti yogurt dan minuman susu berkultur. Malah, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjalankan satu penyelidikan pada tahun 2019 berkaitan pengambilan teratur minuman susu berkultur hidup yang mengandungi L. acidophilus dan L. paracasei. Keputusan penyelidikan itu menunjukkan kesan positif pada kesihatan penghadaman subjek kajian, termasuklah pengurangan simptom sembelit dan meningkatkan sistem imun badan. Bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan klinikal masih sedang dijalankan di seluruh dunia untuk meneroka potensi probiotik dengan lebih lanjut.

Jangan mudah berasa selesa

Walaupun kebanyakan pesakit kanser kolorektal berumur 50 tahun dan ke atas, ia tidak terhad kepada golongan warga emas dan masih boleh berlaku kepada kumpulan umur yang lebih muda. Kebelakangan ini, semakin ramai golongan muda mengalami penyakit tidak berjangkit seperti strok, diabetes dan penyakit jantung.

Pemeriksaan saringan penyakit membantu mengesan masalah atau penyakit diperingkat awal. Jika anda melakukan ujian saringan sekali sahaja, anda hanya akan tahu keadaan kesihatan anda pada ketika itu sahaja. Tetapi jika ujian saringan penyakit ini dilakukan secara berkala dan tetap, maka ia akan membantu doktor anda mengesan sebarang keadaan abnormal yang mungkin semakin teruk selepas pemeriksaan sebelum ini. Pengesanan awal akan memberikan anda dan doktor anda lebih banyak masa untuk merancang rawatan terbaik untuk penyakit tersebut.

Artikel ini ihsan Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) dan Program Penghadaman Sihat VITAGEN (VHDP), sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019. Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan ialah seorang Pakar Perunding dan Gastroenterologi & Hepatologi. Beliau juga Pengerusi Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia. Beliau tidak kena-mengena dengan, dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-56323301.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 10:00 AM