KADANG kala apabila bertengkar baharu dapat mengetahui punca pasangan merajuk.
KADANG kala apabila bertengkar baharu dapat mengetahui punca pasangan merajuk.
Hafiz Ithnin


TATKALA sebelum menulis artikel ini, penulis ada bertanya kepada rakan-rakan sepejabat mengenai 'cabaran' yang sentiasa dihadapi mereka di alam rumah tangga membabitkan isu emosi.

Pantas, mereka banyak berbicara mengenai pasangan yang merajuk tanpa alasan atau sebab yang kukuh.

Justeru, bagi pasangan yang berdepan dengan situasi ini, kadang-kala terpinga-pinga mengenai punca atau perlukah perkara itu berlaku di dalam perkahwinan. Apatah lagi, jika bahtera rumah tangga sudah lama dibina.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, merajuk untuk mendapat perhatian pasangan kadangkala boleh mewujudkan kemesraan dalam perkahwinan.

"Pada masa yang sama, merajuk juga ada implikasi negatif apabila pasangan yang suka merajuk dilihat sebagai terlalu mengada-ngada dan inginkan perhatian 24 jam sehari.

"Memberi perhatian kepada suami atau isteri tersayang menjadi sesuatu yang wajib selepas melintasi gerbang perkahwinan. Tidak memberi perhatian kepada pasangan pula membuka ruang keburukan hingga boleh meruntuhkan mahligai bahagia anda," katanya.

Hakikatnya pasangan anda pasti akan runsing apabila tabiat suka merajuk hingga mengurangkan rasa harmoni dalam rumah tangga.

"Rumah yang dibina untuk menjadi 'syurga' dunia akhirnya menjadi seperti 'neraka' kerana tabiat merajuk yang sebenarnya membawa banyak kemudaratan dalam perhubungan.

"Sebenarnya, tabiat merajuk sudah lama menjadi fokus dalam penyelidikan sains sosial dan perhubungan antara manusia. Umumnya, sarjana penyelidik antarabangsa memberi nilai yang negatif kepada tabiat merajuk dan mengkategorikan rajuk sebagai sifat permusuhan," katanya.

JANGAN biarkan hubungan toksik memberi kesan kepada keluarga yang sudah dibina.
JANGAN biarkan hubungan toksik memberi kesan kepada keluarga yang sudah dibina.

Tambahnya, secara realiti, tabiat merajuk yang keterlaluan digunakan sebagai strategi pasangan yang toksik untuk mengawal tindak-tanduk anda tanpa disedari. Fakta ini diselidik Profesor Timothy Smith dari Universiti Utah, Amerika Syarikat bersama sepasukan penyelidik lain.

"Apabila merajuk, anda sebenarnya meletakkan salah dan silap di bahu pasangan. Anda tidak berpuas hati dengan pasangan tetapi pada masa yang sama anda 'menghempas' pintu komunikasi. Lazimnya, pasangan anda sendiri tidak tahu hal yang sudah berlaku," katanya.

Katanya, sekumpulan penyelidik dari Amerika Syarikat, Kanada dan New Zealand yang diketuai oleh Dr Brian Don juga mengumpul dapatan mengenai tabiat merajuk dalam perhubungan romantis. Menurut mereka, pasangan yang kuat merajuk sebenarnya rendah harga kendiri.

"Jika harga kendiri rendah, anda mungkin merasakan pendapat, buah fikiran dan khasnya perasaan anda tiada nilai pada mata dan hati pasangan. Oleh itu, untuk menegakkan pendirian, anda pun merajuk dengan niat untuk mendapat sokongan secara tidak langsung.

"Akan tetapi, merajuk adalah tabiat negatif yang hanya akan membawa reaksi yang sama negatif atau lebih teruk lagi dalam diri pasangan. Terutamanya jika anda memang selalu merajuk! Pintu komunikasi yang tertutup rapat disimen dengan konkrit dan kebahagiaan pun terhakis," katanya.

Katanya, sememangnya lebih senang untuk merajuk dan menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pasangan tersayang. Sayangnya, merajuk tidak membawa kebaikan pada jangka masa panjang dan boleh menjauhkan serta memencilkan pasangan anda di rumah sendiri.

"Jika perhatian yang diperlukan atau anda benar-benar rasa tidak puas hati dengan perilaku atau tutur kata pasangan, hanya komunikasi positif yang dapat memperbaiki keadaan. Bercerita dan berbincang dengan elok perlu menjadi strategi komunikasi dalam perkahwinan.

BERDIAM diri boleh membawa kesan negatif dalam hubungan perkahwinan.
BERDIAM diri boleh membawa kesan negatif dalam hubungan perkahwinan.

"Merajuk 'manja' seperti lumrah adat dan budaya masyarakat Asia, tidak menjadi masalah besar kerana orang timur lembut tutur kata dan perangai. Rasa tidak puas hati selalunya disimpan sahaja atau tidak dihiraukan, tetapi apabila terlalu dipendam mungkin akan memakan diri.

"Kadang kala kita rasakan lebih baik berdiam diri daripada meluahkan rasa tidak puas dengan pasangan yang akan membawa pertengkaran. Namun, apabila bertengkar paling tidak, anda akan tahu apa sebabnya pasangan anda merajuk dan sebaliknya. Pasangan yang sudah berkahwin perlu selalu bercakap dan bercerita antara satu sama lain, walaupun hal-hal yang tidak sedap didengar," katanya.

Katanya lagi, tidak perlu merajuk kalau perhatian tidak diberikan, anda sebagai pasangan yang matang berfikir harus minta perhatian daripada si dia. Namun, harus juga berpada-pada kerana kita semua hanya manusia biasa yang lemah dan banyak kekurangan dalam diri.

"Jelas, tabiat merajuk lebih banyak membawa implikasi negatif dalam perhubungan dan perkahwinan. Maka, strategi komunikasi yang lebih terbuka dan positif perlu dipilih, bukannya memilih untuk merajuk setiap masa.

"Jangan ditutup dan dikunci pintu komunikasi seperti mana anda diam membisu ketika merajuk dengan pasangan. Sedarkah anda, pasangan anda mungkin tidak tahu pun apa salah dan silapnya kepada anda? Dan, jika dia tidak tahu, bagaimanakah caranya untuk dia membetulkan keadaan?," soalnya.

Jelasnya, perhubungan diikat dan perkahwinan dibina supaya kita boleh hidup dengan tenang bersama si dia yang tersayang. Tabiat suka merajuk hanya menutup pintu berbincang, menerbitkan pertengkaran dan akhir sekali, permusuhan jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 7:00 AM