ALAT X-ray AI menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk mengesan keabnormalan pada radiografi dada.
ALAT X-ray AI menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk mengesan keabnormalan pada radiografi dada.
Muhamaad Razis Ismail


KANSER paru-paru adalah kanser kedua paling biasa dan penyebab utama kematian berkaitan kanser dalam kalangan lelaki di negara ini.

Kebanyakan kes kanser paru-paru dikesan lewat dan ini menyebabkan penurunan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser jenis ini berbanding jenis kanser utama yang lain di negara kita.

Presiden Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) dan Pakar Bedah Kardiotoraks, Dr Anand Sachithanandan berkata, sejarah keluarga dan pencemaran udara adalah faktor risiko utama untuk peningkatan trend kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok.

Katanya, pengesanan penyakit kanser paru-paru peringkat awal adalah penting kerana hasil rawatan dan prognosis sangat bergantung pada peringkat penyakit.

"Prognosis yang tidak baik dalam kalangan pesakit kanser paru-paru selalunya disebabkan kebanyakan pesakit tidak akan mengalami apa-apa tanda atau gejala pada peringkat awal penyakit ini.

"Malangnya mereka hanya sedar mengenai masalah kesihatan mereka apabila penyakit ini berada di peringkat yang serius.

"Dengan pendekatan terapi pelbagai disiplin dan pelbagai mod, kanser paru-paru yang dikesan pada peringkat awal dapat membawa prognosis yang sangat baik kerana rawatan kuratif lebih berkesan dan lebih kos efektif apabila kanser mula dirawat pada peringkat ini," katanya.

Menyedari kepentingan pengesanan awal penyakit ini, teknologi saringan kecerdasan buatan (AI) yang canggih (Qure.ai) yang pertama kali diperkenalkan di negara ini membabitkan kerjasama LCNM, AstraZeneca dan Qualitas Medical Group yang berganding dengan tiga pusat rawatan kanser swasta, Hospital Beacon, Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Sunway.

Dr Anand berkata, dengan akses yang dipertingkatkan, alat X-ray AI yang menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk mengesan keabnormalan pada radiografi dada boleh meningkatkan kepekaan untuk pengesanan nodul paru-paru yang selalunya adalah tanda pertama kanser paru-paru.

"Kes yang disyaki kemudian disiasat dengan imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT). Ia adalah kaedah saringan yang terbukti baik untuk mengurangkan kematian berkaitan kanser paru-paru bagi individu berisiko tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, X-ray dada AI akan meningkatkan ketepatan diagnostik dan mempercepatkan rujukan kes kepada pakar paru-paru yang berkaitan.

"Dengan penyiasatan dan rawatan yang lebih pantas, kadar kelangsungan hidup yang lebih baik boleh dijangkakan.

"Kemajuan perubatan yang inovatif seperti ketersediaan mesin algoritma AI pembelajaran mendalam ini adalah satu langkah besar untuk industri dan berpotensi untuk mengubah status industri perubatan semasa.

"Kami berharap untuk mewujudkan peralihan peringkat penyakit secara berkesan sambil mengesan lebih banyak kanser paru-paru di peringkat awal dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal berkata, melalui kerjasama ini, pihaknya berharap untuk meluaskan akses bagi pesakit untuk mendapatkan diagnosis awal kanser paru-paru untuk mengurangkan kadar kematian disebabkan penyakit ini di Malaysia.

"Penyepaduan teknologi inovatif seperti AI untuk saringan kanser paru-paru yang bermula di peringkat penjagaan utama adalah bukti bahawa pemeriksaan awal boleh meningkatkan kadar rujukan yang tepat bagi individu berisiko tinggi untuk mendapatkan diagnosis lanjut dari hospital tertier yang menggunakan teknik pengimejan LDCT yang langsung dapat menyelamatkan nyawa.

"Cita-cita AstraZeneca adalah untuk melampaui pil dan mencipta ekosistem kesihatan yang teguh sambil menggalakkan diagnosis awal untuk mengurangkan beban penyakit lalu meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan.

"Kami berharap inisiatif ini membuka jalan kepada pengusaha industri lain untuk menyertai gabungan ini untuk membantu meluaskan lagi akses bagi pesakit untuk mendapatkan diagnosis kanser paru-paru pada harga berpatutan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 6:47 AM